Walaupun jangkitan Covid-19 di Malaysia sedang memasuki fasa terakhir (harapnya), masyarakat antarabangsa khasnya wakil kerajaan barat masih tidak henti menuding jari menyalahkan China sebagai punca utama wabak berlaku.

Kebanyakan dakwaan setakat ini seperti dakwaan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump bagaimanapun tidak disertakan dengan bukti yang sahih; menyebabkan orang ramai semakin keliru dengan perang politik antara pihak anti-China dengan China.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Kenapa ada pihak secara terbuka sangat lantang menyalahkan China? 

Ini kerana dalam sejarah negara itu dengan kajian virus, mereka sudah direkodkan secara rasmi bertanggungjawab menyebabkan wabak SARS bermula atas kecuaian pihak mereka.

Insiden kecil SARS tahun 2004

makmal virologi china kecuaian 2004

Wabak SARS yang berlaku pada tahun 2003  dipercayai dimulakan penyebarannya oleh seorang doktor bernama Dr. Liu Jianlun yang berkhidmat di wilayah Guangdong, China.

Selepas dia dijangkiti virus daripada pesakitnya yang hadir bagi mendapatkan rawatan masalah paru-paru, Dr. Liu terbang ke Hong Kong bagi menghadiri sebuah majlis.

Akhirnya, Dr. Liu sempat menjangkitkan 16 orang di hotel di mana dia menginap, sebelum mengambil keputusan menjalankan kuarantin sendiri selepas tahap kesihatannya menurun.

Daripada 16 individu itulah wabak SARS merebak ke serata dunia, mencatatkan 8456 kes dengan 809 kematian.

Insiden ini penting untuk diceritakan kerana wabak SARS yang melanda kali pertama itulah yang memulakan trend penyelidikan di China, dalam mengenalpasti hubungan kelawar dengan virus serta cara perpindahannya kepada manusia.

Salah satu pusat kajian virologi yang ada di China ketika itu adalah National Institute of Virology yang terletak di Beijing.

Penyelidik di situ diberikan tanggungjawab besar mengkaji semua perkara tentang wabak virus SARS yang menyerang mereka sebelum itu. Sampel-sampel virus hidup yang diambil daripada pesakit disimpan di situ untuk digunakan dalam kajian.

Malangnya, insiden kecuaian yang berlaku hampir-hampir menyebabkan wabak SARS yang baru berjaya dibendung tahun sebelumnya, kembali merebak semula.

Kecuaian pegawai penyelidik menyebabkan kematian nyawa ibu sendiri

disinfeksi keretapi sars 2004

Satu laporan berkenaan seorang wanita berusia 26 tahun penyelidik di Chinese National Institute of Virology di Beijing yang didapati dijangkiti penyakit SARS, mula dilapor sekitar awal bulan April tahun 2004.

Penyelidik yang berasal dari wilayah Anhui itu direkodkan pulang ke kampung halamannya pada 22 Mac, mula menampakkan simptom demam panas pada 25 Mac - namun tetap mengambil keputusan untuk pulang ke Beijing pada 27 Mac dengan menaiki keretapi.

Bagaimanapun, berikutan keadaan yang semakin buruk dia dimasukkan ke Hospital Jiangong dan disahkan menghidap pneumonia pada 29 Mac.

Apa yang memeranjatkan, wanita itu tetap dibenarkan untuk pulang ke kampung halamannya di Anhui bagi menerima rawatan lanjut, walaupun kondisinya masih belum pulih dan latar belakangnya sebagai seorang penyelidik virus.

Dia kembali ke Anhui pada 2 April dijaga ibunya, sebelum ibunya pula disahkan dijangkiti virus sama.

Kes ini berkesudahan dengan sedih, selepas ibu kepada penyelidik itu meninggal dunia disahkan dijangkiti SARS pada 19 April. Penyelidik itu lebih bernasib baik umurnya masih panjang dan berjaya pulih daripada jangkitan.

Bagaimana virus itu boleh keluar daripada makmal?

petugas kesihatan coronavirus

Siasatan yang dijalankan oleh CDC dan WHO terhadap apa yang telah berlaku, gagal menemui petunjuk sahih bagaimana virus itu boleh hinggap pada penyelidik itu. Banyak pihak mendakwa kecuaian merupakan punca utama jangkitan boleh berlaku selain sikap sambil lewa wanita itu sendiri.

Penyelidik wanita itu dikatakan bertugas menjalankan kajian ke atas sampel virus SARS bersama-sama dengan petugas daripada jabatan kajian penyebab cirit-birit, membentuk kumpulan multi disiplin yang saling bekerjasama.

Disebabkan oleh keperluan kerja yang mempunyai standard yang berbeza, pihak pengurusan makmal di institusi itu dikatakan gagal menyelaraskan tahap SOP mereka, membenarkan operasi kajian melibatkan virus SARS dijalankan hanya dengan menggunakan protokol keselamatan tahap biasa.

virus sars china kebocoran makmal

Sesuatu yang dipersoalkan oleh WHO adalah tindakan penyelidik itu sendiri yang tidak mengamalkan kuarantin yang sepatutnya dilakukan, apatah lagi dia adalah seorang petugas perubatan yang profesional yang sudah dilatih menangani situasi sebegitu dengan betul.

Banyak pihak mempertikaikan keputusan yang diambilnya untuk pulang ke kampung walaupun sudah mula menampakkan simptom awal jangkitan, sehingga mengakibatkan kematian ibu kandungnya sendiri.

Jangkitan generasi kedua selepas itu

sampel virus sars

Insiden ini belum tamat.

Penyelidik wanita itu yang sempat mendapatkan rawatan di hospital sebelum pulang semula ke Anhui, malangnya menjangkitkan seorang jururawat berusia 20 tahun yang ditugaskan merawatnya.

Pihak hospital pula hanya menyangkakan wanita itu hanya terkena serangan pneumonia biasa bukan SARS, tidaklah mengenakan peraturan pakaian perlindungan khas.

Jururawat yang dijangkiti SARS itu seterusnya menyebabkan jangkitan kepada keseluruhan ahli keluarga jururawat itu seramai 5 orang selain seorang pesakit lain di hospital itu yang turut dijaganya.

Berikutan kebimbangan berlaku semula wabak SARS akibat insiden kecil itu serta pengakuan penyelidik wanita itu, kerajaan China memperkenalkan peraturan kuarantin ke atas individu yang dipercayai dijangkiti melibatkan hampir 1000 orang.

Stesen keretapi dan lapangan terbang mereka diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga, dengan petugas kesihatan dikerah untuk memantau tahap kesihatan penumpang.

Nasib jururawat muda itu lebih baik, apabila jangkitan yang berlaku berpunca daripada beliau tidak menyebabkan sebarang kematian.

Pihak pegawai atasan memikul beban kesalahan

pengarah institut letak jawatan

Dalam insiden kecil ini, WHO mengisytiharkan pihak perubatan China telah berjaya membendung penularan virus sepenuhnya pada penghujung bulan Mei tahun tersebut. Secara keseluruhannya, 1 orang meninggal dunia dan 9 orang didapati positif jangkitan.

Atas kecuaian gagal melaksanakan protokol yang sepatutnya sehingga mengakibatkan jangkitan berlaku melibatkan petugas penyelidikan di pusat mereka, lima orang pegawai atasan institut itu dikenalpasti perlu bertanggungjawab dalam insiden ini.

Dalam ucapannya, Timbalan Presiden China (ketika itu) Wu Yi menamakan kesemua individu itu termasuklah Pengarah National Institute of Virology, Dr. Li Liming.

Dr. Li Liming meletak jawatan pada 31 Jun 2004 selepas mendapat tekanan orang ramai dan kerajaan. Empat lagi pegawai atasan dikenakan tindakan disiplin. Siasatan ke atas institut terbabit menemui punca utama bagaimana kebocoran boleh berlaku.

Makmal yang menjalankan penyelidikan terhadap virus SARS hanya mempunyai tahap keselamatan yang mampu mengekang penyebaran virus dalam transmisi darah ke darah, disebabkan fasiliti di sana khas untuk menjalankan kajian terhadap virus HIV dan hepatitis.

Bagaimanapun, tahap keselamatan sama yang mereka amalkan tidak memadai untuk mengawal dan menyelia virus SARS yang baru ditemui, mampu berpindah melalui manusia ke manusia dengan mudah melalui titisan air.

Mungkin itu sesuatu yang tidak dapat mereka jangkakan akan berlaku, dalam usaha mempelajari dan mengenalpasti virus yang pada ketika itu masih layak dikatakan baru - baru menyerang dunia setahun sebelumnya.

Rujukan

Chinese authorities on alert as SARS breaks out again

Officials punished for SARS virus leak

SARS Outbreak Shows Lax Lab Security




Hakcipta iluminasi.com (2017)