Oleh pada 23 Mar 2020 kategori

Ketika novel coronavirus yang mennyebabkan wabak COVID-19 tersebar ke seluruh dunia, dengan jumlah kes melebihi 338,000 kes (22 Mac 2020), berita palsu dan teori konspirasi juga tersebar dengan begitu pantas.

Terdapat dua versi utama tentang khabar angin dan kedua-duanya mempunyai satu persamaan iaitu coronavirus atau SARS-CoV-2, berasal dari makmal penyelidikan tahap 4 (tahap biosekuriti tertinggi) di Wuhan.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Dalam satu versi khabar angin ini, virus tersebut didakwa telah dihasilkan dalam makmal oleh manusia sebagai senjata biologi.

Dan dalam satu versi lagi, virus tersebut yang sedang dikaji dalam makmal (selepas diasingkan daripada haiwan) kemudiannya "bocor" atau "terlepas" disebabkan oleh protokol keselamatan yang teruk. 

Makmal yang dimaksudkan adalah Institut Virologi Wuhan.

institut virologi wuhan 756

Institut Virologi Wuhan memang benar-benar wujud dan asal dari mana datangnya novel coronavirus ini masih menjadi misteri.

Namun, para pakar  virologi yang telah menghuraikan tentang genom SARS-CoV-2 dan pakar penyakit berjangkit yang mengkaji coronavirus mengatakan bahawa mereka mempunyai bukti mencukupi untuk mengatakan virus itu adalah baru serta berasal dari alam semula jadi.

Sekumpulan besar daripada ahli sains ini memetik analisis genom dari beberapa negara menegaskan bahawa virus itu berasal dari dunia hidupan liar.

Kemunculan virus ini di bandar yang terletak satu-satunya makmal yang mempunyai biosekuriti tahap 4 di China, adalah satu kebetulan sahaja. 

Dari mana datang dakwaan dan teori ini?

novel coronavirus 973

Sebelum kita mendedahkan kepalsuan teori-teori ini, adalah penting untuk kita tahu siapa yang menyebarkan khabar angin tentang asal-usul novel coronavirus ini.

Pertama, beberapa pakar dan ahli politik konservatif terkemuka yang terkenal dengan men geluarkan komen tak masuk akal serta menghentam China, telah mempolitikkan khabar angin tentang senjata biologi selama berminggu-minggu. 

Senator Tom Cotton telah berulang kali mencadangkan di hadapan Kongres dan Fox News bahawa virus itu mungkin datang dari makmal di Wuhan.

Bekas ahli strategi White House, Steve Bannon kemudiannya bercakap di Fox News untuk mempertahankan Tom Cotton dan mengatakan bahawa Parti Komunis China masih menyembunyikan sesuatu tentang asal-usul Covid-19.

Dalam New York Post, Steven Mosher yang merupakan sering mengkritik langkah kawalan penduduk China, telah mencetuskan khabar angin berkenaan kebocoran virus itu dengan menggunakan pelbagai petunjuk bahawa "pengendalian patogen membunuh oleh makmal China tidak boleh dipercayai".

Khabar angin yang sama juga telah berleluasa di forum dalam talian di China.

Pada 20 Februari 2020, laman South China Morning Post mendedahkan kepalsuan satu lagi khabar angin tentang virus itu yang "bocor" dari makmal Wuhan.

South China Morning Post memberitahu bahawa seorang penyelidik di Institut Virologi Wuhan iaitu Chen Quanjiao telah melaporkan bahawa pengarah institut itu iaitu Wang Yanyi mendakwa Chen telah menjual haiwan eksperimen kepada pasar haiwan hidup dan makanan laut, serta "membocorkan virus" itu dari makmal berkenaan.

pasar makanan laut huanan di wuhan

Namun, Chen menafikan dakwaan itu dengan mengatakan bahawa dia sangat marah kerana namanya digunakan untuk memalsukan maklumat.

Bukti saintifik yang menyangkal khabar angin ini sangat penting kerana teori konspirasi boleh berterusan dan mengurangkan kepercayaan kepada pihak berkuasa kesihatan awam pada masa kritikal ini.

Seperti yang dilaporkan oleh Washington Post Ahad, khabar angin bahawa virus itu datang dari sebuah makmal China adalah salah satu sebab penduduk di sebuah daerah di Alabama kini hilang keyakinan dan tidak percaya terhadap respons Covid-19 di negeri mereka.

"Teori-teori konspirasi mengenai virus buatan manusia bukanlah satu perkara baru. Kita melihat hal ini berlaku kepada HIV, iaitu khabar angin bahawa Amerika Syarikat menghasilkannya dan memperkenalkannya ke Afrika. Tetapi ia merupakan satu perkara yang sangat berbahaya untuk disebarkan," kata Gerald Keusch, profesor perubatan dan kesihatan antarabangsa serta pengarah bersekutu Makmal Penyakit Berjangkit Kebangsaan di Boston University.

Novel coronavirus berasal dari kelawar

kelawar dikatakan penyebab novel coronavirus 718

Sejurus selepas kerajaan China mengakui terdapat wabak virus baru yang misteri pada akhir Disember di Wuhan, para saintis berlumba-lumba menyusun genomnya (set haploid kromosom dalam gamete atau mikroorganisma, atau dalam setiap sel organisma multiselular).

Menjelang pertengahan bulan Januari, mereka menemuinya dan berkongsi dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Tak lama selepas itu, para saintis mendapati bahawa virus ini menyerupai virus-virus yang ada pada kelawar.

"Jika anda melihat urutan genetik dalam novel coronavirus, ia sangat berkait dapat dengan virus kelawar iaitu kira-kira 96%," kata Jim LeDuc, ketua Laboratorium Nasional Galveston, (makmal biosekuriti tahap 4 di Texas).

Beliau juga menambah bahawa terdapat khabar angin tentang tenggiling sebagai perantara virus ini dan ia mungkin tidak benar.

Pegawai-pegawai China juga melaporkan bahawa beberapa kelompok kes pertama mempunyai hubungan dengan pasar haiwan hidup di mana makanan laut dan hidupan liar lain dijual sebagai makanan.

Pasar itu kemudiannya menjadi hipotesis utama bagaimana SARS-CoV-2 berpindah kepada manusia, yang mana telah tersebar sejak itu. 

adakah novel coronavirus buatan manusia

Selain itu, sekumpulan penyelidik telah membandingkan genom novel coronavirus ini dengan 7 lagi coronavirus lain yang diketahui menjangkiti manusia iaitu SARS, MERS dan SARS-CoV-2 (yang menyebabkan penyakit teruk), bersama-sama dengan HKU1, NL63, OC43 dan 229E yang menyebabkan gejala ringan.

Penyelidikan yang diterbitkan pada 17 Mac 2020 dalam jurnal Nature Medicine, mengatakan bahawa analisis yang dilakukan jelas menunjukkan bahawa SARS-CoV-2 bukan dihasilkan di dalam makmal atau virus yang sengaja dimanipulasikan.

Kristian Andersen, profesor imunologi dan mikrobiologi bersekutu di Scripps Research dan rakan-rakan sekerjanya memerhatikan template genetik pada "duri" (lonjakan protein) yang menonjol dari permukaan virus itu.

Novel coronavirus ini menggunakan duri ini untuk melekat pada dinding luar sel-sel perumah dan kemudian memasukkan sel-sel tersebut.

Mereka secara khusus melihat urutan gen yang bertanggungjawab terhadap dua ciri utama lonjakan protein ini iaitu, penangkap yang dikenali sebagai domain pengikat reseptor yang mencangkuk pada sel-sel perumah, dan juga "belahan" yang membenarkan virus itu memasuki sel-sel tersebut.

imej 3d novel coronavirus 110

(Imej 3-Dimensi Novel Coronavirus)

Analisis berkenaan menunjukkan bahawa bahagian "cangkuk" pada lonjakan protein itu telah berkembang untuk mensasarkan satu reseptor pada bahagian luar sel-sel manusia dikenali sebagai ACE2, yang terlibat dalam pengawalan tekanan darah.

Ia mampu melekat pada sel-sel manusia dengan sangat berkesan sehinggakan para penyelidik berkenaan mengatakan bahawa lonjakan protein itu merupakan hasil daripada pemilihan semulajadi dan bukannya kejuruteraan genetik buatan manusia.

Ini adalah kerana SARS-CoV-2 sangat berkait rapat dengan virus yang menyebabkan sindrom pernafasan akut yang teruk (SARS) yang mana menjangkiti seluruh dunia sekitar 20 tahun yang lalu.

Para saintis telah mengkaji bagaimana SARS-CoV berbeza daripada SARS-CoV-2, dengan beberapa perubahan utama dalam kod genetik.

Dalam simulasi komputer, mutasi dalam SARS-CoV-2 kelihatan tidak berfungsi dengan baik untuk membantu virus itu melekat pada sel manusia.

Dan jika ada saintis yang sengaja menghasilkan virus ini, mereka sudah tentunya tidak akan memilih mutasi yang dicadangkan oleh model komputer kerana ia tidak efektif.

Namun ternyata bahawa alam semula jadi jauh lebih pintar dan hebat daripada para saintis, di mana novel coronavirus menemui jalannya sendiri yang lebih hebat untuk bermutasi dan tersangat berbeza daripada apa yang telah dihasilkan oleh para saintis.

SARS-CoV-2 senjata biologi yang tidak efektif

ebola lebih berbahaya dari novel coronavirus

Beberapa pakar menyatakan bahawa teori yang mendakwa virus ini dicipta sebagai senjata biologi adalah tidak masuk akal.

Salah satu sebab utamanya adalah COVID-19 tidaklah begitu berbahaya dan membunuh, serta tidak begitu mudah menjangkiti yang lain jika dibandingkan dengan virus berpotensi lain yang wujud.

"Untuk menjadikannya sebagai senjata biologi, jika itu yang anda mahukan, terdapat banyak virus yang lebih menakutkan dan beracun," kata Gerald Keusch.

Sebagai contoh, Ebola dan virus Lassa (Afrika Barat) adalah lebih berbahaya yang mana hanya boleh dikaji di makmal dengan biosekuriti tahap 4, seperti di Wuhan.

Demam berdarah Crimean-Congo adalah penyakit bawaan kutu yang mempunyai kadar kematian 30% hingga 50%.

Ketika ini, kadar kematian COVID-19 hanyalah sekitar 3% dan ia dijangkakan akan menurun secara drastik kerana lebih banyak kes disahkan pada minggu-minggu akan datang. Dan sehingga kini, kadar kematian adalah berbeza secara meluas mengikut negara dan rantau.

Pendek kata, jika anda mahu melancarkan senjata biologi yang mampu membunuh berjuta-juta orang, SARS-CoV-2 bukanlah virus yang anda mahukan.

Protokol keselamatan makmal Wuhan

pekerja dalam makmal di wuhan

Dalam artikelnya oleh New York Post, Steven Mosher mencadangkan bahawa kita tidak patut mempercayai pihak berkuasa yang mengendalikan makmal Institut Virologi Wuhan.

"Kelihatan seperti China mempunyai masalah untuk mengekalkan virus berbahaya di dalam tiub di mana ia sepatutnya berada, kan?" kata Steven Mosher.

Dan apabila ditanyakan kepada Jim LeDuc yang mengendalikan Laboratorium Nasional Galveston sama ada beliau mempunyai pengalaman bekerja di makmal Wuhan tersebut, jawapannya adalah tersangat banyak.

Jim dan rakan sekerjanya pernah bekerja selama 6 tahun bersama-sama pasukan China di Wuhan sebagai penasihat dalam membina makmal mereka dan memastikannya ia selamat, serta kerjasama saintifik.

"Apa yang saya boleh katakan adalah makmal di Wuhan itu bersamaan dengan mana-mana makmal di Amerika Syarikat dan Eropah," kata Jim LeDuc.

Sebagai contoh, banyak makmal kini menggunakan gelombang radio untuk mengesan dan menyimpan botol yang mengandungi virus berbahaya.

Hal ini juga dipersetujui oleh Gerald Keusch: "Saya tak rasa terdapat kemungkinan bahawa makmal ini tidak bersedia dari segi terma protokol dan kebolehan berbanding mana-mana makmal di Amerika Syarikat,".

Khabar-khabar angin yang tersebar juga dilaporkan menjejaskan keupayaan makmal Wuhan ini untuk mengendalikan tugas mereka.

Mengapa kita perlu tahu dari mana SARS-CoV-2 datang?

pasar makanan laut huanan di wuhan 3

Menurut Bruce Aylward, seorang ahli epidemiologi yang mengetuai misi Pertubuhan Kesihatan Sedunia baru-baru ini ke China untuk menilai tindak balas Covid-19, siasatan ke mana dan bagaimana virus itu berpindah kepada orang ramai sedang dijalankan.

Fokus mereka tetap pada Pasar Makanan Huanan yang kini telah ditutup, pasar haiwan liar di dalamnya dan pasar-pasara kawasan lain.

"Sejak SARS, pihak berkuasa pasar ini kini perlu merekodkan siapa yang menjual mana-mana jenis haiwan dan dari mana ia datang. Jadi kini terdapat ada senarai 10 penjual dari tujuh wilayah," kata Bruce Aylward.

Beliau menambah bahawa fokus untuk beberapa bulan yang lalu adalah untuk menyelamatkan nyawa, tetapi apabila kes baru dan kematian merosot, penyiasat akhirnya dapat kembali mendapatkan maklumat haiwan dari penjual pasar dan menguji haiwan-haiwan berkenaan.

pasar makanan laut huanan di wuhan 2

Vincent Racaniello, seorang profesor mikrobiologi dan imunologi di Columbia dan hos podcast This Week in Virology berkata bahawa adalah sangat kritikal untuk kita mengenal pasti sumber virus ini untuk menghapuskan peluang ia merebak semula.

"Sebab mengapa kita melihat (coronavirus seperti SARS dan SARS-CoV-2 muncul) di China adalah kerana mereka memiliki pasar-pasar haiwan hidup, di mana mereka membawa masuk haiwan hidup-hidup dan mencampurkan haiwan-haiwan berkenaan dalam sangkar di atas antara satu sama lain. Terdapat peluang untuk pemindahan antara satu sama lain," kata Jim LeDuc.

Rujukan:

1. Teori Konspirasi Tentang Asal-Usul Novel Coronavirus Disangkal

2. SARS-CoV-2 Tidak Bocor Dari Makmal

3. Coronavirus COVID-19 Bukan Ciptaan Manusia




Hakcipta iluminasi.com (2017)