Tidak hairanlah mengapa kita selalu risau akan nyamuk yang masuk ke dalam rumah dan menggigit kita serta anak-anak. Ini kerana nyamuk merupakan haiwan paling berbahaya di dunia dan menyebabkan kematian lebih dari 2 juta orang setiap tahun akibat penyakit bawaan nyamuk seperti malaria.
Kita semua pernah mengalaminya, boleh dikatakan tiada seorang pun yang menyukainya apabila terdengar bunyi 'buzz' ketika nyamuk terbang berhampiran telinga atau kepala kita. Apa yang bermain di fikiran ialah nyamuk itu pasti akan mengigit dan menghisap darah kita. Namun, mengapa nyamuk suka terbang berhampiran telinga atau kepala kita?
BESARKAN TEKS A- A+
Terdapat pelbagai jenis jawapan mengenai hal ini yang berlegar di internet namun apa sebenarnya yang benar-benar berlaku? Nyamuk sebenarnya tertarik kepada bau karbon dioksida, ia dihasilkan apabila kita menghembuskan nafas. Sudah tentu apabila kita tidur, bahagian muka akan dipenuhi nyamuk kerana pada bahagian itu banyak terdapat CO2. Namun itu tidak menerangkan mengapa nyamuk terbang pada bahagian telinga.
Kita juga mengetahui bahawa nyamuk tertarik kepada haba panas. Ketika kita tidur, telinga manusia akan mengeluarkan haba dan menjadi sedikit panas. Walaupun begitu, masih banyak bahagian badan lain yang turut mengeluarkan haba ketika tidur. Jadi itu bukanlah juga jawapan yang tepat.
Ada juga teori yang berlegar di internet mengatakan bahawa tahi telinga kita mempunyai bau seakan-akan bau yang dikeluarkan nyamuk ketika mengawan bagi menarik perhatian pasangannya dan membuatkan ia keliru dan berlegar di sekitar telinga. Namun, teori ini tidak mendapat sokongan kuat dari segi saintifik.
Mungkin jawapan dan teori yang paling tepat dan mudah ialah nyamuk tidaklah begitu berminat dengan telinga kita sebenarnya. Telinga merupakan deria pendengaran manusia jadi disebabkan itu kita terdengar bunyi 'buzz' ketika nyamuk terbang berhampiran telinga tetapi tidak pada bahagian lain.
Dr. Christopher Johnston dari Baltimore telah menemui bagaimana nyamuk boleh mendengar bunyi 'buzz' pasangannya ketika mengawan lebih dari seratus tahun yang lalu. Dia mendapati nyamuk mempunyai organ yang berfungsi sebagai antena. Organ nyamuk ini telah diberi nama organ Johnston sempena namanya.
Kemudian seorang saintis lain pula berjaya menemui bagaimana sebenarnya bunyi 'buzz' nyamuk itu dihasilkan. Walaupun kita mendengarnya ketika nyamuk sedang terbang, tetapi ia bukanlah disebabkan efek sayapnya melibas di udara. Ia sebenarnya dihasilkan oleh satu lagi organ lain yang mengeluarkan bunyi apabila sayap digerakkan.
Perkara ini ditemui oleh seorang entomologis British iaitu A.E. Shipley pada tahun 1902. Di dalam kenyataan yang dibuatnya, dia memberitahu organ dalaman nyamuk yang berbentuk seperti gigi itu berbunyi apabila bergeser dengan sayapnya. Nyamuk betina adalah lebih besar serta melibas sayap lebih perlahan dan nyamuk jantan dapat mengetahui jika itu adalah panggilan untuk mengawan.
Namun tahukah anda bahawa terdapat lebih 3000 spesis nyamuk namun tiada seekor pun dari nyamuk jantan yang menghisap darah? Ini kerana nyamuk betina dan jantan bergantung kepada manisan bunga sebagai diet. Hanya nyamuk betina sahaja yang menghisap kerana ia memerlukan zat besi dan protein untuk menghasilkan telur.
Rujukan: