Apabila terjadinya sesuatu tragedi atau kejadian yang tidak diiingini terhadap sesebuah pesawat, biasanya kita akan mendengar pihak media memperkatakan mengenai pencarian "black box" yang pada pesawat tersebut. Sebagai contoh, kes kehilangan pesawat MH370 beberapa tahun lepas.
Apakah sebenarnya "black box" atau kotak hitam ini? Mengapakah ianya penting buat pasukan penyiasat dan pencarian? Kotak hitam ini dianggap cukup penting sehingga dikatakan boleh merungkai segala peristiwa dan persoalan mengenai tragedi tersebut.
BESARKAN TEKS A- A+
Sebab penting kotak hitam diperlukan
Untuk makluman, setiap pesawat komersial dan korporat telah diwajibkan mempunyai bukan satu tetapi dua buah kotak hitam ini. Kedua-dua kotak hitam ini mempunyai fungsi yang berlainan setiap satunya.
Satu daripada kotak ini akan berfungsi sebagai Perakam Data Penerbangan (Flight Data Recorder - FDR) sementara kotak hitam satu lagi berfungsi sebagai Perakam Suara Kokpit (Cockpit Voice Recorder - CVR).
Sekiranya kapal terbang melakukan pergerakan yang mencurigakan sekalipun, data yang direkodkan oleh kotak hitam ini penting untuk mengetahui situasi sebenar yang berlaku serta membantu para penyiasat mencegah malapetaka serupa daripada berulang di masa hadapan.
Selain itu, dalam keadaan kecemasan dan terputus hubungan komunikasi dengan menara kawalan, kotak hitam inilah yang akan merakam segala suara dan perbualan juruterbang sebelum pesawat terhempas. Kotak hitam inilah penyelamat terakhir untuk mengetahui kejadian sebenar yang terjadi pada pesawat.
Tahan lasak dan mudah dikesan
Kepelbagaian rekabentuk kotak hitam
Kotak hitam ini mestilah dapat menahan banyak senario kecelakaan tanpa menimbulkan kerosakan pada data yang disimpannya. Sebelum digunakan, ianya akan diuji untuk melihat jika ianya dapat menahan impak dengan hentaman pada dinding konkrit pada kelajuan 750 kilometer sejam, beban statik 2.25 tan selama sekurang-kurangnya lima minit, suhu maksimum 1,100 darjah Celcius selama satu jam dan tekanan air yang terdapat di kedalaman sehingga 6,000 meter .
Untuk lebih mudah kotak hitam ini dikesan di laut, peranti ini akan menghantar isyarat yang boleh dikesan dalam lingkungan radius kira-kira dua kilometer (1.2 batu) sebaik sahaja ianya menyentuh air. Pada jarak ini, lokasi peranti ini lebih mudah ditemui sekaligus memberi gambaran sebenar lokasi bangkai pesawat.
Seperkara lagi yang perlu diketahui mengenai peranti ini adalah walaupun namanya adalah kotak hitam, peranti ini kebiasaannya berwarna cerah seperti jingga. Ini bagi membolehkan peranti ini lebih mudah dikesan walaupun berada di dalam laut.
Sepertimana yang kita tahu, cabaran utama di laut dalam adalah tekanan yang jauh lebih tinggi daripada daratan. Disebabkan tekanan inilah setiap jam mempunyai had tekanan yang dibenarnya sebelum ianya rosak dan tidak berfungsi. Bagi kotak hitam ini pula, ianya mampu menahan tekanan sedalam 6,000 meter.
Bagi mengatasi masalah tekanan tinggi ini, kotak hitam menggunakan elemen memori pejal yang tidak mempunyai bahagian bergerak, menjadikannya sangat sukar untuk dirosakkan walaupun dalam tekanan yang sangat tinggi. Harganya yang cukup tinggi sekitar $10,000-$15,000 sebuah cukup menggambarkan betapa kompleks dan tahan lasaknya peranti ini.
Kepelbagaian data yang direkodkan
Ketika kemunculan awal kotak hitam ini, ianya perlu dihidupkan secara manual oleh juruterbang sebelum melakukan penerbangan. Walau bagaimanapun, kesemua kotak hitam yang ada pada hari ini akan mula merekodkan data secara automatik.
Seperti yang disebutkan di atas, setiap "kotak hitam" terdiri daripada dua elemen: Perakam Data Penerbangan (FDR) dan Perakam Suara Cockpit (CVR), tetapi terdapat satu lagi peranti utama yang tidak boleh diabaikan - Unit Pengambilalihan Data Penerbangan (Flight Data Acquisition Unit - FDAU ), yang biasanya dijumpai di bawah atau di dalam kokpit.
Unit FDAU ini befungsi mengambil data daripada kesemua sensor di atas kapal dan menyalurkan data penerbangan ke FDR dan CVR. FDR mencatatkan semua fungsi dan pengukuran pesawat yang berlaku sepanjang penerbangan seperti ketinggian, kelajuan, arah pergerakan, halaju, dan maklumat standard lain.
Perakam yang lebih mahal seperti yang digunakan oleh Boeing mempunyai kebolehan mendokumen kira-kira 150,000 parameter yang berlainan pada setiap penerbangan. Lagi mahal kotak hitam, lagi banyaklah data yang direkodkan.
Kepelbagaian maklumat yang direkodkan ini tidak ternilai bagi pakar yang menyiasat kemalangan penerbangan kerana ia membantu mereka menentukan punca utama kemalangan dan kegagalan sistem dan menasihati pihak berkuasa yang berkaitan berpandukan penemuan mereka.
Komponen kedua, CVR, juga mempunyai fungsi merekodkan semua komunikasi dan dialog antara kru dan rakaman audio dalam kokpit. Penyiasat yang terlatih dapat membezakan rakaman audio yang tepat untuk penggera, bunyi bising yang luar biasa, dan perubahan bunyi bising sebagai tambahan kepada komunikasi dan interaksi antara kru dengan menara kawalan pada saat-saat sebelum kemalangan.
Kredit: