Pada tahun 2020, tinjauan telah menunjukkan bahawa populasi Bumi mencapai angka 7.8 bilion orang. Jumlah ini dijangka akan meningkat sebanyak 25% lagi menjelang tahun 2050 kepada 9.9 bilion. Dengan jumlah sebesar itu, bagaimanakah kita mampu menampung sumber makanan sedia ada?
Sebagai makluman, Amerika Syarikat merupakan pengeksport produk pertanian terbesar dunia. Apa yang mengejutkan, negara kedua selepas mereka adalah Belanda atau Netherlands. Dengan keluasan tanahnya 237 kali ganda lebih kecil berbanding Amerika, bagaimana negara kecil ini mampu membekalkan makanan ke seluruh dunia?
BESARKAN TEKS A- A+
Belanda mengeksport hampir RM 465 bilion barangan pertanian pada 2019 sahaja serta RM 49 bilion produk berkaitan pertanian. Rahsia kejayaan negara kecil ini sebenarnya terletak pada penggunaan inovasi pertaniannya yang begitu canggih.
Gandakan makanan menggunakan separuh sumber
Rakyat Belanda berjanji kepada diri mereka sendiri untuk "menghasilkan dua kali lebih banyak makanan dengan hanya menggunakan separuh sumber". Ini mungkin kedengaran mustahil bagi petani tradisional tetapi bagaimana Belanda melakukannya?
Walaupun berhadapan kekangan keluasan tanah dan sumber matahari yang terhad, mereka menggunakan alternatif lain seperti membina banyak rumah hijau menggunakan sistem hidroponik dan tenaga geoterma. Mereka menggunakan kawasan hutan dan lereng bukit untuk membangunkan rumah hijau ini.
Salah satu tapak pertanian moden ini terletak di selatan Belanda. Rumah hijau ini meliputi kawasan seluas 175 ekar. Secara keseluruhannya, negara ini memiliki rumah hijau melebihi 90 km persegi.
Di wilayah Westland pula, ia mendapat jolokan sebagai "ibu negeri rumah hijau Belanda" oleh National Georgaphic. Kawasan rumah hijau yang besar dibina di kawasan kosong yang terdapat di antara bandar dan luar bandar.
Rumah hijau moden yang efektif
Seni bina rumah hijau di Belanda juga memainkan peranan penting. Kebanyakan rumah hijau mempunyai bumbung dua lapis untuk menahan haba sementara bingkai besi ringan membolehkan berlakunya pertumbuhan dan penyesuaian dengan pantas tanpa mengganggu cahaya matahari semula jadi.
Ada juga syarikat pertanian yang lebih inovatif seperti Duijvestin Tomatoes yang menggunakan Co2 (karbon dioksida) dari kilang minyak Shell tempatan untuk disalurkan ke rumah hijau bagi membantu pertumbuhan tanaman.
Semua rumah hijau di Belanda juga menggunakan lampu LED bagi membolehkan tanaman mereka terus tumbuh sepanjang malam. Undang-undang negara itu telah menetapkan bahawa 98% daripada cahaya mestilah berada di dalam rumah hijau bagi mengurangkan pencemaran cahaya. Pengusaha rumah hijau menggunakan penutup dan tirai gelap bagi menangani masalah ini.
National Georgaphic menggambarkan lanskap ini sebagai "tebing-tebing yang kelihatan seperti sebuah cermin raksasa yang terbentang luas, bersinar ketika matahari terik dan menyala dengan lampu menyeramkan apabila malam tiba".
Penjimatan sumber dan kawalan ancaman
Para petani di Belanda juga telah berjaya mengurangkan penggunaan air bagi tanaman utama mereka sehingga sebanyak 90%. Rumah hijau di Belanda hanya menggunakan sebanyak 4 liter air sahaja bagi menghasilkan 450 gram tomato berbanding cara tradisional yang memerlukan sekitar 97 liter air.
Malah, sebilangan petani di Belanda mampu menghasilkan sebanyak 100 juta biji tomato setahun daripada tanah seluar 34.5 ekar. Hasil seperti ini dicapai melalui persekitaran terkawal di mana suhu dan kelembapan berada pada tahap paling sesuai.
Dengan kawalan rapi ini juga, mereka dapat mengurangkan ancaman pencemaran ke tahap paling minimum sehingga mereka tidak perlu menggunakan racun perosak lagi.
Cara pertanian moden dan sihat ini juga memberi kesan besar terhadap sektor penternakan haiwan di Belanda. Pengeluar ayam dan ternakan lain di negara itu telah mengurangkan penggunaan antibiotik kepada haiwan ternakan sebanyak 60% dalam tempoh sedekad yang lalu. Sistem imuniti haiwan ternakan menjadi lebih baik apabila diberi makan tumbuhan yang 100% organik.
Kemajuan bidang penternakan
Permintaan daging yang semakin tinggi di seluruh dunia telah menyebabkan berlakunya masalah bekalan makanan haiwan ternakan yang tidak mencukupi. Makanan proses seperti dedak pula menjadikan kos makanan haiwan lebih mahal.
Ladang terapung di Rotterdam
Walau bagaimanapun, Belanda mempunyai penyelesaian kepada masalah ini. Syarikat Nijsen/Granico yang berpusat di Veulen, Belanda, menolak idea bahawa tidak cukup makanan untuk haiwan ternakan di seluruh dunia. Mereka menghasilkan kira-kira 90,000 tan makanan haiwan setahun sepenuhnya daripada bahan makanan terbuang.
Penternak di Belanda juga tidak memerlukan ladang yang luas untuk haiwan ternakan mereka. Mereka mula menggunakan alternatif lain seperti membina "ladang terapung" di Rotterdam.
Ladang moden ini direka supaya mampu bertahan dengan sendirinya. Mereka memberi lembu makan menggunakan sisa makanan dari restoran tempatan yang dikumpulkan oleh trak GroenCollect yang menggunakan kuasa elektrik. Jika masih terdapat lebihan sisa makanan, ia akan digunakan sebagai baja bagi tanaman untuk makanan ayam.
Rumah hijau hidroponik di Belanda
Bahkan, najis ternakan juga akan dikumpulkan dan dijual sebagai baja. Hasil jualan itu dapat menampung kos lain bagi ladang terapung itu. Teknologi seperti ini sekali gus mengurangkan penggunaan tanah, kos, bahan bakar dan sisa makanan terbuang.
Tidak hairanlah bagaimana negara sekecil ini mampu menampung makanan di seluruh dunia pada suatu hari nanti. Selain dari hasil produk, Belanda juga merupakan pembekal kepada teknologi, peralatan dan jentera pertanian dan penternakan di seluruh dunia.