Bekas pengacara dan wartawan penyiaran, Mazidul Akmal Sidek kini dilaporkan semakin pulih selepas terlantar sakit disebabkan penyakit angin ahmar yang dihidapinya.
Isterinya, Khairul Fazlin Kamarudin (47 tahun) memberitahu Mazidul juga mampu menggerakkan anggota badannya selain penglihatannya juga bertambah baik.
Alhamdulillah, kesihatan abang (Mazidul) semakin pulih selain banyak perubahan berbanding mula-mula dia diserang strok dahulu.
Bahagian kiri badannya yang terjejas akibat penyakit itu juga sudah mula menunjukkan tindak balas positif dan digerakkan malah penglihatannya juga semakin baik.
Malah pada awal Februari lalu, kami berpeluang menunaikan umrah bersama produksi program Bersamamu.
Kunjungan ke kediaman mereka di Kota Damansara itu disertai bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar bersama Pertubuhan Bina Bangsa.
Dalam pada itu, bercakap mengenai kehidupan mereka selepas kejadian yang menimpa suaminya, Fazlin berkata, dia bersyukur kerana banyak menerima bantuan daripada keluarga dan teman rapat.
Alhamdulillah selain menerima bantuan daripada keluarga dan teman rapat, Abang juga ada menerima pencen daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial Malaysia (Socso).
Saya pun mempunyai pekerjaan tetap dan ia turut menjadi sumber kewangan keluarga. Saya reda dengan ujian ini dan percaya ada hikmah disebaliknya.
Menurut Datuk Khairul Annuar Rahmat selaku penasihat Pertubuhan Bina Bangsa, sebuah pertandingan penulisan esei bakal dianjurkan dalam kalangan pelajar sekolah menengah atas nama 'Anugerah Mazidul Akmal Sidek – Pertubuhan Bina Bangsa'.
Pertandingan ini terbuka kepada pelajar sekolah menengah bagi menggalakkan mereka menulis esei berbentuk penyiasatan dan hadiah wang tunai ditawarkan kepada pemenang.
Mazidul yang berusia 50 tahun berkahwin dengan Fazlin pada 21 Mei 1997 dan dikurniakan dua cahaya mata bernama Muhammad Afif Faiq (19 tahun) dan Muhammad Azard (16 tahun).
Mazidul diserang strok pada bulan Jun 2014 dan terpaksa menjalani pembedahan sebanyak tiga kali di bahagian kepala pada tahun 2014 dan 2016 di Hospital Kuala Lumpur.
Sumber: mStar Online & myartis.com