Ada pendapat popular mengatakan di seluruh dunia, wujud 7 orang yang dikatakan menyerupai wajah kita.
Kemungkinan untuk kita menemui individu mirip dengan wajah individu lain sebenarnya agak tinggi juga - apatah lagi melibatkan individu terkenal seperti pemimpin negara dunia.
Berikut adalah lima individu biasa yang namanya naik disebutkan orang ramai, kerana mereka mirip kembar pemimpin dunia.
BESARKAN TEKS A- A+
1. Ilham Anas - Barrack Obama
Berikutan perlantikan Barrack Obama sebagai Presiden Amerika Syarikat, Ilham Anas mula terbuka pintu rezekinya.
Seorang warga Indonesia (kini berusia 46 tahun pada tahun 2020), persamaan wajah beliau dengan Obama mula menjadi buah mulut orang ramai, membuka pelbagai tawaran untuk Ilham menyertai majlis-majlis di mana 'bakatnya' diperlukan.
Popularitinya membantu Ilham diberikan peluang memberikan ucapan dalam salah satu majlis Greenpeace di Thailand, menjadi model iklan di serata dunia serta menandatangani kontrak bersama sebuah syarikat pengurusan bakat di Shenzhen, China.
2. Luo Yuanpin - Vladimir Putin
Wajah Luo Yuanpin yang mirip dengan Presiden Russia, Vladimir Putin ditemui kali tahun 2011.
Yuanpin seorang petani yang tinggal di sebuah kawasan pedalaman di Anhui, mempunyai wajah saling tak tumpah dengan Putin walaupun kedua-duanya jelas datang dari etnik yang berbeza.
Keunikan Yuanpin bukan saja kerana dia mempunyai wajah mirip Putin tetapi turut sama memiliki mata kebiru-biruan sama seperti Putin serta ketinggian serupa 5 kaki 8 inci.
3. Liu Keqing - Xi Jinping
Di antara semua pemilik wajah serupa dengan, Liu Keqing merupakan antara yang paling kurang bernasib baik.
Wajahnya yang mirip dengan Presiden China, Xi Jinping menyebabkan akaun video Tik-Tok miliknya dibekukan serta kandungannya dipadam.
Ini disebabkan undang-undang di China tidak membenarkan penggunaan wajah pemimpin dalam muat naik media sosial dilakukan dan Keqing berhadapan kesukaran, disebabkan wajah sendiri.
Keqing gemar memuat naik video untuk mengajar orang ramai latihan menyanyi melalui Tik-Tok atau Douyin, bagi pengguna di China.
Seorang penyanyi opera berpengalaman dengan suara bariton, Keqing yang kini menetap di Berlin, Jerman mengakui akaun miliknya sudah 3 kali dibuang pengendali Tik-Tok disebabkan masalah melanggar panduan penggunaan.
4. Howard X - Kim Jong-un
Seorang warga Hong Kong, Howard pada awalnya memilih untuk menukarkan dirinya menjadi Kim Jong-un, Presiden Korea Utara yang sangat terkenal disebabkan oleh sambutan 'April Fool' yang bakal berlangsung.
Video beliau menggayakan dirinya sebagai Jong-un tular sehinggakan tawaran mula hadir, untuk dia menjadi Jong-un dalam sebuah iklan restoran makanan segera.
Dari situlah Howard melihat peluang untuk beliau menjadikan pintu yang terbuka itu sebagai punca pendapatan tetap.
Pertemuan di antara Donald Trump dengan Kim Jong-un yang sebenar dijadual berlangsung pada 27 dan 28 Februari di Hanoi, Vetnam dianggap peluang besar untuk mempopularkan dirinya.
Howard hadir ke sana cuba untuk memeriahkan suasana, namun telah ditahan pihak berkuasa Vietnam sebelum dihantar keluar - atas alasan masalah pada visa.
5. Dolores Leis Antelo - Donald Trump
Banyak pihak terpaksa mengubah penampilan mereka untuk menjadi Donald Trump.
Namun bagi Dolores Leis Antelo, penampilan semula jadi beliau memang sudah mirip Donald Trump tanpa perlu diubah lagi.
Penemuan Dolores sebenarnya berlaku secara tidak sengaja selepas wartawan di Galicia, Sepanyol hadir ke kawasan tersebut bagi melaporkan tentang aktiviti pertanian di sana.
Salah seorang petugas media merakamkan gambar Dolores berdiri sambil memegang cangkul.
Menyedari wajah wanita itu mirip dengan Trump, imej tersebut dimuatnaik ke laman web Instagram sebelum tular.
Tidak lama masa diperlukan untuk kumpulan anti-Trump menukarkan gambar Dolores menggantikan figura Trump dan pelbagai jenis meme yang lucu, mula dikongsikan di internet.