Kredit foto: Instagram Gegar Vaganza

Aqasha merupakan bintang kelima tersingkir daripada program realiti Gegar Vaganza 4 (GV4), selepas Elyana, Haida, Raja Azura dan Ferhad.

Mempertaruhkan lagu That's Why You Go Away (Michael Learns To Rock), kedudukan dan markah Aqasha merosot teruk berbanding konsert minggu lalu.

Tampil memberikan pendedahan, Aqasha mengakui persembahannya tidak memuaskan kerana persediaan yang tidak mencukupi.

"Persembahan saya memang bawah par kerana tidak cukup persediaan dan tidak dapat penuhi masa untuk berlatih dengan band.

"Mungkin saya kurang keserasian dengan lagu tersebut.

"Saya menghormati pentas dan ruang tempat saya membuat persembahan dan sudah memberikan sehabis baik, rezeki saya cuma setakat ini sahaja," katanya memetik portal Astro Gempak.

Aqasha membuat kenyataan tersebut usai konsert keenam GV4 yang berlangsung di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, pada Ahad.

Dalam pada itu, beliau berkata, persaingan dengan penyanyi berpengalaman juga menjadi cabaran terbesarnya sepanjang menyertai GV4.

"Saya banyak belajar daripada GV4, tiada sesiapa pun boleh mengambil remeh tentang genre lagu hanya disebabkan kita tidak minat dengan sesuatu genre itu.

"Ia ujian untuk semua penyanyi yang bertanding dalam Gegar Vaganza setiap tahun iaitu mencari versatiliti dan kepelbagaian," tambah Aqasha.

Konsert GV4 ke udara secara langsung dari Dewan Sri Putra, Bukit Jalil, setiap Ahad, jam 9 malam di saluran Astro Ria.

Sumber berita: Astro Gempak




Hakcipta iluminasi.com (2017)