Pasar Ikan Tsukiji di Tokyo adakalanya digelar "Wall Street" bagi ikan. Para nelayan, pemborong dan pemilik restoran sushi terkemuka di Jepun akan berkumpul untuk menjual dan membeli ikan paling segar dalam dunia yang bernilai lebih $21 juta setiap hari.

Sejak beberapa dekad yang lalu juga, pasar basah ini tanpa disangka-sangka telah menjadi salah satu destinasi tarikan pelancong yang popular di Jepun. Ribuan pengunjung datang untuk melihat sendiri acara lelongan ikan tuna yang terkenal di mana seekor tuna pernah dijual mencecah $1.76 juta.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Walau bagaimanapun, anda tidak mempunyai masa yang banyak lagi untuk berkunjung ke pasar ini. Pada bulan Oktober tahun ini, pasar ini akan dipindahkan dari lokasi asal di tengah Tokyo ke satu tapak baru yang dibina dengan kos $5.42 bilion. Lokasi baru ini dilengkapi dengan sistem penyejukan yang lebih baik, binaan yang dapat menahan gempa bumi dan juga pelbagai kemudahan sanitasi.

Sebelum ramai pelancong tidak berpeluang untuk melawat sendiri lokasi bersejarah ini, kami kongsikan suasana dan persekitaran sekeliling Pasar Ikan Tsukiji untuk anda.

pelancong perlu berhati hati dengan troli dan skuter yang laju di pasar tsukiji jepun

Pasar Ikan Tsukiji terletak dalam daerah Tsukiji di tengah Tokyo. Ia disempadani oleh deretan pusat beli-belah Ginza dan juga Sungai Sumida.

Waktu terbaik untuk melawat pasar ini adalah sebelum matahari terbit apabila para nelayan membawa hasil tangkapan ke sini manakala para penjual ikan pula sibuk menyusun dan menyediakan ikan untuk dijual.

Terdapat dua bahagian dalam pasar ini. Bahagian pertama ialah jōgai-shijō iaitu campuran restoran sushi dan kedai-kedai yang menjual pelbagai barangan seperti kelengkapan restoran dan barangan runcit. Bahagian jōnai-shijō pula ialah kawasan pemborong memproses ikan untuk dijual kepada restoran. Terdapat juga pasar borong di sini.

bahagian yang tidak boleh dimasuki pelancong di pasar tsukiji

Anda akan tahu anda sudah tiba ke jōnai-shijō apabila papan tanda seperti ini mula kelihatan. Walaupun pasar borong mula dibuka pada jam 3 pagi, pelancong tidak dibenarkan masuk sehinggalah jam 10 pagi. 

Pasar ini merupakan satu tempat yang sangat sibuk. Troli dan skuter melalui celahan lorong dengan laju sambil membawa kotak-kotak berisi ikan dari satu peniaga kepada peniaga yang lain. Jika anda seorang pelancong, anda perlu peka dengan persekitaran dan berhati-hati kerana para penjual ikan ini tidak akan memperlahankan pergerakan mereka untuk memberi laluan kepada pelancong yang bersiar-siar. Mereka tiada masa untuk anda.

pemborong memotong ikan tuna kepada bahagian lebih kecil untuk dijual kepada restoran sushi

Pasar Tsukiji mula ditubuhkan pada tahun 1935, namun tradisi pasar ikan di tepi sungai atau "Uogashi" telah mula diperkenalkan sejak abad ke-16 lagi. Ketika itu, shogun pertama Tokugawa, Ieyasu, memberikan kebenaran kepada nelayan untuk menangkap ikan selagi mereka terus membekalkan ikan ke Istana Edo. Nelayan kemudian akan menjual lebihan ikan di pasar berhampiran sungai.

Setiap hari, pemilik restoran dan kedai datang untuk memilih sendiri makanan laut terbaik untuk perniagaan mereka. Walaupun ia adalah sebuah lokasi perniagaan dan perdagangan, Pasar Tsukiji telah menjadi salah satu tarikan pelancongan yang paling popular di Jepun.

Terdapat sekitar 900 pemborong berlesen bersesak-sesak di dalam pasar ini. Setiap satunya mempunyai sebuah gerai kecil untuk berniaga. Jika diperhatikan, mereka hanya mengambil pesanan dan membuat kiraan menggunakan tangan.

gerai kecil menjual snek dan surat khabar untuk penjual ikan

Di satu sudut di bahagian belakang pasar, terdapat satu kedai kecil di mana penjual ikan boleh membeli snek, surat khabar dan juga kelengkapan untuk membersihkan ikan.

Bilangan ikan yang didagangkan di sini jauh lebih banyak daripada mana-mana pasar di dunia. Ada yang menganggarkan pasar ini menjalankan transaksi bernilai lebih dari $4 bilion setiap tahun.

ikan segar setiap hari di pasar tsukiji tokyo jepun

Pasar Tsukiji menjual lebih 480 jenis hasil tangkapan laut setiap hari termasuklah 270 hasil keluaran lain yang pelbagai. Seorang profesor antropologi Harvard, Ted Bestor, yang mengkaji budaya sushi Jepun menggelarkannya sebagai "pusat saraf industri perikanan dunia."

Hasil tangkapan dibawa kepada pemborong dalam kotak styrofoam. Ikan-ikan ini kemudian dibersihkan dan dipamerkan untuk dijual.

ikan tuna sirip biru paling popular di pasar tsukiji jepun

"Bintang" sebenar bagi Pasar Tsukiji adalah ikan tuna sirip biru Pasifik yang dianggap sebagai "Raja Sushi" Jepun. Hampir sekurang-kurangnya separuh gerai penjual ikan di sini boleh dilihat memotong, membersihkan dan menyediakan tuna sirip biru. Penangkapan ikan secara komersial telah mengakibatkan spesies ikan ini menjadi terancam sehingga ke paras berbahaya.

Bahagian paling terkenal di pasar ini adalah acara lelongan ikan tuna yang diadakan setiap hari sekitar jam 3 pagi. Hanya 120 orang pelawat dibenarkan menyaksikan lelongan ini setiap hari. Kebanyakan tuna sirip biru terjual antara $2,000 (RM7,960) hingga $20,000 (RM79,600) bergantung kepada saiz, lemak dan kandungan minyak yang menentukan rasa ikan tersebut.

acara lelongan ikan tuna sirip biru paling terkenal di pasar tsukiji

Lelongan Tahun Baru pula merupakan satu acara besar di Pasar Tsukiji dengan kehadiran pembida yang sanggup membayar ratusan ribu dolar untuk memenangi tuna terbaik. Hiroshi Onodera, seorang pemilik restoran dan syarikat perkhidmatan makanan LEOC memenangi bidaan Tahun Baru 2018 buat kali terakhir di lokasi asal Pasar Tsukiji dengan jumlah $323,000 (RM1.3 juta) bagi tuna seberat 403kg.

ikan tuna paling mahal pernah dijual di pasar tsukiji tokyo

Selama 6 tahun berturut-turut sebelumnya, lelongan tuna Tahun Baru dimenangi oleh Kiyoshi Kimura yang mempunyai rangkaian restoran sushi di Jepun. Rekod tertinggi bidaan yang dimenanginya adalah pada tahun 2013 iaitu $1.76 juta (RM7 juta) untuk tuna seberat 222kg.

Ikan tuna di pasar ini dihantar dari seluruh dunia sama ada dalam keadaan beku atau di atas ais dalam masa kurang 24 jam daripada masa penangkapan. Kemudian, penjual ikan akan terus membersihkan ikan dan mencairbekukan ikan gergasi itu. Ikan-ikan ini akan dipotong kepada bahagian-bahagian kecil menggunakan gergaji pita.

ikan tuna sirip biru dipotong menggunakan gergaji pita

Suasana pasar ini sentiasa hiruk-pikuk dengan bunyi deruman trak, jeritan penjual ikan dan bunyi nyaring gergaji menembusi badan ikan.

Selepas ikan dipotong kepada bahagian kecil, para pemborong akan menghiris tuna untuk dijual kepada restoran sushi terkemuka di bandar Tokyo. Ada sesetengah penjual yang akan mengurut serta berbual-bual dengan ikan semasa memotongnya.

kaisendon nasi sushi pasar tsukiji jepun

Apabila anda telah selesai melawat sekitar kawasan pasar, bolehlah menuju ke mana-mana kedai sushi di bahagian utama pasar untuk menikmati kaisendon atau mangkuk nasi sushi.

Rujukan:

1. CBS News

2. Reuters

3. Business Insider

4. Nikkei Asia

5. Tsukiji Market




Hakcipta iluminasi.com (2017)