Tidak kiralah di mana sahaja anda berada di atas muka Bumi, kebarangkalian anda pernah duduk di atas kerusi ini adalah tersangat tinggi.
Malah, anda mungkin sedang duduk atas kerusi ini ketika membaca artikel ini.
Kerusi ini dikenali sebagai Monobloc, dan kemungkinan kerusi yang paling banyak dijual dalam sejarah manusia. Walaupun begitu, ia agak dibenci untuk sebab-sebab tertentu.
BESARKAN TEKS A- A+
Di Basel, Switzerland, kerusi ini menjadi satu isu politik.
Untuk bertahun-tahun lamanya, Monobloc diharamkan oleh undang-undang untuk diletakkan di kawasan outdoor restoran-restoran kerana orang awam mengadu bahawa ia merosakkan pemandangan di bandar.
Namun, bagaimana Monobloc ini boleh wujud dan adakah ia merupakan satu contoh reka bentuk yang baik atau buruk?
Monobloc ada di mana-mana
Umum tahu kerusi ini boleh ditemui di mana-mana sahaja, termasuklah di Malaysia.
Sama ada di sekolah, di majlis kenduri perkahwinan atau majlis keraian, di kelas kursus memandu, mahupun di kedai makan dan kedai mamak, kerusi ini menjadi pilihan utama.
Seperti di Denmark, kerusi ini boleh ditemui di kawasan luar kafe-kafe, di dalam pejabat di Tanzania malah di Tembok Barat di Baitulmaqdis.
Bagi mereka yang meminati reka bentuk, reka bentuk kerusi adalah sangat mempesonakan.
Ini kerana anda mungkin beranggapan bahawa kerusi adalah objek yang tidak perlu diubah reka bentuknya dari masa ke masa.
Namun, reka bentuk kerusi berubah mengikut zaman.
Reka bentuk kerusi dapat disesuaikan dengan bentuk dan bahan dengan fungsi tertentu.
Sama seperti mereka bentuk objek lain, mereka bentuk kerusi memerlukan pencarian cara untuk menggabungkan fungsi dan daya tarikan visual.
Bukan itu sahaja, reka bentuk kerusi juga dapat menggambarkan sesebuah zaman tertentu.
Seperti Kerusi Wassily oleh Marcel Breuer, diperbuat daripada tiub keluli dan diilhamkan oleh penghasilan basikal yang menjadi asas kepada banyak reka bentuk moden.
Malah, kerusi-kerusi juga digabungkan dengan seni pop yang menggunakan palet warna terang pada tahun 60-an dan 70-an, serta kemajuan dalam penerokaan angkasa lepas memberikan inspirasi kepada perabot futuristik, seperti kerusi di bawah ini.
Namun, semuanya sangat berbeza apabila ia melibatkan kerusi Monobloc ini.
Ia digunakan dengan tersangat meluas sehinggakan ia sudah tidak lagi memberikan makna kepada sesuatu.
Sebagai contoh, lihat gambar di bawah, cuba teka bila dan di mana ia diambil?
Sangat mustahil untuk kita ketahui.
Sarjana media Amerika dan blogger, Ethan Zuckerman membuat pemerhatian yang menggambarkan monobloc adalah sebuah objek tanpa apa-apa konteks.
Kita cenderung mengaitkan kebanyakan objek dengan masa atau tempat tertentu.
Sekiranya seseorang menunjukkan satu gambar rawak kepada kita, kemungkinan objek di dalamnya akan memberikan petunjuk tentang bila atau di mana gambar tersebut diambil.
Namun, kesimpulan seperti ini sangat sukar dibuat apabila ia melibatkan kerusi Monobloc, kerana ia terdapat di setiap pelosok dunia.
Malah, jika anda melihat kerusi ini di tepi pantai, anda pun tidak pasti sama ada ada orang yang membawanya ke situ, atau ia dihanyutkan laut dari bahagian dunia yang lain.
Dahsyat, kan?
Kerusi Monobloc mungkin merupakan contoh utama globalisasi, tetapi ia juga boleh menjadi petanda tentang betapa berbezanya objek-objek yang ada di seluruh dunia.
Terdapat pandangan kritikal terhadap kerusi ini dan ada yang menyatakan bahawa Monobloc tidak mewakili reka bentuk mampan.
Ada yang melihat kerusi itu sebagai contoh utama penggunaan barang seragam secara besar-besaran yang mana mengabaikan rasa keperibadian seseorang.
Selain itu, kerusi Monobloc juga dapat digunakan sebagai hujah untuk menentang globalisasi kerana ia mewakili kemerosotan dalam budaya tempatan.
Bagaimana Monobloc boleh berjaya?
Sudah tentu ramai yang tahu bagaimana kerusi ini boleh menjadi tersangat popular dan berjaya.
Ia disebabkan ianya sangat berpatutan, dan mampu milik adalah sangat penting kerana ia membolehkan berlakunya kesaksamaan sosial dan kemajuan ekonomi.
Monobloc adalah objek yang sangat demokratik, dan anda mungkin beranggapan bahawa kita sendiri yang menjadikan kerusi ini sebagai satu "hype" atau membesar-besarkannya.
Apa yang hebat sangat tentang kerusi ini, kan?
Namun, kerusi ini sendiri yang membuatkan orang bercakap tentangnya.
Malah, memberi tumpuan kepada objek ini boleh membolehkan kita untuk memikirkan lebih banyak soalan abstrak.
Dan pandangan-pandangan yang bercanggah melibatkan kerusi ini adalah sebahagian daripada sebab mengapa ramai artis dan pereka telah mencipta karya seni mereka menggunakan Monobloc.
Dari mana asalnya Monobloc?
(Kerusi monobloc oleh D.C Simpson)
Monobloc pertama di dunia dipercayai dihasilkan pada tahun 1946 oleh pereka Kanada iaitu D.C Simpson.
Pada masa itu, proses pengacuan tidak sesuai untuk pengeluaran besar-besaran yang murah dan keseluruhan konsep ini dilihatkan sebagai agak maju dari zaman tersebut.
Namun pada tahun 1960-an, para pereka tertarik dengan idea kerusi acuan plastik, terutamanya Kerusi Bofinger oleh Helmut Bätzner dan Kerusi Universale oleh Joe Colombo, yang dibuat daripada beberapa bahagian yang dibentuk secara berasingan.
(Kerusi Bofinger)
Dan langkah paling penting yang membawa kepada penghasilan kerusi Monobloc adalah pengenalan kepada kerusi yang mana kini dianggap sebagai reka bentuk klasik.
Di bawah adalah gambar kerusi Cantilever rekaan Verner Panton.
Walaupun agak pelik untuk kita bandingkan antara kerusi pereka yang mahal dan kerusi kedai mamak yang mungkin kurang kita hargai, namun secara teknikalnya kerusi Cantilever ini adalah "abang" kepada Monobloc.
(Kerusi Cantilever)
Ini kerana ia adalah kerusi plastik pertama dunia yang dihasilkan menggunakan kaedah acuan yang sama digunakan dalam kerusi Monobloc pada hari ini.
Malah, Verner Panton mereka bentuk kerusi ini agar ia boleh disusun di atas satu sama lain, atau ditindan.
Selepas kejayaan kerusi Panton, terdapat sejumlah kerusi di seluruh dunia yang diilhamkan oleh kaedah pengeluaran ini.
Dan dengan pengenalan termoplastik yang lebih murah, pengeluaran Monobloc secara besar-besaran dapat menjadi kenyataan.
Pada tahun 1972, pereka Perancis iaitu Henry Massonnet melancarkan kerusia Fauteuil 300, namun ia tidak begitu meluas.
Namun 11 tahun kemudian apabila kumpulan Grosfillex melancarkan "Kerusi Taman Resin" mereka, barulah Monobloc dijual dalam kuantiti besar pada harga yang murah.
Kerusi tersebut dihasilkan dengan cara pengacuan suntikan.
Menggunakan kaedah ini, butiran polipropilena dipanaskan hingga 220 darjah Celsius dan disuntik ke dalam acuan, yang membentuk kerusi.
Nama Monobloc berasal dari kaedah ini, disebabkan produk akhir atau produk siap terhasil daripada satu bahan yang tidak pecah.
Acuan untuk pengeluaran tersebut adalah tersangat mahal dan boleh mencecah kos berjuta-juta ringgit. Namun skala pengeluarannya boleh dibesarkan kerana ia memerlukan tenaga kerja dan masa yang sedikit, dengan kos bahan mentah yang murah.
Hasilnya, sebuah kerusi yang dihasilkan dengan modal RM3 boleh dijual dengan harga sekitar RM10.
Hari ini, terdapat bermacam-macam jenis reka bentuk kerusi Monobloc.
Ada yang mempunyai tempat rehat tangan, ada yang tidak, serta dalam pelbagai warna. Namun apa sekalipun bentuk kerusi ini dan di mana ia berada, anda boleh tahu bahawa ia adalah kerusi Monobloc.
Kita juga dapat melihat kerusi ini sebagai hasil daripada evolusi pasaran.
Kerusi ini telah berubah, dengan ketebalan bahan diubah dengan sempurna sehingga ia menjadi setipis dan semurah mungkin, tetapi masih stabil dan tahan lama.
Kerusi yang tahan cuaca, boleh ditindan dan ringan. Mungkin ia adalah reka bentuk yang sempurna, yang mana yang memenuhi semua keinginan para pereka.
Namun, masih ada orang yang tidak menyukainya, dan di sinilah konteks kembali memainkan peranan.
Bagaimana kita melihat reka bentuk bergantung kepada pengetahuan kita tentangnya, dan apa yang ia mengingatkan kita.
Dan mungkin kita tidak cukup menghargainya. Jika anda tidak menyukainya, anda mungkin perlu mula cuba untuk suka kerana ia wujud di mana-mana di seluruh dunia.
Rujukan:
2. Dwell
3. Neo