Lebih 2 dekad dulu, fenomena industri hiburan antarabangsa tertumpu kepada usaha mencari 'boyband'; kumpulan individu kacak yang menyanyi dan menari, tanpa benar-benar mementingkan kualiti.
Antara boyband paling mahsyur dan berkualiti seperti boyband veteran New Kids on the Block, Backstreet Boys, N'Sync, Westlife, Boyzone dan 98 Degrees. Bagi generasi muda nama seperti One DIrection, Jonas Brothers dan sudah pastilah BTS adalah antara boyband berpengaruh.
BESARKAN TEKS A- A+
Bagaimana dengan boyband yang tak popular?
Sebenarnya ada banyak boyband yang kurang menyengat, bukan saja menyakitkan telinga bahkan turut menyakitkan hati dan mata kita. Berikut adalah lima kumpulan boyband yang cukup cringe dan jelas ditubuhkan hanya untuk keuntungan semata-mata.
1. Natural
Natural asalnya sebuah kugiran di mana anggotanya memainkan instrumen sendiri.
Bagaimanapun atas kekangan bajet logistik yang dihadapi setiap kali perlu melakukan persembahan, Natural memilih untuk menukarkan kugiran mereka menjadi sebuah kumpulan a'capella.
Selepas single pertama mereka gagal menawan hati peminat muzik pop di Amerika Syarikat, Natural mula bekerja dengan produser terkenal Lou Perlman yang bertanggungjawab membina kerjaya boyband mega seperti N'Sync.
Hasil kerjasama itu, Natural dan Perlman mengalih arah, memfokuskan peminat di Jerman yang akhirnya menjadi pasaran paling popular kumpulan boyband ini.
Kejayaan di Jerman membuka pasaran Natural ke Asia khasnya Asia Tenggara di mana Natural mula mengungguli telinga gadis di Filipina, Jepun dan juga Malaysia.
Ketika era populariti boyband mula menurun, Natural cuba kembali kepada konsep asal kugiran namun persengketaan mula melanda anggotanya. Selepas salah seorang anggota pengasas kumpulan ini melanggar perjanjian kontrak, kumpulan ini mula membawa haluan sendiri dengan seorang anggota asal.
Cubaan untuk menaikkan semula nama Natural dengan nama baru 'New Natural' yang membawakan konsep rock gagal lebih teruk dalam pasaran.
2. O-Town
O-Town merupakan antara boyband yang pernah disebut-sebut peminat muzik Malaysia, kerana berdasarkan ingatan penulis saluran TV kita agak kerap memainkan klip promo kumpulan ini.
Popular dengan lagu 'Liquid Dreams', pasti ramai yang pernah menyanyikan lagu ini semasa muda tanpa mempedulikan apa isi sebenar lagu tersebut.
'O-Town' bermula sebagai kumpulan yang ditubuhkan daripada rancangan realiti TV yang dihakimi juga oleh Lou Perlman (pengurus boyband Natural di atas).
Selepas tamat kontrak dengan rancangan tersebut, O-Town menandatangani kontrak rakaman, melancarkan lagu popular mereka yang jelas agak kotor mesejnya dan mampu menduduki tangga ke 5 carta Billboard.
Pencapaian itu tidak membantu kualiti vokal O-Town yang jelas tidak berkemampuan untuk menyanyi secara langsung. Walau bagaimanapun kelemahan itu tidak menghalang peminat mereka terus mendambakan lima anak muda ini.
Selepas berpecah pada tahun 2003, O-Town kembali bergabung pada tahun 2013 dengan tiga anggota asal, melancarkan dua album pada tahun 2014 dan 2019.
Kami yakin ramai wanita separa usia masih curi-curi mendengar lagu 'Liquid Dreams' apabila ada masa. Jika ya, cuba semak kembali lirik lagu ini dan fahami apa maknanya.
3. 3Deep
Sebuah kumpulan boyband yang hanya popular di Kanada dan kurang dikenali di serata dunia, 3Deep dianggotai dua pemuda dari Amerika Syarikat serta seorang lagi dari Kanada yang tidak gemar mengenakan butang baju.
Seperti kumpulan boyband lain sezamannya, mesej memuja wanita menjadi tunjang utama lagu-lagu 3Deep. Bagaimanapun apabila bergerak sebagai sebuah trio, persembahan 3Deep pada penulis agak kurang mantap berbanding kumpulan lain yang lebih ramai anggotanya.
Kemunculan kumpulan ini yang membariskan dua orang pelakon baru meningkat naik menyebabkan ada pihak melihat cubaan menubuhkan 3Deep, hanyalah satu langkah syarikat rakaman mengambil peluang menubuhkan kumpulan 'mee segera' ketika trend boyband sedang memuncak.
Tanpa benar-benar mencipta impak 3Deep hanya bertahan 2 tahun, berkubur pada tahun 2001. Walaupun begitu, kerjaya mereka sebagai sebagai pelakon kekal berusia panjang.
Dua anggota 3Deep masih aktif membintangi drama-drama popular, ketika ini sudah berusia 50-an. Tidak ramai peminat mereka menyedari pelakon-pelakon ini pernah menjadi anggota boyband.
4. Impression
Satu-satunya kumpulan dari Malaysia yang penulis rasakan layak duduk dalam senarai ini, kumpulan Impression menggabungkan nama popular dalam industri hiburan tanahair iaitu pelakon Eidzlan Yusof dan Norman Hakim serta bintang baru lakonan Sani Salleh.
Melalui single pertama 'Jatuh Hati', peminat mula mengenali sisi muzikal Eidzlan, Norman dan Sani yang sebelum itu lebih sinonim dengan bidang lakonan.
Bila dah tiga anggotanya pelakon dan diminta menubuhkan boyband, kita pun dah boleh agak dah kan hala tuju kumpulan ini bagaimana....kita tahu sangat mereka disatukan kerana kacak dan bukan kerana kualiti vokal.
Jelas sekali kualiti vokal yang dimiliki kumpulan Impression lemah. Lontaran vokal yang kelam-kabut bukan saja mampu didengari dalam persembahan secara langsung bahkan turut kedengaran dalam rakaman album.
Impression hanya mengeluarkan satu album dan karier mereka sebagai kumpulan boyband tidak bertahan lama, tetapi sempat jugalah mereka mengumpul kumpulan peminat setia. Tak percaya, cuba tanya wanita-wanita yang dah berusia 40-an dan 50-an minat tak kumpulan Impression?
Eidzlan dan Norman kembali dalam bidang lakonan sehingga menjadi antara orang kuat industri.
Sementara Sani pula memilih jalan berbeza, mengambil risiko memulakan perniagaan bas ekspress yang akhirnya membawa kepada penubuhan syarikat pengendali bas Sani Ekspress - kini merupakan antara syarikat bas ekspress popular di Malaysia bagi orang pantai timur.
5. b4-4
DI antara semua boyband yang ada - penulis merasakan b4-4 adalah boyband paling teruk, cringe dan memalukan. Jika anda rasakan lagu 'Liquid Dreams' dendangan O-Town teruk, single kumpulan b4-4 lebih memalukan.
Disebut sebagai 'Before Four', kumpulan dari Kanada ini dianggotai tiga anggota dengan dua diantaranya adalah pasangan kembar. Mereka menandatangani kontrak pada tahun 1999, seterusnya melancarkan album pertama mereka yang meletup di Kanada.
Selepas kegagalan album kedua mereka yang dilancarkan dalam tahun 2003, b4-4 memilih untuk menamatkan kontrak. Kumpulan ini dibubarkan.
Kenapa kumpulan ini layak digelarkan kumpulan boyband paling cringe antara semua kumpulan boyband? Tonton video di atas sampai habis. Baca liriknya yang sarat dengan makna tersirat. Renung wajah setiap anggota kumpulan itu. Tengok bagaimana gaya mereka menari. Urgh.
Melihat video di atas mampu membuatkan orang yang tak suka BTS pun boleh rasa BTS cool.