Penulis minat lagu rock kapak.

Sementara itu kakak penulis gemarkan lagu pop Amerika Syarikat. Adik perempuan penulis sukakan lagu-lagu techno dan adik lelaki penulis suka lagu KPOP. Kami sehingga kini tidak faham kenapa dia suka lagu KPOP. Berbeza-beza kan minat muzik di antara kita, walaupun perbandingan itu dilakukan di antara adik beradik sendiri?

BESARKAN TEKS     A-  A+

Setiap orang mempunyai citarasa muzik yang sangat berlainan, kebiasaannya jauh berbeza sesama ahli keluarga. Jika dibandingkan dengan ibu dan ayah pun, kita boleh nampak ketara kelainannya. Kenapa ini berlaku?

Dua kajian yang dijalankan oleh Universiti Cambridge dengan kerjasama beberapa universiti lain di Amerika Syarikat mendapati personaliti kita sebenarnya boleh diramal melalui minat kita terhadap sesuatu genre muzik. Penyelidik juga mendapati hasil keputusan juga menunjukkan kita mampu meramal minat seseorang terhadap sesuatu genre muzik, hanya dengan berdasarkan sifat dan peribadi individu tersebut.

Hubungan antara muzik dan identiti kita

fattah amin menyanyi lagu

Kajian yang belum pernah dilakukan sebelum ini oleh mana-mana pihak, cuba membuktikan wujudnya hubungan di antara muzik yang digemari dan identiti seseorang. Beberapa cubaan untuk menjalankan penyelidikan sama sebelum itu terpaksa dihentikan, disebabkan kebanyakan peserta kajian yang memberikan maklum balas berusia agak muda.

Ini dirasakan tidak akan memberikan keputusan yang boleh diterima kerana pada usia muda, kita masih belum membentuk citarasa muzik sebenar kita. Nasib baiklah berikutan perkembangan teknologi yang memudahkan komunikasi, kini penyelidik berjaya mendapatkan maklum balas lebih 21,929 orang peserta dengan lebih separuh daripadanya berusia 22 tahun dan ke atas.

Melalui kaji selidik yang dijalankan, penyelidik telah mengasingkan kesemua peserta kepada lima model utama personaliti yang digunapakai sekian lama; keterbukaan, tahap kepandaian menyesuaikan diri, tahap bersetuju, tahap kebimbangan dan tahap kesedaran kendiri.

Penyelidik juga berjaya merekodkan maklumbalas berkenaan tahap kesihatan mental peserta, tahap kepuasan hidup serta apa-apa peristiwa atau insiden yang memberikan impak besar pada setiap peserta. Kesemua faktor yang dinyatakan di atas dipercayai mampu memberikan pengaruh kepada jenis muzik yang didengar peserta.

Apa keputusan ujian tersebut bro?

k pop malaysia 24 7 93381

Kesemua peserta menunjukkan satu persamaan yang ketara;

Setiap seorang di antara mereka meminati muzik yang boleh menggambarkan personaliti dan sifat peribadi mereka sendiri. Muzik yang didengari juga boleh menceritakan serba sedikit pembentukan ideologi atau pemikiran seseorang dalam prinsip serta pegangan hidup.

Hasil kajian mereka mendapati individu yang lebih terbuka dalam hubungan sosial menggemari muzik yang lebih kompleks, dipacu nada yang bersemangat dan penuh dinamik. Mereka kurang menggemari lagu yang perlahan dan menenangkan.

Individu 'extrovert' atau mudah mesra dengan sesiapa pula berminat dengan muzik yang tidak kompleks dan menenangkan, seperti lagu akustik. Mereka yang mempunyai personaliti gemar bercakap serta bertenaga, akan lebih cenderung pada lagu yang santai dan bersahaja.

Bagi sesetengah individu yang menggemari muzik bergenre opera, kajian mendapati individu tersebut mempunyai sifat yang sangat sensitif kepada sesuatu situasi, pemikiran yang mendalam serta mampu beimaginasi tinggi.

Ramailah nak mengaku dia suka dengar lagu opera lepas ni.

Faktor identiti pada citarasa muzik

pemimpin kerajaan menyanyi

Jadi, berbalik kepada persoalan asal kita - kenapa setiap ahli anggota dalam adik-beradik mempunyai minat terhadap muzik yang berbeza?

Kajian ini jelas menunjukkan minat kita terhadap muzik sebenarnya didorong oleh personaliti kita, membuktikan wujudnya hubungan di antara genre atau kategori muzik dengan sifat seseorang. Begitu juga sebaliknya - kita boleh meramal sifat seseorang hanya dengan melihat jenis muzik yang diminatinya.

Tidak menghairankan sekiranya kita sesama adik beradik pun memiliki minat muzik yang saling berbeza kerana personaliti kita juga pasti berbeza. Kajian ini jelas menunjukkan pengaruh minat muzik kita yang terbesar, bukanlah persekitaran atau saranan rakan sebaya, tetapi diri kita sendiri. Oleh sebab itulah adik lelaki penulis agak cenderung ke arah KPOP - perangai dia pun memang saling tak tumpah macam watak utama lelaki dalam siri drama popular Korea, Winter Sonata. Sikit-sikit nak romantik.

Tak tahu apa itu Winter Sonata? Siri drama 'Winter Sonata'-lah punca fenomena KPOP ni dapat sampai ke negara kita. Damn u Winter Sonata!

Rujukan

Research Gate




Hakcipta iluminasi.com (2017)