Pada 20 haribulan Julai 1969, sambil berkata 'satu langkah kecil' Neil Armstrong menjadi manusia pertama menjejakkan kaki di atas permukaan bulan. Selepas hampir 48 tahun peristiwa bersejarah ini berlangsung, walau mungkin ada di antara kita yang skeptikal tentang kebenarannya, kejayaan ini merupakan satu kejayaan besar pada bidang kajian angkasa dan kerap menimbulkan persoalan serta perbincangan berkenaannya.
BESARKAN TEKS A- A+
Dalam misi Apollo 11 untuk ke bulan, ada 3 orang angkasawan yang terpilih. Neil Armstrong, Edwin 'Buzz' Aldrin dan Michael Collins, yang namanya agak kurang disebutkan. Collins memang ditugaskan sebagai pemandu jadi hanya ada dua calon yang bakal menjadi manusia pertama memijak bulan, di antara Aldrin dan Armstrong.
Sebelum mereka ke sana pun, soalan itu pernah ditanyakan oleh wartawan - "siapa akan jadi manusia yang pertama?" dengan jawapan yang diberikan ketika itu oleh pihak NASA adalah: perkara itu belum dapat diputuskan.
Tiga calon untuk menjadi ikon zaman moden
Ketika satu satu 'Ask Me Anything' melalui laman web Reddit pada 2014, Buzz Aldrin mengakui pada ketika tersebut, dia sebenarnya melobi dirinya sendiri untuk menjadi manusia pertama berjalan di bulan.
Aldrin mengatakan dalam kebanyakan siri latihan yang dijalankan oleh NASA, angkasawan yang akan melakukan 'spacewalk' adalah anggota pasukan yang lebih muda, sementara anggota berpangkat tinggi seperti Neil Armstrong, akan tinggal di dalam kapal bagi mengawasi situasi jika berlaku kecemasan.
Walaupun pandangan Aldrin disokong beberapa pihak NASA, lebih ramai dalam pihak NASA merasakan simbol seorang angkasawan berpangkat komander ekspedisi seperti Neil Armstrong menjadi manusia pertama menjejakkan kaki di atas bulan, mampu memberikan makna yang lebih besar.
Tiga bulan sebelum berlepas ke bulan, NASA mengumumkan Armstrong akan menjadi manusia pertama menjejakkan kaki ke bulan dengan satu alasan teknikal - pada mulanya NASA meramalkan Aldrin akan menjadi manusia pertama di bulan, namun Modul Lunar hanya dapat dibuka pada bahagian sisi pada sebelah Armstrong. Jadi Armstrong 'perlu' menjadi orang pertama keluar dari Modul Lunar tersebut. Itu penjelasan rasmi NASA.
Malang bagi Buzz Aldrin
Pengarah Operasi tersebut, Deke Slayton pula mengakui jika mengikut protokol sebenar, Aldrin yang sepatutnya keluar dahulu kemudian Armstrong, namun mereka melakukan perubahan protokol kerana seorang Kommander patut keluar dahulu. Perubahan itu dibuat ketika NASA masih lagi menjalankan ujian dengan Aldrin menjadi individu pertama keluar memijak bulan.
Pendapat Ketua Kawalan Misi tersebut, Chris Kraft pula dalam buku memoirnya, pihak NASA menukar protokol kerana mereka merasakan Armstrong lebih bermampuan mengawal ego yang akan datang menjadi manusia pertama menjejakkan kaki di bulan, lebih baik berbanding Aldrin. Pendapat ini juga disokong oleh seorang angkasawan lain bernama Al Bean.
Kisah ini pasti tidak sah tanpa memperkatakan tentang ayat yang disebut oleh Neil Armstrong sebelum dia menjejakkan kaki di bulan. Frasa 'one small step for a man, one giant leap for a mankind' atau 'satu langkah kecil seorang lelaki, satu langkah besar untuk manusia' yang disebut Neil Armstrong selama ini dipercayai dilakukan dengan spontan.
"One small step for a man"
Selepas kematian Neil Armstrong, pada Disember 2012, abang Neil Armstrong, Dean Armstrong menceritakan tentang satu kisah di mana dia dan adiknya sedang bermain permainan papan bersama, beberapa bulan sebelum berlepas ke bulan.
Neil menghulurkan kepada Dean sehelai kertas yang tertulis 'one small step for a man, one giant leap for a mankind' dan meminta pandangan Dean tentang ungkapan tersebut.
Pendedahan Dean secara jelas mengatakan Neil selama ini berbohong, kerana masyarakat dunia mempercayai ayat tersebut dilontarkan secara spontan oleh Neil.
Dalam semua wawancara dan juga biografi beliau, Neil Armstrong selama ini mengakui ayat ikonik tersebut datang tiba-tiba tanpa dirancang dan pendedahan Dean menimbulkan kontroversi yang amat besar pada komuniti pengkaji dan peminat penjelajahan angkasa.
Pendapat Dean disanggah oleh penulis biografi Neil Armstrong, James R.Hansen serta anak Neil, Rick Armstrong.
Isu apa yang perlu diungkapkan oleh manusia pertama memijak bulan ini sebenarnya sudah lama timbul sebelum kru Apollo 11 berlepas lagi.
Banyak pihak mengeluarkan spekulasi serta cadangan apakah perkataan atau ayat pertama paling sesuai untuk diucapkan ketika menjejakkan kaki di bulan.
Selepas Neil Armstrong disahkan akan menjadi manusia pertama di bulan, beliau diberikan bermacam idea dan cadangan yang datangnya daripada ungkapan Shakespeare, Bible malahan majalah Esquire menerbitkan artikel tentang apa yang perlu disebut ketika itu.
Kenapa kita tidak lagi berusaha ke bulan?
Jadi, jika dakwaan Dean benar, itu semua berlaku kerana masyarakat pada ketika itu sudahpun melobi Neil untuk memilih perkataan terbaik bagi diucapkan pada waktu bersejarah itu. Hendak tak hendak - Neil perlu bersedia dengan ungkapan yang terbaik agar tidak menghampakan orang ramai - yang meletakkan beban pada bahu dia.
Selepas kejayaan operasi Apollo 11, kali terakhir manusia menjejakkan kaki ke bulan adalah ketika operasi Apollo 17, pada bulan Disember 1972.
Jika anda tertanya kenapa dengan kemajuan teknologi yang ada ketika ini, mengapa tidak ada lagi operasi ke bulan dilakukan, jawapannya adalah mudah. NASA tidak mahu pergi ke bulan sekadar untuk sampai ke sana kerana cabarannya sekarang adalah untuk membina koloni di angkasa.
Untuk membina koloni, roket yang diperlukan bagi proses penghantaran pergi balik memerlukan kos yang sangat tinggi dengan keupayaan yang lebih besar . Sehingga kini, NASA masih lagi dalam proses mereka cipta roket yang lebih selamat, pada kos yang berkadaran supaya barang-barang yang diperlukan bagi manusia dapat tinggal di bulan dan mungkin juga planet Marikh, dapat dilakukan.
Rujukan