Oleh pada 15 Mar 2018 kategori

Selama hampir satu abad lamanya, masyarakat sekitar Asia amat sinonim dengan produk Tiger Balm untuk melegakan sakit otot, simptom demam, sakit kepala dan sebagainya. Bau menusuk campuran menthol dan camphor yang menyamankan mampu membuatkan rongga hidung anda bernafas lega walaupun mata terasa sedikit pedih.

Semestinya anda akan terimbau kembali nostalgia bersama nenek atau ibu anda yang pasti menyimpan sebekas Tiger Balm di rumah. Apa saja sakit yang anda alami, sama ada selesema, lebam akibat jatuh, digigit nyamuk, sakit tekak - segalanya diubati menggunakan Tiger Balm.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Sejarah awal

Kisah Tiger Balm bermula beberapa generasi lamanya di wilayah pedalaman Fujian di selatan China. Sekitar tahun 1860-an, di situlah Aw Chu Kin yang merupakan anak lelaki kepada seorang ahli herba mula menyertai bapa saudaranya menuju ke bandar Rangoon di Burma.

Perjalanan Aw adalah amat panjang, melalui Singapura dan Pulau Pinang di Malaya. Di kedua-dua lokasi ini, Aw berkesempatan berniaga dengan para pekerja pelabuhan dan mendapatkan hasil jualan herba yang berlipat kali ganda berbanding di tanah air sendiri.

produk tiger balm kisah kejayaan tiger balm 2

Menjelang 1870, Aw berjaya tiba di Rangoon dan telah membangunkan sebuah apotekari (farmasi) bernama Eng Aun Tong yang memberi makna "Dewan Keamanan Abadi". Di sana, Aw telah mendirikan rumah tangga dan dikurniakan tiga cahaya mata lelaki iaitu Aw Boon Leong (Naga Lembut), Aw Boon Haw (Harimau Lembut) dan Aw Boon Par (Harimau Bintang Lembut).

Perniagaan diteruskan

Boon Leong telah meninggal dunia semasa masih muda dan Aw pula meninggal pada tahun 1908. Perniagaan keluarga itu diwariskan kepada Boon Par dan Boon Haw. Kedua-dua adik-beradik ini menelaah resipi mendiang bapa mereka dan disesuaikan untuk menghasilkan sejenis balsam analgesia untuk merawat pelbagai sakit. Semasa dilancarkan pada tahun 1924, Boon Haw menamakan balsam itu bersempena namanya : Balsam Harimau.

anak pengasas tiger balm kisah kejayaan tiger balm

Produk itu mula menjadi sebutan semua orang dalam komuniti Cina di Singapura, Malaya dan juga Fujian. Sementara Boon Par fokus kepada pengurusan perniagaan, Boon Haw mula menyasarkan untuk menempa nama sambil meningkatkan pengaruh. Beliau banyak menderma kepada badan kebajikan dan sekolah selain mengasaskan akhbar di serata Singapura, Malaya dan Hong Kong. Antara akhbar yang mula diasaskan oleh Boon Haw ialah Sing Tao Daily dan juga the Hong Kong Tiger Standard yang kini hanya dikenali sebagai The Standard.

Tiger Balm kemudian melalui satu fasa susah payah selepas kedua-dua adik-beradik itu meninggal dunia. Boon Par meninggal pada 1944 manakala Boon Haw pula pada tahun 1954. Tidak lama selepas ia disenaraikan di Bursa Saham Singapura pada tahun 1969, syarikat Tiger Balm diambil alih oleh konglomerat British, Slater Walker yang kemudian jatuh akibat krisis ekonomi.

aw boon haw anak pengasas tiger balm kisah kejayaan tiger balm

Harimau bangkit semula

Setelah melalui satu tempoh ketidakpastian berpanjangan, Dr. Wee Cho Yaw mula mengendalikan perniagaan Haw Par pada tahun 1981 dan membina semula syarikat tersebut dari bawah dengan kepakarannya dalam bidang perbankan. Pada tahun 1992, Haw Par berjaya mendapatkan semula Tiger Balm yang telah difrancaiskan selama lebih 20 tahun di bawah pentadbiran Slater Walker. Ketika itu, Tiger Balm sudahpun kehilangan pengguna seramai satu lapisan generasi.

kisah jatuh bangun kejayaan tiger balm 3

Pengarah Eksekutif Haw Par Corporation, Han Ah Kuan, mula menyertai Haw Par pada tahun 1992 setelah menerima tawaran ketika masih bersama dengan Vicks Vaporub yang merupakan pesaing terdekat balsam harimau itu.

Dilahirkan di Malaysia, Han membesar di Singapura dan seperti kebanyakan orang lain, Han sudah sangat biasa dengan Tiger Balm dari zaman kanak-kanaknya. Namun, dari pandangan seorang profesional, Han dapat melihat bagaimana jenama itu sedang bergelut. Akan tetapi, Han yakin bahawa kelemahan itu berpunca daripada penjenamaan, bukannya daripada produk itu sendiri.

Bahan kandungan asli

Balsam itu berfungsi dengan 'menipu' hujung saraf dengan rasa sensasi sejuk dan panas serta mengganggu isyarat lain seperti sakit otot dan gatal akibat digigit serangga. Ia juga lebih kuat daripada produk lain yang berada di pasaran. Vicks misalnya, mempunyai 8.6% bahan aktif iaitu kapur barus sintetik, minyak kayu putih dan menthol. Manakala Tiger Balm pula mempunyai sehingga 60% bahan aktif termasuklah kapur barus asli, minyak pudina, minyak cajuput, menthol dan minyak cengkih.

Walaupun produk Tiger Balm adalah sangat bagus, penjualannya adalah masih terhad. Ada pengguna yang tidak suka bau badan seperti Tiger Balm ketika memakainya di pejabat dan ada juga pengguna yang tidak sukakan teksturnya yang berminyak. Selain itu, sebekas Tiger Balm mampu bertahan sehingga setahun lamanya.

produk tiger balm kisah kejayaan tiger balm 84

Han sedar yang cabaran utama Tiger Balm adalah untuk meningkatkan kesedaran pengguna. Jadi, mereka memulakan strategi baru untuk memperkenalkan produk-produk baru seperti plaster pakai buang yang dilancarkan pada tahun 1993. Sejak itu, syarikat telah memperkenalkan pelbagai siri produk seperti krim sapu, plaster penghalau nyamuk dan terbaru, ubat sapu bahu dan leher dengan bauan lavender khusus untuk pengguna telefon pintar. Kini, terdapat sepuluh produk yang bernaung di bawah jenama Tiger Balm.

Pujian daripada selebriti Hollywood

Han juga telah berjaya memasarkan produk Tiger Balm ke pasaran Barat sehingga mendapat sokongan daripada Lady Gaga, Gwyneth Paltrow dan selebriti lain yang memuji kehebatan Tiger Balm di media sosial.

iklan duta tiger balm di hollywood

Walaupun Han telah membuat penjenamaan semula Tiger Balm, identiti lamanya masih dikekalkan. Warna oren dan bentuk heksagon bekas balsam itu masih digunakan sehingga ke hari ini. Menurut Han, heksagon adalah bentuk yang membawa tuah mengikut kepercayaan orang Cina. Logo harimau pula ditukarkan daripada posisi duduk menjadi posisi melompat.

Idea penjenamaan semula ini nampaknya membuahkan hasil. Pada tahun 2017, Tiger Balm telah menjual sebanyak 66 juta unit, iaitu peningkatan sebanyak 16% berbanding 2016. Balsam ini boleh didapati di lebih 100 buah negara dan telah memperolehi tanda dagangan di 145 buah negara.




Hakcipta iluminasi.com (2017)