Pernahkah anda mengharapkan agar semua serangga yang ada hilang sama sekali dari dunia ini? Ia adalah perkara biasa untuk mengimpikan sebuah dunia tanpa makhluk kecil yang menggelikan dan menakutkan ini.
Hidup anda mungkin lebih tenang dan bahagia tanpa semut di dapur, lipas di bawah singki, pepijat di katil atau mungkin nyamuk pada waktu malam yang mengganggu tidur nyenyak anda.
BESARKAN TEKS A- A+
Namun, adakah dunia akan menjadi lebih baik tanpa kehadiran serangga? Adakah serangga ini hanya hadir untuk mengganggu dan membawa penyakit seperti Zika, Denggi dan Malaria?
Sebenarnya, planet kita memerlukan serangga sama seperti kita perlukan mereka. Tanpa serangga, dunia tidak dapat berfungsi dengan baik dan membawa kepada kehancuran.
Untuk mengetahui dengan lebih lanjut apa yang akan berlaku sekiranya semua serangga hilang dari dunia, mari kita kenali serangga dengan lebih dekat dan bagaimana makhluk-makhluk ini mendapat reputasi buruk.
Apa itu serangga?
Pertama, apakah itu serangga? Kelas serangga terdiri daripada haiwan invertebrata yang badannya terbahagi kepada tiga segmen iaitu kepala, toraks dan abdomen. Selain itu, haiwan ini mempunyai sepasang antena dan tiga pasang kaki dan kebanyakan serangga menggunakan sayap untuk terbang.
Beberapa haiwan kecil lain sering kali disalah anggap sebagai serangga seperti labah-labah. Ini kerana labah-labah hanya mempunyai dua bahagian tubuh iaitu cephalothorax dan abdomen. Begitu juga dengan lipan yang mempunyai berpuluh-puluh pasang kaki.
Serangga sememangnya mempunyai reputasi buruk kerana rupa bentuknya yang agak menakutkan. Selain itu, mereka juga berpotensi untuk membawa lebih dari ratusan ribu bakteria yang berbeza.
Gigitan serangga yang menyakitkan juga boleh menyebabkan kegatalan pada kulit dan lebih buruk lagi, menyebarkan penyakit seperti Zika, Malaria, Denggi dan banyak lagi penyakit yang tidak pernah anda dengar. Walau bagaimanapun, 90% daripada serangga di dunia ini sebenarnya tidak berbahaya tetapi memberi manfaat kepada manusia dan planet ini.
Apakah kesannya jika serangga tiada?
Jika mengikut timbangan, semua serangga yang hidup di atas muka Bumi ini adalah 300 kali lebih berat daripada semua manusia yang pernah hidup digabungkan. Bahkan, berat semua semut di dunia sahaja sudah melebihi manusia dalam perbandingan ini.
Cuba anda bayangkan tiba-tiba jumlah sebesar itu tiba-tiba hilang dari Bumi. Para petani mungkin menjadi golongan pertama yang akan berasa gembira kerana mereka tidak perlu lagi membazirkan wang untuk membeli racun perosak atau racun serangga untuk menyelamatkan tanaman mereka daripada rosak.
Walau bagaimanapun, kegembiaraan itu tidak akan bertahan lama. Tidak lama selepas kehilangan semua serangga, semua manusia di Bumi akan dilanda kebuluran yang teruk. Ini kerana serangga merupakan satu bahagian penting dalam rantaian makanan.
Tidak dinafikan, manusia mungkin merupakan pemangsa teratas dalam rantaian makanan di planet ini tetapi serangga adalah makhluk terpenting untuk rantaian makanan ini berfungsi. Serangga adalah makanan untuk burung kecil, reptilia dan haiwan lain seperti katak.
Sekiranya semua serangga lenyap, haiwan-haiwan lain yang bergantung kepadanya sebagai makanan juga akan pupus sebelum mereka dapat menyesuaikan diri dengan jenis makanan yang berbeza. Tidak lama selepas itu, rantaian makanan akan menjadi kucar-kacir dan menyebabkan haiwan lain serta manusia juga mati.
Selain itu, 85% daripada semua tumbuhan di Bumi ini berkembang biak melalui proses pendebungaan dan serangga adalah ejen pendebungaan yang paling berkesan untuk proses ini.
Walau bagaimanapun, peranan kelawar, burung dan angin juga tidak boleh dinafikan. Akan tetapi serangga adalah begitu penting apabila ia berkaitan dengan pendebungaan bunga yang terlalu kecil untuk dilakukan oleh haiwan seperti burung atau kelawar.
Sebanyak 50-90% diet manusia juga berdasar tumbuhan-tumbuhan berbunga ini. Sekiranya semua serangga tiada, maka semua sayur-sayuran, buah-buahan, beras atau roti tiada lagi dalam menu harian anda.
Tidak kiralah sama ada anda seorang vegetarian atau penggemar daging. Tanpa haiwan atau tumbuhan untuk dijadikan makanan, semua manusia juga tidak dapat bertahan hidup dalam jangka panjang.
Kita mungkin akan kebuluran dan mati secara perlahan-lahan di atas sebuah planet yang bertimbun dengan sisa organik yang tidak dapat diuraikan kerana ketiadaan serangga (pengurai utama daun dan haiwan mati).
Manfaat lain kewujudan serangga
Selain pengaruh terhadap kesihatan dan sumber makanan manusia, serangga juga penting kerana pelbagai kepentingan lain. Sebagai contoh, China setiap tahun menghasilkan kira-kira 30,000 tan sutera mentah yang terhasil daripada ulat sutera dan merupakan 80% daripada bekalan dunia.
Beberapa lagi bahan penting yang digunakan dalam produk seperti pengilat kasut dan lantai, penebat dan dakwat pencetakan juga berasal daripada serangga laccifer lacca atau lak yang banyak dihasilkan di India. Britain pula mengimport lebih dari satu juta kg lilin lebah setiap tahun untuk digunakan sebagai bahan asas pengilap, losyen, lilin dan banyak lagi.
Tahukah anda bahawa terdapat beberapa jenis kumbang kecil yang hidup dalam permaidani di rumah anda. Serangga kecil ini akan memakan hampir setiap jenis bahan organik yang tidak diingini, termasuk serangga kering lain yang terperangkap dalam permaidani anda.
Rujukan: