Membaca kisah berkaitan Jeneral tentera Iran yang mati ditembak dengan menggunakan teknologi dron, menggambarkan bagaimana teknologi unik ini mampu dijadikan sejenis senjata oleh pihak-pihak berkepentingan.
Sehinggakan dalam filem dan media sendiri, apabila disebutkan saja dron - majoritinya pasti merujuk kepada senjata canggih yang terbang di langit serta mampu menyerang sasaran, yang hanya memerlukan operator mengemudinya jauh dari lokasi serangan.
BESARKAN TEKS A- A+
Namun demikian dron sebenarnya membawa banyak teknologi baru pada masyarakat dunia, digunakan dalam pelbagai sektor melibatkan pelbagai kegunaan berbeza. Tahukah anda tentang fungsi-fungsi dron yang berbeza, selain daripada digunakan untuk mengambil video? Berikut adalah 5 fungsi unik dron yang jarang kita perkatakan, tetapi pasti akan menjadi kebiasaan di masa akan datang.
1. Pembantu operasi pertanian
Dron pertanian merupakan teknologi baru yang digunakan bagi membantu pengusaha-pengusaha ladang dan pertanian, dalam meningkatkan keluaran mereka. Penggunaan dalam sektor ini wujud dalam pelbagai cara dan manfaat.
Majoriti pengguna teknologi dron pertanian memanfaatkan dron sebagai sistem pengawasan, di mana mereka boleh meninjau kawasan tanaman dari udara bagi mendapatkan informasi tentang keadaan tanah, populasi tanaman, tahap kesuburan, saliran air dan waktu paling sesuai untuk menuai hasil.
Selain fungsi pengawasan, dron pertanian juga boleh datang dengan fungsi untuk membaja tanaman dan juga racun kawalan makhluk perosak. Sebuah dron pertanian memerlukan pengguna yang mahir dalam pengawalan dron serta mampu mentafsir data-data yang direkodkan oleh dron. Oleh kerana itu, harga sebuah dron pertanian agak tinggi - bermula daripada RM5,000 sehingga kepada RM125,000 satu unit.
2. Teksi udara
Masih ingat tentang 'kereta terbang Malaysia' yang akhirnya merupakan sebuah dron udara? Pengeluar dron tersebut iaitu Ehang dari China, merupakan antara peneraju pembangunan sistem teksi berasaskan dron di dunia. Dikategorikan sebagai dron VTOL (vertical take-off and landing), dron sebegitu diharap dapat menjadi alternatif pengangkutan di masa akan datang.
Selain Ehang, wujud beberapa lagi syarikat yang membawa matlamat serupa seperti FACC dari Austria dan Velocopter dari Jerman. Majoriti syarikat telah berjaya melancarkan sesi ujian penerbangan dan pada ketika ini, masih lagi kekal dalam siri ujian seterusnya sebelum dibenarkan beroperasi.
Berapa kos bagi menggunakannya? Belum kita ketahui. Tetapi daripada rancangan awal UberAir dalam penawaran teksi udara ini, buat permulaan untuk setiap 1.6 kilometer perjalanan - kos bayaran untuk pengguna adalah sekitar RM24.50. Agak mahal untuk orang kebanyakan.
3. Penghantaran
Beberapa syarikat penghantaran antarabangsa sudah pun melakukan proses penghantaran dengan menggunakan dron seperti Amazon yang melancarkan perkhidmatan prime Air, di mana pelanggan mereka akan menerima barangan yang dipesan 30 minit selepas selesai urusniaga - dihantar dengan dron udara.
KFC, rangkaian restoran ayam goreng juga telah memperkenalkan sistem penghantaran dron namun setakat ini perkhidmatannya hanya terhad di negara China sahaja. Ini kerana sistem penghantaran itu merupakan usahasama KFC dengan sebuah syarikat dron China bernama Antwork.
Di negara kita, Pos Malaysia juga turut serta - mengumumkan pelan rancangan 5 tahun bagi memperkenalkan penggunaan dron sebagai salah satu pilihan yang ada dalam sistem penghantaran mereka.
4. Ambulans udara
Kita kerap ditularkan dengan video pemandu kurang bertanggungjawab, memandu di lorong kecemasan sehinggakan ambulans tersangkut pergerakannya. Bagi mengelakkan situasi tersebut berulang, beberapa syarikat telah pun memperkenalkan sistem ambulans udara bagi menjadi 'pihak' pertama yang sampai kepada pesakit - lebih awal berbanding ambulans.
Idea ini masih dalam peringkat kajian dan buat masa sekarang, digunakan sebagai penghantar alat defribilator bagi membolehkan rawatan diberikan kepada mereka yang mengalami sakit jantung. Dron akan memaparkan arahan berdasarkan kepada operator dron yang melihat apa yang berlaku, bagi membolehkan rawatan lebih pantas diberikan.
Dalam satu ujian yang diadakan di Iraq, dron didapati mampu tiba secara puratanya 90 ke 120 saat lebih pantas berbanding ambulans biasa dalam ujian yang dijalankan dengan kerjasama penyelidik dari Universiti Baghdad dan University of South Australia.
5. Persembahan di udara
Sekiranya selama ini kita asyik dengan persembahan bunga api - di masa akan datang, besar kemungkinan persembahan sebegitu akan jadi lebih kompleks dengan pertambahan teknologi dron. Rakyat Malaysia disajikan teknologi sama pada sambutan tahun baru 2020, apabila 300 dron bergabung bagi membentuk beberapa visual sempena sambutan.
Teknologi sebegitu sebenarnya sudah banyak diadaptasi, dengan Disney mempunyai slot khas pertunjukan dron di Disneyworld kendalian mereka. Kerajaan China sendiri kerap kali menggunakan dron bagi tujuan persembahan - tetapi kapasitinya nyata jauh berbeza.
Dengan menggunakan jumlah dron yang sangat banyak, objek-objek yang berjaya dihasilkan bukan sekadar berbentuk 2 dimensi, malahan 3 dimensi. Apabila melihat perkara sebegitu kini dah jadi realiti - teringat kembali penulis pada teknologi fiksyen dron yang digunakan penjahat Mysterio dalam filem 'Spider-Man Far From Home'.
Berapa jauh kita daripada mampu mereka semula teknologi tersebut dalam dunia nyata? Agak jauh - tetapi dengan kemampuan dron yang ada, segalanya mungkin.