Bermain satu alat muzik merupakan satu kemahiran yang memerlukan ketekunan dan latihan yang tinggi, bagi membolehkan seseorang layak bergelar mahir mengendalikannya.
Tetapi bagi individu yang lebih berbakat, mereka mampu bermain sambil menyanyi biasanya dengan sokongan petikan gitar, mampu menghiburkan orang ramai secara solo tanpa memerlukan ahli kumpulan lain.
BESARKAN TEKS A- A+
Ramai vokalis mampu menyanyi dan memetik gitar sama ada jenis ritma atau bass. Tidak ramai vokalis kumpulan rock yang vokalisnya mampu menyanyi sambil mengetuk dram, kerana dalam realitinya dram memerlukan seseorang lebih fokus pada instrumen.
1. The Beatles
Kita mulakan dengan kumpulan legenda nombor 1 dunia The Beatles. Ramai mengenali Ringo Starr adalah pemain dram kumpulan gergasi tersebut, namun namanya sebagai vokalis jarang diceritakan walaupun dia biasanya akan menyanyikan sekurang-kurangnya satu lagu dalam setiap album.
Sepanjang karier beliau bersama The Beatles, Starr telah merakamkan 11 buah lagu sebagai vokalis utama serta bertanggungjawab menulis lirik kepada nukilan yang dihasilkan rakan-rakannya.
Lagu dendangan Starr yang paling terkenal sudah pastilah lagu 'Yellow Submarine' yang berjaya menduduki puncak takhta di banyak carta lagu serta mencatat rekod angka jualan tertinggi di United Kingdom pada tahun 1966.
2. The Carpenters
Kumpulan duo adik beradik yang cukup terkenal dengan lagu-lagu romantik, The Carpenters yang dinamakan sempena nama keluarga mereka memaparkan bakat mendiang Karen Carpenter sebagai pemain dram dan vokalis utama.
Diletakkan sebagai antara vokalis terbaik generasinya serta salah seorang pemain dram wanita yang cukup berbakat, Karen memulakan karier sebagai pemain dram ketika sekolah menengah pada usia 14 tahun.
Demi mengelakkan dirinya daripada perlu menyertai sukan, Karen memilih untuk masuk persatuan pancaragam sekolah. Dia menyertai kumpulan koir semasa peringkat universiti yang memperkembangkan lagi bakatnya.
Pada awal kerjanya bersama abangnya Richard Carpenter, Karen menjadi pemain dram serta vokalis utama sebelum dia mula dianjakkan oleh syarikat rakaman untuk lebih berani menonjolkan dirinya sebagai vokalis.
3. Husker Du
Bagaimana agaknya menjadi pemain dram serta vokalis utama sebuah kumpulan punk? Itulah legasi yang ditinggalkan Grant Hart dari kumpulan Husker Du. Selain daripada dram dan vokal, Hart juga bertanggungjawab mencipta karya-karya bagi kumpulannya.
Ditubuhkan pada tahun 1979, Husker Du berjaya menandatangani kontrak rakaman pada tahun 1981. Pada awalnya memainkan muzik dalam genre punk dan hardcore yang lebih keras, Hart mengubah hala tuju kugiran tersebut untuk mengadunkan irama rock serta alternatif.
Muzik Husker Du lama-kelamaan mula berbunyi tampak gembira tanpa kehilangan irama pantas yang menjadi identiti mereka. Kemampuan Hart sebagai vokalis senantiasa teruji kerana lagu-lagu Husker Du membawa irama rancak, yang memerlukan ketangkasan serta fokus kepada vokal dan ketukan dram.
Legasi Husker Du sebagai antara kumpulan muzik alternatif sehingga kini boleh dirasai, menjadi inspirasi besar kepada kumpulan legenda seperti Nirvana, serta banyak lagi nama besar yang masih aktif seperti Green Day.
Pengaruh Grant Hart dan Husker Du kepada industri muzik diakui sangat besar, sehinggakan ke hari ini ada pihak mengkreditkan kumpulan tersebut sebagai pencetus sebenar perubahan trend muzik dunia; berbanding pendapat popular yang sering menyebut Kurt Cobain dan Nirvana sebagai permulaannya.
4. Eagles
Kumpulan The Eagles yang cukup terkenal dengan lagu 'Hotel California' merupakan antara kumpulan yang membahagikan tugas vokal sesama mereka, sama seperti The Beatles dan Husker Du.
Unik bagi Eagles, lagu yang menjadi trademark kumpulan tersebut adalah lagu dendangan pemain dram mereka, Don Henley. Liriknya yang ditulis hasil kerjasama kumpulan tersebut juga sering dijadikan bahan perbincangan ekoran kekaburan maknanya.
Lagu tersebut menjadi antara pemenang utama kategori lagu terbaik anugerah Grammy bagi tahun 1978, terus menjadi antara lagu rock klasik yang nyata segar didengari sehingga kini.
Suara serak-serak Henley serta pertarungan gitar yang menjadi penutup kepada lagu tersebut, terus memberikan inspirasi kepada ramai pengkarya generasi baru. Apa yang menarik, pada awalnya 'Hotel California' tidak dirancang untuk diterbitkan sebagai single berikutan durasinya yang agak panjang.
Selepas perbincangan dan pertengkaran di antara kugiran dan syarikat rakaman yang mahukan lagu itu dipendekkan, syarikat rakaman mereka mengalah dan legasi Don Henley bersama kumpulannya mendapat titik permulaan yang dicari.
5. Genesis
Nama Phil Collins merupakan antara nama besar yang masih aktif dalam industri hiburan dunia. Bagi generasi lebih muda, mungkin anda mengenali beliau sebagai pencipta banyak lagu runut bunyi filem animasi Disney.
Tetapi bagi generasi terdahulu, Collins merupakan pemain dram utama kumpulan berpengaruh Genesis yang terpaksa mengambil alih tugas vokalis utama kumpulan itu, selepas vokalis asal Peter Gabriel menarik diri, ekoran ketiadaan pengganti yang mereka rasakan layak.
Genesis meneruskan perjuangan, menggunakan kemahiran Collins dalam vokal dan dram ketika sesi rakaman. Bagi persembahan langsung, Genesis menggunakan tenaga kerja beberapa pemain dram undangan sebelum Collins sendiri menarik diri daripada kumpulannya pada tahun 1996, selepas 25 tahun memperjuangkan muzik mereka.