Penulis adalah seorang peminat kartun bersiri 'South Park' sejak dulu. Walau apa pun pandangan anda tentang kartun tersebut, penulis sangat gemarkan cara mereka menceritakan tentang politik serta isu-isu yang kebiasaannya wujud dalam negara mereka iaitu Amerika Syarikat (USA).
Dalam salah satu episod South Park, ada dipaparkan berkenaan sebuah organisasi yang dinamakan sebagai NAMbLA, singkatan kepada North American Man/boys Lover Association - sebuah organisasi lelaki yang ingin menjadikan diri mereka 'pencinta sejati' kanak-kanak lelaki.
BESARKAN TEKS A- A+
Dipaparkan dalam South Park, penulis andaikan perkara itu hanya rekaan. Sekali tengok rupa-rupanya organisasi ini memang wujud!
Sejarah NAMbLa
Di antara kesemua persatuan atau organisasi yang menyokong perjuangan-perjuangan kebebasan seksualiti, NAMbLa adalah organisasi paling sukar untuk diterima akal penulis. Ini kerana asas perjuangan mereka sangat ganjil, unik dan jijik.
NAMbLa ditubuhkan pada tahun 1978 ekoran satu tunjuk perasaan yang berlaku pada tahun 1977. Dalam tunjuk perasaan yang dianjurkan oleh sebuah komiti bernama Boston/Boise Committee, mereka membantah penangkapan dan pendakwaan ke atas beberapa orang lelaki yang menjalankan sindiket pelacuran, melibatkan kanak-kanak lelaki di Massachussetts.
Dakwaan yang dikenakan ke atas 24 orang lelaki itu melibatkan kesalahan rogol terhadap lebih 100 orang kanak-kanak lelaki berusia 8 ke 15 tahun. Bagaimanapun hanya satu kes berjaya disabitkan kesalahannya. NAMbLa ditubuhkan selepas itu bagi meneruskan perjuangan Boston/Boise Committee yang telah ditamatkan dengan penubuhan cawangan di New York, Boston, Los Angeles dan San Fransisco.
Nama NAMbLa mula menjadi sebutan ramai selepas berlaku satu kes penculikan melibatkan seorang kanak-kanak 7 tahun bernama Etan Patz yang hilang sejak 1979.
Dalam sebuah serbuan pada tahun 1982, pihak polis menemui gambar seorang kanak-kanak mirip Etan dalam lokasi kediaman yang dijadikan sarang seks milik individu NAMbLa, menyebabkan wujud teori Etan sebenarnya dijadikan hamba seks pengikut-pengikut NAMbLa.
Laporan media serta pendedahan terhadap organisasi itu kepada masyarakat menjadikan nama NAMbLa semakin popular (walaupun atas dasar yang salah) memberikan mereka publisiti percuma. Walau bagaimanapun, siasatan lanjut mendapati gambar yang dipercayai Etan itu sebenarnya gambar model seorang kanak-kanak ketika era 50-an yang berkemungkinan besar dijadikan 'modal' pemuas nafsu ahli-ahli NAMbLa.
Etan Patz yang hilang hanya diketahui nasibnya pada tahun 2012. Pembunuhnya sendiri tampil mengakui perbuatannya. lelaki bernama Pedro Hernandez yang kini berusia 59 tahun membunuh Etan ketika Pedro berusia 18 tahun dan mencampakkan mayatnya dalam tempat sampah.
Sehingga kini tubuh Etan tidak ditemui.
Ideologi yang dibawa NAMbLa
Berbalik kepada NAMbLa; sama seperti organisasi yang memperjuangkan kebebasan seksualiti yang lain, NAMbLa juga mempunyai piagam yang memperincikan minat mereka.
Matlamat NAMbLa adalah untuk bergerak secara politik dan gerakan aktivis bagi mendidik dan memperjuangkan penghapusan ke atas sebarang bentuk sekatan yang dikenakan oleh kerajaan USA - ke atas sebarang hubungan suka sama suka di antara kanak-kanak dan lelaki dewasa.
Dalam mencapai matlamat itu, NAMbLa membantah sekeras-kerasnya sebarang pengenalan syarat had umur minima untuk melakukan hubungan seks di antara mana-mana individu, khasnya remaja dan kanak-kanak lelaki. Bagi mereka, golongan tersebut tidak sepatutnya dihalang hanya kerana faktor usia daripada menyertai sebarang aktiviti seksual.
NAMbLa diasaskan oleh seorang individu bernama David Thorstad, seorang aktivis gay yang mengakui dirinya atheist dan biseksual. David sebagai pengasas NAMbLa membawa ideologi yang sangat berbeza dan agak ekstrimis. Pada beliau, kita tidak boleh mengatakan semua kes hubungan seksual melibatkan kanak-kanak dengan lelaki dewasa adalah satu bentuk penderaan. Pada beliau, bukan semua lelaki yang cintakan kanak-kanak adalah seorang 'child molester.'
Bagi membantu penyebaran mesej NAMbLa, setiap ahli yang berdaftar akan diberikan dua penerbitan berkala yang diterbitkan khas untuk mereka. 'NAMbLa Bulletin' diterbitkan bagi menyampaikan idea serta pandangan organisasi mereka dan 'Gayme Magazine', sebuah majalah yang turut sama dijual dibeberapa kedai buku terpilih yang banyak membawa artikel disamping visual yang 'dirasakan sesuai.'
Pengaruh NAMbLa pada masyarakat Amerika Syarikat
Pada awalnya, hanya beberapa orang individu mengaku secara terbuka penglibatan mereka dengan NAMbLa. Dianggarkan di seluruh dunia sekarang ini hanya terdapat kurang 1000 ahli berdaftar NAMbLa yang aktif. Jumlah sebenarnya sukar untuk diketahui kerana mereka sangat berahsia dalam menjalankan aktiviti mereka.
Kesan 'perjuangan' mereka tetap disimpan secara rasmi. Universiti Harvard menyimpan koleksi-koleksi semua penerbitan NAMbLa untuk rujukan orang ramai. Mereka juga mendapat sokongan The American Civil Liberties Union. Akhbar New York Times pernah menerbitkan artikel bagi menjawab semula kritikan ke atas ahli-ahli pertubuhan NAMbLa.
Penulis berpengaruh Allan Ginsbersg, salah seorang individu yang memainkan peranan besar semasa budaya 'counter-culture' era 1950-an juga terkenal sebagai seorang pendokong kuat gerakan NAMbLa serta banyak kali mengajak orang ramai lebih terbuka dengan apa yang mahu dicapai NAMbLA.
Kini, nama NAMbLa sudah tidak lagi menjadi sebutan seperti dahulu.
Walaupun begitu semakin banyak pihak kini mula bangkit mendokong mesej serupa yang pernah dibawa mereka. Individu-individu pedofil yang diinspirasikan NAMbLa kini lebih senang melabelkan diri mereka 'minor attracted persons' atau 'golongan tertarik dengan bawah umur.'
Bagaimanapun, populariti nama NAMbLA pada era sekarang menjadikan mereka sasaran mudah. Label NAMbLa kerap kali digunakan oleh kumpulan anti LGBT, menyamakan apa yang mahu dicapai oleh NAMbLa sebagai sebahagian daripada perjuangan aktivis LGBT.
Ini menyebabkan wujud kritikan keras aktivis pro-gay The International Lesbian and Gay Association (ILGA) yang mengutuk NAMbLa dan matlamat mereka, seterusnya menyebabkan populariti NAMbLa seakan-akan cuba ditenggelamkan agar tidak lagi membayangi perjuangan ILGA.
Kami juga tidak dapat memastikan adakah NAMbLa masih aktif atau sudah berkubur. Bagaimanapun yang pasti, aktiviti seksual melibatkan lelaki dewasa dengan kanak-kanak lelaki yang kini lebih dikenali dengan istilah 'boylove' tetap aktif.
Sama ada NAMbLa yang terlibat di belakang tabir secara senyap, kami tidak tahu. Kami tinggalkan anda dengan sebuah dokumentari di bawah, satu-satunya waktu di mana anggota NAMbLa bertindak berani mendedahkan identiti dan kemahuan nafsu songsang mereka secara terbuka.
Rujukan