Kredit foto: Instagram @tv3malaysia
Elvira, protege kepada penyanyi Misha Omar dinobatkan sebagai juara rancangan realiti Mentor Otai yang berlangsung di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam, malam tadi.
Pemilik nama penuh Elvira Carrie Olga Arul, berusia 39 tahun itu menyerlah dalam dua persembahan lagu, Bukan Dia Tapi Aku (nyanyian asal Judika) dan Nur Nilam Sari duet bersama Azlan Typewritter.
Kemenangan Elvira sekaligus mengenepikan tiga finalis akhir yang lain iaitu Azee, protoge kepada Zarul Husin, Alina (Siti Sarah) dan AJ (Tam Spider).
Elvira membawa pulang ganjaran wang tunai RM100,000.
Dalam pada itu, Edry Abdul Halim selaku juri tetap menyifatkan Elvira sebagai peserta yang menonjol seawal minggu pertama pertandingan.
“Kita nampak kelebihan Elvira dari minggu pertama. Kami ada memikirkan bagaimana mahu membuat keputusan agar masing-masing mendapat peluang.
“Tapi Elvira nampak lebih menonjol dan dia sangat memuaskan hati kami. Dia boleh lakukan persembahan yang baik.
“Malah, kami rasa penyanyi profesional pun tak mampu nak lakukan persembahan seperti dia,” kata Edry kepada portal Mstar Online.
Sementara itu, Azee atau Aznie Ariffin, 41, berada di kedudukan kedua dengan ganjaran wang tunai RM50,000, manakala tempat ketiga disandang Alina Hassan, 50, sekaligus membawa pulang hadiah wang tunai RM20,000.
Kredit foto: Instagram @tv3malaysia
Tidak terkecuali, AJ atau Kamarol Azril Al’azemi, 42, diberi habuan wang tunai RM5,000.
Keseluruhan markah adalah hasil gabungan penilaian sebanyak 50 peratus oleh juri tetap, Edry Abdul Halim dan Mark Adam, 20 peratus undian juri awam yang terdiri daripada wakil industri hiburan, manakala 30 peratus lagi undian atas talian oleh penonton.
Mentor Otai peringkat akhir diacarakan pasangan hos Haziq Hussni dan Elly Mazlein, manakala Kugiran Masdo dan Saleem diundang sebagai penyanyi jemputan.