Oleh pada 09 Mar 2017 kategori

Seperti yang kita ketahui, Korea Utara dikenali sebagai sebuah negara komunis yang paling menindas di dunia. Negara ini telah diperintah selama tujuh dekad oleh keturunan Kim bersama Parti Pekerja Korea.

Selama zaman pemerintahan keluarga Kim, rakyat ditakut-takutkan dengan hukuman mati di khalayak ramai, penahanan individu sesuka hati dan mengamalkan buruh paksa. Selain itu, pemerintah menyekat perjalanan warga Korea Utara agar tidak melarikan diri atau memasang niat untuk mencari perlindungan di negara lain.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Selama 2 tahun berturut-turut Suruhanjaya Inkuiri (COI) dari Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UN) telah melaporkan tentang pelanggaran hak asasi manusia di Korea Utara. Pada bulan Mac 2016,  Korea Utara telah memperbetulkan empat hukum perjanjian hak asasi manusia namun hakikatnya mereka masih lagi melanggar peraturan dan menyekat kebebasan rakyat di sana. 

Berikut laporan Human Rights Watch dengan kerjasama UN berkenaan sistem pemerintahan Korea Utara pada tahun 2016.

#1 Tiada kebebasan untuk bersuara atau mendapatkan maklumat

Kesemua media dan penerbitan di Korea Utara dikawal ketat oleh kerajaan termasuklah mana-mana media asing yang dibenarkan masuk ke negara itu. Penggunaan Internet disekat dan panggilan antarabangsa semuanya dipantau rapi.

Mana-mana individu yang ditangkap menggunakan media yang tidak dibenarkan seperti telefon bimbit dari China, kad memori atau USB yang mengandungi video, berita, filem atau drama dari luar negara akan menerima hukuman yang berat.

askar korea utara berjalan di hadapan gambar pemerintah

#2 Kawalan sempadan diperketatkan

Sepanjang tahun 2016, kerajaan di bawah pemerintahan Kim Jong-Un telah meningkatkan usaha untuk menyekat warga Korea Utara daripada melepasi sempadan ke China.

Antara taktik yang digunakan adalah dengan memasang pagar dawai berduri di kawasan sempadan, menyeksa sesiapa sahaja yang ditangkap membuat cubaan berkomunikasi dengan orang China atau Korea Selatan dan menyekat perkhidmatan sel mudah alih di sekitar sempadan supaya komunikasi tidak dapat dijalankan.

kim jong un memeriksa sempadan di korea utara untuk menyekat pergerakan rakyat daripada menyeberang ke china

#3 Layanan tidak berperikemanusiaan semasa dalam kem tahanan

Rejim kerajaan Korea Utara sememangnya digeruni kerana kerajaan akan menahan sesiapa sahaja yang disyaki melakukan kesalahan dan orang tahanan ini akan diberikan layanan kejam sepanjang penahanan. Terdapat tiga peringkat hukuman mengikut kesalahan dan setiap pesalah akan dihantar ke kem-kem berlainan.

Tahanan politik yang telah melakukan kesalahan serius akan dihantar ke kem tahanan politik yang dipanggil kwanliso di mana mereka akan berterusan diseksa tanpa henti. Semua tahanan perlu membuat kerja berat dalam sektor pembalakan, perlombongan dan pertanian. Selain itu mereka menghadapi penyeksaan pencatuan makanan yang menyebabkan kebuluran, tiada rawatan perubatan, didera secara seksual dan juga dibunuh di hadapan khalayak ramai. Pertubuhan Bangsa-bangsa bersatu menganggarkan antara 80,000 hingga 120,000 orang dipenjarakan di kem tahanan politik ini.

Suspek yang disyaki berdagang dengan negara China atau menonton atau menjual filem dari Korea Selatan akan dimasukkan ke kem tahanan pemulihan atau kyohwaso. Semua tahanan dipaksa menjadi buruh dan menghadapi kekurangan makanan dan perubatan serta layanan buruk oleh pengawal.

Akhir sekali, mana-mana warga Korea Utara yang disyaki terlibat dengan perdagangan tanpa izin, ponteng kerja selama lebih 6 bulan atau sesiapa yang gagal membayar rasuah kepada pegawai kerajaan akan dihantar ke rodong danryeondae atau pusat latihan buruh. Tahanan akan didera dan dipaksa bekerja dalam persekitaran yang berbahaya.

buruh paksa menjadi salah satu agenda pemerintahan korea utara

#4 Buruh paksa

Kerajaan Korea Utara memaksa majoriti rakyatnya untuk bekerja tanpa bayaran pada bila-bila masa yang dikehendaki. Contohnya, pada tahun 2014, kanak-kanak sekolah yang berusia 10 hingga 16 tahun dipaksa bekerja setiap hari untuk mengumpul dana bagi membayar gaji pegawai kerajaan, menanggung sekolah di samping mengaut keuntungan.

Setiap keluarga di negara ini diwajibkan menghantar wakil seorang ahli keluarga untuk bekerja di bahagian pembinaan sekurang-kurangnya 2 jam sehari dan 6 hari seminggu. Mereka perlu membaiki jalan, menyiapkan bangunan, mengumpul batu-bata atau membersihkan kawasan awam.

#5 Hak pekerja

Kerajaan Korea Utara di bawah pemerintahan Kim Jong-Un telah menghantar lebih ramai pekerja ke luar negara untuk mendapatkan mata wang asing. Walaupun bekerja jauh dari negara asal, namun layanan yang diberikan kepada warga Korea Utara seringkali sama sahaja kerana mereka tidak bebas bergerak, tidak bebas bersuara, mempunyai masa kerja yang terlalu panjang dan disekat untuk berkomunikasi dengan orang luar.

layanan terhadap buruh paksa di korea utara amat menyedihkan makanan dicatu dan tiada rawatan perubatan diberikan

#6 Sistem kasta

Sistem pengkelasan sosiopolitik di Korea Utara, atau lebih dikenali sebagai songbun menentukan kedudukan seseorang individu berdasarkan latarbelakang keturunan yang patuh dan akur kepada kerajaan. Sistem ini telah digunapakai sejak awal tahun 60-an lagi.

Sebagai contoh, seorang pemuda yang dilahirkan pada tahun 1990 tidak dapat menikmati kehidupan yang baik pada zaman kini walaupun dia patuh dengan setiap peraturan kerajaan atau belajar dengan tekun. Hidupnya akan sentiasa berada di takuk yang sama sehingga ke akhir hayat. Mengapa? Hanya kerana datuknya telah dituduh menyokong pihak Jepun semasa zaman Perang Dunia ke-2.

Itulah sistem kasta songbun di mana keluarga 'pengkhianat' akan dipaksa berpindah ke kawasan pedalaman, setiap keturunan itu tidak dibenarkan menjadi pegawai atasan kerajaan, anak-anak hanya akan mendapat pendidikan kelas kedua dan mereka tidak boleh menetap di bandar Pyongyang di mana semua keluarga elit dengan songbun tertinggi tinggal.

nampak macam mesra kanak kanak dan bapa penyayang

Lepas baca ni, rasa bersyukur tak anda dilahirkan dan tinggal di Malaysia?




Hakcipta iluminasi.com (2017)