Berikutan penyebaran wabak coronavirus yang gagal dikawal di wilayah Wuhan, China - keperluan untuk menyediakan fasiliti rawatan yang lebih baik amatlah diperlukan. Wuhan yang mempunyai lebih 11 juta penduduk sedang berdepan dengan kebimbangan orang ramai serta ketiadaan prasarana yang mencukupi, dalam menangani dan merawat serangan mengejut ini.
Salah satu usaha terbesar kerajaan China dalam mengatasi masalah yang wujud, adalah perancangan untuk membina sebuah hospital yang mempunyai kapasiti 1,000 katil - sebagai pusat kuarantin utama bagi semua pesakit virus 2019-nCoV yang disahkan.
BESARKAN TEKS A- A+
Hospital tersebut yang pada ketika artikel ini ditulis, sudah rancak dimulakan proses pembinaannya dengan perancangan dapat disiapkan dalam tempoh 6 hari. Ya, anda tak salah membacanya. Kerajaan China memang merancang untuk membina sebuah hospital 1,000 katil dalam masa 6 hari. Apa yang lebih mengejutkan - ini bukanlah kali pertama mereka melakukan perkara sama sedemikian rupa.
Hospital Xiaotongshan - rekod unik kejuruteraan China
Model bagi pembangunan segera sebuah hospital besar yang mampu dibangunkan dalam tempoh masa segera di China; pasti akan merujuk kepada cubaan kali pertama kerajaan China membina hospital segera.
Hospital yang dinamakan sebagai Hospital Xiaotongshan, terletak di Beijing telah berjaya dibina dalam kadar 6 hari dan 6 malam semasa berlakunya penularan wabak SARS atau 'Severe Acute Respiratory Syndrome.'
Arahan untuk pembinaannya berjaya diluluskan pada 24 April tahun 2003 dan bangunan hospital itu siap sepenuhnya pada 30 April. Mempunyai saiz ibarat sebuah padang bola sepak, lebih 1,200 orang petugas perubatan ditukarkan serta merta ke Xiaotongshan bagi mengawal penularan wabak SARS yang berlaku.
Pada 1 haribulan Mei, kumpulan pertama pengidap SARS selamat dipindahkan ke sana.
Mengapa projek pembinaan dan penubuhan segera sebuah hospital diperlukan pada ketika itu? Semasa kemuncak jangkitan SARS, Hospital Xiaotongshan pada mulanya dibina dengan matlamat mahu menjadi penampan kepada jumlah pesakit yang semakin meningkat. Ramai pesakit ketiadaan katil di hospital sekitar Beijing dan keadaan yang tidak terkawal, menyebabkan petugas perubatan turut sama dijangkiti wabak tersebut.
Tidak ada jalan lain, kerajaan China mewujudkan sebuah hospital yang mempunyai piawaian ketat, dijalankan ibarat sebuah hospital tentera dengan peraturan tinggi diperkenalkan. Individu yang keluar atau masuk dipantau dan semua petugas diwajibkan memakai pakaian perlindungan penuh.
Disebabkan itu, majoriti pesakit yang dirawat di sana langsung tidak mengenali siapakah individu yang membantu menyelamatkan mereka, berikutan topeng muka yang wajib dipakai setiap masa.
Model kepada teknik pembangunan kecemasan segera
Hanya dirancang sebagai hospital penyokong - kejayaan kaedah isolasi dan rawatan yang digunakan di Xiaotongshan akhirnya menjadi model kepada kerajaan China dalam membangunkan sistem hospital kuarantin sepenuhnya.
Seramai 680 orang pesakit berjaya dipindahkan ke Xiaotongshan dan hanya 8 orang meninggal dunia; berbeza dengan hospital-hospital lain yang mempunyai kadar kematian jauh lebih tinggi. Selain itu, petugas di Xiaotongshan juga tidak mengalami sebarang kes jangkitan seperti ditempat lain.
Beroperasi ibarat waktu puncak selama lebih 50 hari, kejayaan kaedah rawatan SARS di Xiaotongshan mula diikuti di hospital lain, seterusnya berjaya meyakinkan warga China bahawa mereka kini sudah mempunyai pengetahuan dan kemahiran yang cukup dalam menangani penularan wabak yang hadir.
Dibina khas untuk menangani wabak SARS, pada 22 Jun 2003 - semua wad isolasi dan kuarantin di Hospital Xiaotongshan dikosongkan menandakan semua pesakit sudah selamat menjalani discaj. Bangunan hospital itu kemudiannya baru di serahkan kepada bidang kuasa majlis kerajaan tempatan Beijing.
Walau demikian, pesakit yang selamat tetap tidak lari daripada kesan rawatan yang diterima.
Berikutan teknik merawat SARS menggunakan bahan steroid, kesan bahan tersebut menyebabkan ramai individu bekas pengidap SARS menghadapi masalah tulang rapuh dan sakit paru-paru, sehingga menyebabkan masalah untuk berjalan dan bernafas.
Waris kepada ahli keluarga yang meninggal menerima pampasan 5,000 yuan (RM2,930) dan bagi mereka yang hilang kemampuan bekerja - mereka menerima bantuan 8,000 yuan setahun (RM4,688) sebagai bantuan sara hidup.
Hospital Xiaotongshan yang tidak lagi mempunyai kegunaan mula diabaikan, sebelum dirobohkan pada tahun 2010.
Pembinaan Hospital Huoshenshan bagi menangani coronavirus
Kejayaan pembinaan dan operasi Xiaotongshan membuktikan kerajaan China mampu menjayakan satu projek berskala besar dalam tempoh masa yang sangat suntuk; serta masih menepati piawaian keselamatan antarabangsa yang diwajibkan ditepati.
Pembinaan Hospital Huoshenshan di daerah Caidian, Wuhan bakal mengikut acuan sama yang digunakan di Xiaotongshan bukan saja daripada segi rekaan malahan daripada cara operasinya juga.
Pecah tanah pertama bagi pembinaan telah dijalankan pada 23 Januari 2020 dengan harapan operasi sepenuhnya Huoshenshan bakal dapat dimulakan pada 3 Februari 2020. Empat kontraktor dilantik bagi membina hospital baru ini dengan lebih 200 jentera berat akan beroperasi sepenuhnya setiap hari.
Sebuah hospital biasanya akan mengambil masa 1 ke 2 tahun untuk dibina, daripada fasa perancangan sehinggalah siap sepenuhnya pembinaannya.
Untuk kerajaan China berjaya menyiapkan sebuah pusat perubatan bersifat kuarantin dalam masa tidak sampai 10 hari - itu memang merupakan satu kejayaaan yang sangat luar biasa. Koordinasi, perancangan dan kerjasama yang perlu dibentuk pastilah bukan mudah dalam sebuah projek berskala sebesar ini.
Mungkin ramai yang spektikal, tetapi sejarah sudah membuktikan keberkesanan Hospital Xiaotongshan dalam membantu menangani SARS - jadi kita doakanlah juga Hospital Huoshenshan mampu membawa perubahan serupa agar tiada individu berpenyakit, dibiarkan bebas melancong ke mana yang dia suka.