Bagi peminat permainan video khususnya judul yang dibuat di Jepun, gred S secara automatik menggambarkan prestasi cemerlang pemain dalam menerokai permainan tersebut.
Penggunaan huruf "S" sebagai penarafan tertinggi telah menjadi fenomena meluas, datang daripada budaya Jepun yang tersebar melalui dunia permainan video sehingga bercambah digunapakai dalam pelbagai industri lain.
BESARKAN TEKS A- A+
Apakah kisah sebenar asal usul penggunaan huruf "S" ini dari Jepun dan mengapa ia huruf tersebut dipilih sebagai simbol untuk yang terbaik?
Asal Usul Penggunaan Huruf "S"
Huruf "S" pada mulanya digunapakai sebagai penarafan tertinggi dalam sistem gred akademik di Jepun.
Sistem gred ini yang pada awalnya hanya bermula dengan huruf "A" sebagai tanda prestasi yang cemerlang, memerlukan sedikit rombakan apabila ada pelajar yang mencapai prestasi yang melebihi jangkaan.
Sistem pendidikan Jepun memperkenalkan gred "S" untuk menandakan kejayaan luar biasa, diambil daripada perkataan 'shu' yang bermaksud 'terbaik' dan wajar menjadi contoh ikutan. Selain itu, pengenalan huruf "S" dalam budaya Jepun juga dikaitkan dengan penekanan terhadap kesempurnaan dan pencapaian dalam peringkat lebih baik berbanding sekadar baik.
Gred "A" biasanya menandakan pencapaian tertinggi, tetapi dalam sistem Jepun yang mengejar kesempurnaan, keinginan untuk mengiktiraf tahap yang lebih tinggi ini membawa kepada gred "S" diperkenalkan.
Pengaruh Terhadap Industri Permainan Video
Pengaruh sistem gred Jepun ini mula meresap ke dalam dunia permainan video, terutama pada tahun 1980-an dan 1990-an.
Banyak permainan video Jepun terutamanya daripada syarikat besar seperti Sega, Nintendo, dan Capcom mula menggunakan huruf "S" sebagai penarafan tertinggi untuk menilai prestasi pemain.
Dalam judul seperti Street Fighter, Devil May Cry dan Gran Turismo, pemain akan diberikan gred "S" apabila mereka mencapai prestasi yang sempurna dalam menyelesaikan cabaran dengan kecekapan yang luar biasa.
Sistem penarafan ini menjadi popular di seluruh dunia apabila permainan video dari Jepun mendapat tempat di pasaran global.
Para pemain tidak kira dari negara mana pun, mula mengenali gred "S" sebagai lambang tertinggi bagi pencapaian dalam permainan yang mereka mainkan, sekaligus menjadikan huruf "S" sebagai simbol yang difahami secara global mewakili kejayaan melangkaui had kecemerlangan.
Dalam beberapa siri permainan seperti Devil May Cry misalnya, gred "S" bukan sahaja diberikan untuk prestasi yang baik tetapi variasi seperti "SS" dan "SSS" untuk menunjukkan tahap kemahiran melampaui batasan turut diperkenalkan.
Pengenalan sistem gred seperti ini menunjukkan fleksibelnya huruf "S" digunakan untuk menilai pencapaian yang luar biasa dan bagaimana ia terus dikekalkan dalam permainan video sebagai penanda aras tertinggi tahap seorang pemain.
Bermula dari Jepun, berkembang ke tahap dunia
Pemilihan huruf "S" sebagai penarafan tertinggi terus berkembang dengan intepretasi berbeza tanpa mengubah maknanya.
Oleh kerana penggunaannya, huruf ini mula mempunyai beberapa konotasi yang kuat dalam bahasa Inggeris, dikaitkan dengan istilah seperti "Super," "Special," dan "Superior," yang kesemuanya membawa makna yang positif dan luar biasa.
Walaupun kami menggunakan contoh penggunaannya dalam permainan video, anda pasti sedar aplikasinya tidak terhad hanya kepada permainan video sahaja. Dalam banyak bidang lain, huruf "S" juga digunakan sebagai simbol bagi prestasi atau mewakili gred kualiti tertinggi.
Jika anda ingin membeli kereta terpakai dari Jepun sebagai contoh, setiap kenderaan yang dijual akan diberikan gred tertentu. Apakah gred kenderaan terpakai dari Jepun yang tertinggi boleh diberikan?
Sudah pasti gred S kerana di sana, sesuatu yang lebih baik daripada cemerlang hanya layak diberikan gred tersebut.