Di kalangan pelajar sekolah, terpilih untuk menjadi ahli kepada Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) merupakan satu perkara yang cuba dielakkan.

Berbeza dengan kumpulan persatuan lain seperti Pengakap, Kadet, Tunas Puteri dan sebagainya, PBSM dilihat kurang cool kerana tugasannya tampak tidak segagah yang lain. Walaupun demikian tidak dapat kita nafikan, bila ahli kadet cedera - yang pertama sekali membantu mereka adalah ahli PBSM.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Selain PBSM yang menggunakan simbol bulan sabit sebagai logonya, juga ada kumpulan Palang Merah berkongsi tugas serupa. Tahukah anda kewujudan satu lagi kumpulan perubatan yang dikenali sebagai Kristal Merah? Apa perbezaan di antara ketiga-tiganya?

Sejarah asal Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM)

dunant henry pbsm

Sebelum dikenali sebagai PBSM, agensi kemanusiaan yang bertanggungjawab membentuk 3 kumpulan perubatan kini bermula sebagai Pergerakan Palang Merah atau Red Cross Movement.

Pada tahun 1859 dalam revolusi masyarakat Itali menuntut kemerdekaan daripada Austria, berlaku perang di Lombardy di antara orang tempatan dibantu Perancis menentang tentera Austria.

Perang yang dikenali dengan nama jolokan Perang Solferino sempena pekan di mana pertembungan berlangsung, mengakibatkan ramai tentera kedua-dua pihak cedera dengan anggaran 40,000 orang tentera dalam situasi getir.

Seorang aktivis kemanusiaan dan ahli perniagaan dari Switzerland bernama Henri Dunant yang berpengaruh kerana gemar melakukan kerja-kerja amal, secara kebetulan tiba di Solferino pada hari pertempuran berlaku.

Melihat nyawa-nyawa terancam di depan mata, Dunant menggunakan organisasinya untuk mula membantu secara langsung pihak yang cedera serta menyalurkan bantuan perubatan seberapa segera. 

Sebuah hospital sementara dibuka bagi menempatkan mangsa dan bahan-bahan bekalan mula dikumpulkan. Memilih untuk tidak mempedulikan siapa yang akan mereka rawati, hospital sementara yang dibuka Dunant bersama kumpulannya merawat sesiapa saja yang cedera tanpa sebarang prejudis.

Idea segera bertukar menjadi perubahan mega

kereta kuda pbsm

Selepas mengalami sendiri 'neraka' yang boleh terjadi akibat peperangan, Dunant mula menggerakkan usaha mahu membangunkan sebuah badan khas yang menawarkan bantuan perubatan kecemasan yang bersikap neutral, tanpa mengambil kira faktor siapa yang dirawat mereka.

Idea itu berkembang menjadi sebuah jawatankuasa yang dinamakan International International Committee for Relief of Wounded in the event of War ditubuh pada tahun 1863.

Daripada penubuhan itulah, wakil-wakil daripada pelbagai negara bersidang bagi mencari jalan dalam membantu pembentukan pasukan sukarelawan bantuan rawatan kecemasan yang akan berkhidmat secara saksama.

Hasil perbincangan, asas kepada apa yang kita kenalpasti sekarang sebagai Konvensyen Geneva dibentuk, menggariskan hak, peraturan dan syarat secara jelas melibatkan individu dalam perang, orang awam dan tahanan perang.

12 kerajaan bersetuju memulakan langkah ini seperti negara Switzerland, Belgium, Denmark, Sepanyol, Itali, Belanda, Prussia dan Perancis yang berikrar untuk memelihara hak individu di kawasan-kawasan konflik, serta menubuhkan pasukan perubatan khusus di negara-negara terlibat.

Menggunakan simbol palang berwarna merah sebagai identiti, Belgium, Denmark, Perancis, Sepanyol dan Prussia menjadi antara negara terawal memulakan penubuhan persatuan perubatan, menjadi titik tolak kepada perkembangannya ke seluruh dunia.

Simbol dibezakan mengikut lokasi

bulan sabit palang kristal

Palang merah dipilih sebagai simbol bagi mewakili identiti kerajaan atau negara yang ketika itu berlatar belakangkan ajaran Kristian. 

Satu perubahan besar kepada pergerakan Palang Merah terjadi sekitar tahun 1865, selepas kerajaan Uthmaniyah yang mentadbir di sekitar Turki turut sama bersetuju untuk menyertai persatuan ini. 

Bagaimanapun simbol palang itu seandainya cuba diamalkan di kalangan masyarakat majoriti Islam, pasti akan menimbulkan rasa kurang senang. Untuk menyelesaikan polemik ini, penubuhan persatuan serupa di Turki memperkenalkan simbol bulan sabit merah sebagai ganti. 

Diperkenalkan kali pertama pada tahun 1868, Hilâl-i Ahmer Cemiyeti atau Persatuan Bulan Sabit Merah di bawah kerajaan Uthmaniyah menjadi persatuan pertama bergerak di kalangan orang Islam.

Bagaimanapun versi PBSM yang ada di negara kita bermula sebagai Persatuan Palang Merah British, ditubuhkan pada tahun 1948.

Selepas berakhirnya kemelut kemerdekaan dan penubuhan Persekutuan Malaysia, pada tahun 1975 Parlimen Malaysia akhirnya meluluskan penukaran nama 'Persatuan Palang Merah' kepada 'Persatuan Bulan Sabit Merah' menjadikan kita turut mengamalkan apa yang diperkenalkan oleh Turki berdekad-dekad sebelum itu.

Jadi apa dia Kristal Merah? 

red cross emblems

Daripada apa yang sudah kami tuliskan di atas jelas kita boleh nampak bagaimana latar belakang agama menentukan penggunaan simbol yang bakal mewakili persatuan perubatan kecemasan yang bakal ditubuhkan.

Situasi ini tetap timbul walaupun asalnya simbol yang digunakan, direkabentuk untuk membawakan sifat neutral tanpa ada memihak kepada mana-mana pihak.

Pada awal abad ke 2000, beberapa pihak dan negara mula melihat kecelaruan ini mungkin boleh menyebabkan banyak pihak tersalah tafsir makna dan tujuan pergerakan ini, khususnya di negara yang cuba mengamalkan dasar neutral sepenuhnya atau tidak mahu elemen Kristian dan Islam diangkat.

Antara negara yang pernah berhadapan isu ini adalah Sri Lanka dan India, yang mahu menggunakan simbol Swastika merah sebagai ganti, Iran yang mahu menggunakan simbol Matahari merah dan negara haram Israel yang mahu menggunakan bintang David dengan warna sama.

perbezaan palang merah bulan sabit merah kristal merah

Untuk menyelesaikan masalah yang ada serta mampu menawarkan alternatif kepada negara berbeza pandangan, satu pindaan kepada Konvensyen Geneva diperkenalkan pada tahun 2005 bagi membolehkan simbol ketiga iaitu Kristal Merah dibentuk.

Pengguna dan persatuan yang menggunakannya diberikan hak sama rata semasa berkhidmat; sama seperti dua adik-beradiknya Palang dan Bulan Sabit.

Jadi seandainya anda dalam kecemasan dan didatangi petugas yang memakai simbol Kristal Merah, jangan risau - dia memang orang yang layak untuk membantu anda.




Hakcipta iluminasi.com (2017)