Matematik merupakan salah satu subjek pembelajaran yang paling penting dalam kehidupan di sekolah, universiti mahupun kehidupan seharian kita. Banyak perkara dan ilmu matematik yang dapat diaplikasikan dalam kehidupan seharian kita. Bermula daripada tambah dan tolak sehinggalah kepada ilmu tentang algebra dan sebagainya, ilmu matematik sudah pasti akan membuatkan kehidupan kita menjadi lebih mudah. Ilmu ini juga memberi manfaat kepada kita. Dengan adanya ilmu matematik, kita tidak akan mudah terpedaya dengan orang lain.
BESARKAN TEKS A- A+
1. Bermain permainan matematik
Bermain merupakan satu proses pembelajaran yang menarik dan tidak membosankan. Bagi seorang kanak-kanak, pastinya satu perkara yang sukar untuk ibu bapa menyuruh mereka untuk belajar sepanjang masa. Oleh hal yang demikian, cara ini merupakan cara yang paling efektif. Berikan anak-anak anda bermain permainan yang berunsurkan pendidikan terutamanya matematik. Anak anda akan berasa seronok dan secara tidak langsung, kebolehan matematik mereka akan meningkat. Sebagai seorang dewasa, anda juga boleh mempraktikkan cara ini.
2. Review nota sebelum masuk ke kelas
Membaca dan melihat sepintas lalu nota sebelum masuk ke kelas matematik merupakan satu perkara yang amat penting. Matematik merupakan satu pembelajaran yang melibatkan pengiraan dan penggunaan otak yang sangat tinggi. Hal ini akan menjadikan anda berasa cepat penat dan mengantuk apabila berada di dalam kelas. Oleh itu, sekiranya anda melakukan pembacaan ringan dan melihat apa yang anda akan pelajari di dalam kelas pada hari ini, otak anda tidak akan mengalami 'kejutan' dan ia membuatkan mindset anda berasa lebih bersedia untuk mempelajari topik yang baru pada hari ini.
3. Cabar diri anda
Paksa diri, bukan manjakan diri. Ayat ini memberi makna bahawa kita perlulah sentiasa mencabar diri sendiri dengan perkara-perkara yang baru. Mulakan latihan dengan soalan yang mudah, dan secara perlahan-lahan teruskan membuat latihan yang lebih susah. Amalkan latihan matematik secara konsisten dan berterusan supaya anda bersedia dan mengusai setiap topik dengan baik. Matematik merupakan subjek yang menggunakan kemahiran berfikir dan mengira, oleh itu, latihan yang banyak akan membuatkan anda lebih selesa untuk menjawab soalan-soalan yang sukar.
4. Jadikan matematik sebahagian dari hidup anda
Matematik merupakan satu ilmu yang tidak dapat dipisahkan dari kehisupan seharian kita. Hampir setiap perbuatan kita mempunyai kaitan dengan pengetahuan matematik. Tamsilnya, ketika anda hendak membeli barang, anda pasti akan menggunakan kemahiran mengira untuk memastikan barangan yang hendak dibeli cukup dengan bajet anda. Oleh hal yang demikian, cuba untuk mempraktikkan kemahiran ini setiap masa di mana jua. Uji diri anda untuk mengira jumlah harga yang hendak dibeli di pasaraya sebelum anda membawa barangan tersebut ke kaunter. Melalui perbuatan ini, anda akan terbiasa dengan proses pengiraan sekaligus akan mempercepatkan kemahiran anda unutk mengira kerana data-data tersebut telahpun tersimpan di dalam memori anda.