Kurt Godel ialah seorang ahli matematik Austria yang sangat bijak tetapi juga seorang yang pelik. Godel dianggap sebagai seorang ahli matematik paling revolusioner pada abad ke-20 kerana sering muncul dengan pelbagai teorema hebat ketika masih berusia awal dua puluhan.
Walau bagaimanapun, masalah mental telah mengganggu bakat besar dan juga kehidupannya ketika semakin berusia. Hidupnya musnah akibat masalah paranioa yang dihadapi sehingga membawa kepada kematiannya.
BESARKAN TEKS A- A+
Digelar sebagai "Encik Kenapa"
Kurt Friedrich Godel dilahirkan pada tahun 1906 di tanah jajahan Austria yang kini dikenali sebagai Republik Czech. Dia adalah seorang yang amat pintar sejak dari kecil lagi. Keluarganya menggelar Godel sebagai 'Herr Warum' atau 'Encik Kenapa' kerana kekerapannya bertanyakan soalan dalam apa sahaja hal.
Godel ketika usia muda
Sewaktu bersekolah rendah, Godel telah menghidapi demam reumatik dan dia percaya ia adalah punca masalah jantung yang dihidapinya sepanjang hayat. Walaupun begitu, dia tetap menjadi seorang pelajar cemerlang di sekolah rendah, menengah dan di Universiti Vienna.
Pada tahun 1929, dia telah menerima ijazah doktor falsafah hanya pada usia semuda 23 tahun sahaja. Masa yang dihabiskan di Universiti Vienna telah mengubah hidupnya secara peribadi dan profesional untuk selama-lamanya.
Semasa berada di universiti, Godel telah bertemu dan jatuh cinta dengan Adele Numbursky, seorang penari yang telah bercerai dan enam tahun lebih tua daripadanya. Ibu bapanya telah menentang hubungan Godel dan Adele, membuatkannya berasa sedih kerana dia amat rapat dengan ibunya.
Godel dan isterinya, Adele.
Namun, Adele terbukti menjadi penyokong kuat Godel. Mereka akhirnya berkahwin 10 tahun kemudian pada tahun 1938. Isterinya itu kekal berada di samping Godel dan menjadi orang paling rapat dengannya sehingga ke akhir hayat.
Teori revolusioner Godel
Dalam lanjutan pengajian kedoktorannya, Godel telah menerbitkan 'Incompleteness Theorems' pada tahun 1931. Ia merupakan idea-idea revolusioner termasuk beberapa kenyataan tentang nombor yang walaupun ia adalah nyata tetapi tidak dapat dibuktikan.
Incompleteness Theorems atau teorem tidak lengkap itu telah menggegarkan dunia matematik pada masa itu. Menurut majalah Science, ahli matematik lain telah mempertimbangkan teori itu dan mempersoalkan apa yang mereka ketahui selama ini.
Godel kemudiannya menjadi salah satu penyumbang kepada teori fungsi rekursif yang kini menjadi sebahagian daripada asas dalam penghasilan komputer. Walaupun dia dianggap genius matematik, pada masa yang sama dia juga mempunyai krisis peribadi. Pada pertengahan tahun 1930-an, Godel telah menghabiskan sebahagian besar masanya berada di pusat kesihatan mental.
Antara Perang Dunia Pertama dan Kedua, Godel adalah ahli kumpulan intelektual dan ahli falsafah yang dikenali sebagai 'Vienna Circle'. Walau bagaimanapun, ketika tentera Nazi mula menyerang Austria pada tahun 1938, Godel dan isterinya, Adele, telah melarikan diri ke Princeton, New Jersey, di mana mereka menghabiskan sisa hidup mereka di sana.
Rakan baik Albert Einstein
Albert Einstein bersama Kurt Godel
Semasa di Princeton, Godel telah berkawan baik dengan seorang lagi ahli teori Jerman terkenal yang tinggal di sana iaitu Albert Einstein. Kedua-dua pendatang ini sering berjalan bersama setiap hari dari pejabat mereka di Institut Kajian Lanjutan di Princeton.
Godel dan Einstein sering berbual dalam bahasa Jerman yang merupakan bahasa ibunda mereka. Einstein begitu rapat dengan Godel sehingga dia pernah menemani pakar matematik itu untuk menghadiri perbicaraan di mahkamah pada tahun 1947 untuk permohonan menjadi warganegara Amerika Syarikat.
Mereka bukan sahaja berkongsi bahasa, malah turut mengalami masalah pengasingan sosial yang sama. Seorang ahli Institut mereka memberitahu akhbar New Yorker pada tahun 2005, kedua-dua orang genius itu tidak mahu berbual dengan orang lain selain sesama mereka sendiri sahaja.
Godel dan Einstein berjalan bersama
Menurut akhbar itu lagi, mereka berdua sebenarnya mempunyai perwatakan yang berbeza. Einstein adalah seorang yang mesra dan mudah ketawa manakala Godel pula adalah seorang yang serius, muram dan suka bersendirian.
Godel pernah dianggap ahli pemikir terbesar sejak Aristotle tetapi citarasanya adalah pelik dan berbeza, seperti apa yang anda harapkan daripada seorang genius hebat. Filem kegemaran Godel ialah Snow White and Seven Dwarfs.
Dibelenggu masalah paranoia
Apa yang lebih menjadi perhatian ialah tingkah laku Godel yang semakin pelik dan membimbangkan. Dia mengalami paranoid, percaya kepada kewujudan hantu, takut dirinya akan diracun dan percaya bahawa setiap ahli matematik lain yang datang melawat ingin membunuhnya.
Menurut New Yorker lagi, diet pemakanan Godel kebanyakannya terdiri daripada mentega, makanan bagi dan makanan laksatif (makanan yang mudah lawas).
Selepas Albert Einstein meninggal dunia pada tahun 1955, Godel menjadi semakin pendiam dan suka bersendiri. Jika ada orang yang mahu bercakap dengannya, mereka terpaksa membuat panggilan telefon terlebih dahulu walaupun berada dalam bangunan yang sama.
Apabila dia tidak mahu berjumpa dengan seseorang itu, dia akan mengaturkan pertemuan di suatu tempat yang ditetapkan tetapi tidak akan muncul apabila tiba waktunya.
Godel pernah memenangi anugerah Medal Sains Kebangsaan Amerika Syarikat pada tahun 1975 dan hadiahnya akan disampaikan sendiri oleh Presiden Gerald Ford. Akan tetapi, dia enggan menghadiri majlis itu di Washington walaupun ditawarkan dengan pengangkutan peribadi untuk membawanya ke sana.
Kebuluran sehingga membawa maut
Selain itu, Godel juga amat takut untuk jatuh sakit. Jadi, dia memakai topeng ski untuk menutup hidungnya ketika dia keluar. Dia hanya akan makanan yang disediakan dan diuji oleh isterinya sahaja.
Dia juga mempunyai episod halusinasi yang banyak dan sering berbicara mengenai kuasa gelap yang akan menyerap semua kuasa baik di dunia ini. Dia juga merasakan ada rancangan jahat untuk meracuninya, disebabkan itu dia sering menolak untuk makan.
Apabila isterinya, Adele, dimasukkan ke hospital pada akhir tahun 1977 akibat sakit tua, dia berhenti makan secara keseluruhannya. Dia menjadi sangat kurus dan terpaksa dimasukkan ke dalam Hospital Princeton tidak lama kemudian. Dua minggu selepas itu, Kurt Godel meninggal dunia akibat kebuluran.
Dalam sijil kematiannya tertulis punca kematian Godel adalah kerana "kekurangan zat makanan dan kebuluran disebabkan oleh gangguan personaliti. Genius matematik itu menghembuskan nafas terakhir ketika berusia 71 tahun dan ketika kematiannya, berat badannya kurang daripada 30kg.
Rujukan: