Hubungan Malaysia dan Korea Utara hari ini kembali tegang selepas kerajaan Korea Utara menghalang rakyat Malaysia yang berada di sana untuk keluar dari negara tersebut. Atas tindakan berani Korea Utara, kerajaan Malaysia juga telah mengambil pendekatan yang sama dengan memperkenalkan larangan keluar ke atas rakyat Korea Utara dari Malaysia, sehinggalah kesemua rakyat yang ditahan dibenarkan pulang.
Tidak ada siapa sangka, bermula dari kejadian di KLIA tempohari telah menjadi titik mula satu insiden besar pertelingkahan yang mungkin sekadar melibatkan Malaysia dan Korea Utara, malah mungkin juga akan melibatkan kuasa-kuasa besar dunia.
BESARKAN TEKS A- A+
Korea Utara bukanlah nama yang sentiasa meniti di bibir rakyat kita apabila bercakap berkenaan pelancongan dan perihal Korea Utara juga tidak mampu heboh di Malaysia seperti mana hebohnya anak gadis kita dengan kedatangan artis Korea Selatan. Mari kita imbas kembali beberapa titik pertemuan di antara Malaysia dan Korea Utara sebelum insiden yang menyebabkan kematian Kim Jong Nam berlaku.
1. Malaysia jadi Tuan Rumah Perbincangan
Malaysia telah menjadi tuan rumah kepada pertemuan wakil kerajaan Korea Utara dan wakil kerajaan Amerika Syarikat pada tahun 2014. Mesyuarat 2 hari yang berlangsung di Kuala Lumpur. Topik perbicangan ketika itu lebih menjurus ke arah keupayaan senjata nuklear Korea Utara yang mengancam keselamatan dunia.
2. Negara Kita Dikecam Kerana Mengguna Pekerja Korea Utara
Pada tahun 2014, seorang pekerja rakyat Korea Utara antara yang telah meninggal dunia dalam kejadian letupan lombong arang batu di Sarawak. Wakil kerajaan Malaysia memaklumkan kepada media yang pengambilan warga Korea Utara bekerja di Malaysia, hanya dibenarkan di Sarawak kerana pekerja Korea Utara tahan upaya untuk bekerja di bawah tanah.
Apa yang menjadi kontroversi adalah pendedahan yang pekerja Korea Utara yang bekerja hanya menerima 10-15% gaji mereka dan selebihnya akan dibayar kepada agensi kerajaan mereka.
3. Duta Korea Utara ke Malaysia Dibunuh
Duta Korea Utara ke Malaysia, Jang Yong-chol telah pun dibunuh selepas dipanggil pulang ke negara asalnya. Apa yang menyedihkan, berdasarkan maklumat yang diterima, kerajaan Korea Utara bukan sekadar membunuh Jang Yong-chol malah telah membunuh dua anaknya, adiknya sendiri yang juga isteri kepada Duta Korea Utara ke Cuba dan duta tersebut sendiri, iaitu adik ipar kepada Jang Yong-chol.
4. Kim Jong Nam Dikenalpasti Berada di Malaysia
Selepas insiden yang disebut dalam poin ke tiga berlaku, pada awal tahun 2014, Kim Jong Nam telah didapati menyusup masuk ke Malaysia dari Macau untuk menyembunyikan diri. Sebuah akhbar Jepun melaporkan kelibat Kim Jong Nam telah dikesan melawat sebuah restoran masakan Korea yang berada di Kuala Lumpur.
5. Malaysia Umum Mahu Jadikan Korea Utara Rakan Dagang Lebih Besar
Pada bulan Disember 2016, CEO Matrade, Datuk Dzulkifli Mahmud mengumumkan hasrat agar Korea Utara dapat dijadikan rakan dagang Malaysia yang lebih besar. Sebanyak 18 buah syarikat dari Korea Utara telahpun menyertai Malaysia International Branding Showcase atau IBS2016, membuktikan wujudnya keperluan untuk kerjasama yang lebih besar.
Ironinya, Datuk Dzulkifli Mahmud menyebut "Korea Utara sedang mencari peluang untuk menjadikan Malaysia sebagai pintu masuk ke pasaran Asia Tenggara dan Malaysia sesuai kerana polisi negara yang mengutamakan perniagaan. Hubungan Korea Utara dan Malaysa telah berkembang dengan sangat positif untuk beberapa tahun kebelakangan ini. Masih ada banyak ruang untuk dibangunkan hubungan yang mampu menguntungkan kedua-dua buah negara."
Dalam 2 bulan, macam-macam boleh jadi.
Begitulah dunia.