Sekiranya anda seorang pelajar kejuruteraan ataupun seorang jurutera, anda pasti pernah menghadapi kesukaran dan kekeliruan untuk menukar unit ukuran daripada unit ukuran Imperial System (IS) yang digunapakai secara meluas di Amerika Syarikat kepada sistem unit metrik.
Menukar unit ukuran bagi berat daripada pound (lb) ke kilogram (kg) dimana 1 kg bersamaan dengan 2.20462 lb mungkin tidak begitu sukar. Walau bagaimanapun, bagi menyelesaikan masalah pengiraan matematik sukar yang melibatkan kiraan tekanan udara, halaju dan sebagainya, ianya lebih kompleks dan ada kalanya mengelirukan.
BESARKAN TEKS A- A+
Secara umumnya, terdapat beberapa sistem unit ukuran didunia tetapi yang paling popular adalah sistem unit metrik. Kali ini pihak iluminasi ini berkongi sejarah ringkas sistem unit metrik ini dan mengapa Amerika Syarikat tidak menggunakannya secara rasmi walaupun hampir kesemua negara di dunia ini sudahpun menggunakannya secara rasmi.
Sejarah penciptaan sistem unit metrik
Sejarah sistem unit metrik ini bermula sekitar tahun 1700-an, iaitu ketika zaman Revolusi Perancis. Pada ketika ini, sistem unit metrik telah diperkenalkan di Perancis dan tersebar luas ke beberapa negara terutamanya di sekitar Eropah. Walau bagaimanapun, sistem ini telah ditolak oleh England dan juga sekutunya Amerika Syarikat.
Secara umumnya, dalam sistem unit metrik terdapat dua unit asas iaitu meter bagi jarak atau panjang, dan gram bagi berat. Unit-unit lain seperti ketumpatan, isipadu, luas dan sebagainya diperolehi berdasarkan 2 unit asas ini.
Pada zaman kini, sistem unit metrik telah ditambahbaik dan diberi nama Système international d'unités atau singkatannya unit SI. Antara unit-unit asas dalam unit SI ini adalah meter (panjang/jarak), kilogram (berat), saat (masa), kelvin (temperature) dan sebagainya.
Nota: Jangan terkeliru antara unit SI dan unit IS (yang digunakan di Amerika Syarikat)
Penggunaan sistem unit metrik di Amerika Syarikat
Menjelang 1860, kesemua negara di Eropah telah telahpun menggunapakai sistem unit metrik. Hanyalah pada tahun 1893 kerajaan Amerika Syarikat secara rasminya mengiktiraf sistem unit metrik. Malangnya, penggunaannya tidak secara meluas.
Pada tahun 1971, National Bureau of Standards telah berusaha untuk menukar sistem ukuran di Amerika Syarikat kepada sistem unit metrik. Walaupun pihak Kongres telah menerima cadangan ini, penggunaan sistem unit metrik ini tidak diwajibkan, sebaliknya bergantung kepada setiap individu atau syarikat itu sama ada hendak menggunakannya atau tidak.
Adalah tidak tepat untuk mengatakan Amerika Syarikat tidak langsung sistem unit metrik. Sistem unit metrik di Amerika Syarikat digunakan secara meluas dalam bidang sains dan ketenteraan. Malah, para pelajar juga diajar menggunakan sistem unit metrik di sekolah.
Selain itu, mereka sebenarnya mencampur-adukkan penggunaan sistem unit metrik. Sebagai contoh, ukuran jarak bagi sebuah padang permainan American football diukur menggunakan unit yards, sebaliknya ukuran jarak bagi acara lumba lari biasanya menggunakan unit meter. Contoh lain, ukuran isipadu minyak petrol biasanya menggunakan unit gallon sementara ukuran isipadu air minuman soda pula biasanya menggunakan unit liter. Sangat mengelirukan bukan?
Antara alasan mengapa sistem unit metrik tidak digunakan sepenuhnya di Amerika Syarikat
Pernahkah anda terfikir mengapakah Amerika Syarikat tidak hanya menggunakan sistem unit metrik yang lebih luas digunapakai di seluruh dunia? Bukankah itu lebih memudahkan semua pihak? Terdapat beberapa teori atau alasan munasabah mengapa mereka tetap tidak menggunakan sistem unit metrik secara meluas, antaranya:
1. Setiausaha kerajaan Thomas Jefferson adalah orang pertama yang menolak dan memprotes penggunaan sistem unit metrik secara terbuka. Pada ketika itu beliau berpendapat kos untuk membawa masuk barangan untuk ukuran berat dan panjang yang mengikut standard sistem unit metrik ke Amerika Syarikat dari Perancis adalah terlalu mahal.
2. Ketika zaman Revolusi Perindustrian, kebanyakan kilang besar pada ketika itu menyediakan peluang pekerjaan dan menjana pendapatan ekonomi yang besar kepada negara. Mesin-mesin di kilang-kilang pada waktu tersebut telah dibina dengan menggunapakai unit IS, malah para pekerja juga dilatih menggunakan unit IS. Oleh itu, setiap kali pihak kerajaan ingin mengadakan mesyuarat untuk mencadangkan penukaran unit IS kepada sistem unit metrik, ianya akan ditentang oleh syarikat-syarikat besar ini kerana mereka terpaksa menukar mesin mereka ke sistem unit metrik dan melatih para pekerja menggunakan sistem unit metrik yang semestinya memakan belanja yang besar.
3. Sebagai sebuah negara yang mempunyai kuasa besar, sesetengah pihak berpendapat bahawa Amerika Syarikat perlulah mengekalkan penggunakan unit IS untuk menjadikannya unik dan menjadi simbol status bahawa ianya sebuah negara besar dan bukannya pengikut negara lain.
Kredit: