Kredit foto: mynewshub.cc
Penyanyi Aizat Amdan akui berasa gusar dengan keadaan kesihatan bapanya, Datuk Amdan Mat Din yang ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur (HKL) sejak Jumaat lepas.
Menurut penyanyi berusia 28 tahun itu, bapanya mengalami strok pada bahagian otak kiri hingga mengakibatkan tubuh sebelah kanannya lumpuh.
"Ayah sekarang sedang tenat di ICU dan sebelah kanan badannya lumpuh.
"Kini, dia hendak bercakap pun susah. Sudah tentu saya sedih melihat keadaannya ketika ini, justeru saya sanggup lakukan apa saja demi insan yang amat saya sayangi.
"Insya-Allah, dalam minggu ini ayah akan keluar wad, melihatkan tindak balasnya yang semakin baik. Mungkin dia akan dipindahkan ke hospital lain, berdekatan dengan rumah keluarga," katanya menurut laporan portal Berita Harian Online.
Aizat membuat kenyataan tersebut di majlis pelancaran World Mental Health Day 2017.
Sementara itu, penyanyi lagu Jangan Menangis itu berkata, dia kini lebih banyak meluangkan masa bersama bapanya hingga terpaksa menyusun semula jadual kerjaya.
Malah beliau turut membatalkan sesi penggambaran sebuah program yang sepatutnya berlangsung di Turki pada minggu ini.
Tegas Aizat, dia hanya ingin memberikan sepenuh perhatian kepada bapanya buat sementara waktu.
"Saya bukannya pakar mengenai penyakit strok. Saya hanya mampu berdoa dan cuba memberikan semangat serta menceriakan dirinya.
"Alhamdulillah, kami sekeluarga saling membantu antara satu sama lain," jelasnya.
Malah Aizat yang kini dalam pembikinan album baharu yang bakal terbit tahun hadapan memberitahu dia turut menghasilkan beberapa lagu yang ditujukan khas buat bapanya itu.
Sumber berita: BH Online