Kredit foto: Instagram Alina Hassan
Malang menimpa pemenang tempat ketiga pertandingan realiti Mentor Otai, Alina Hassan yang disahkan mengalami patah kaki kerana kecederaan.
Ia susulan penyanyi berusia 50 tahun itu terjatuh ke dalam longkang ketika berjalan kaki bersama rakannya menuju ke rumah.
Kejadian itu yang mencederakan beberapa bahagian tubuhnya membuatkan Alina terpaksa membatalkan beberapa persembahan kerana mengalami kesukaran bergerak.
Kredit foto: Instagram Alina Hassan
"Ketika kejadian, saya dan beberapa teman sedang berjalan pulang ke rumah selepas berbuka. Ketika itu, saya ketinggalan di belakang. Sedang asyik melangkah, saya tak perasan di hadapan ada longkang besar lalu terjatuh.
"Mujurlah longkang itu kering. Saya dibawa ke klinik berdekatan untuk mendapatkan rawatan. Hanya selepas dirujuk di Hospital Kuala Lumpur (HKL), barulah saya tahu kaki kiri patah," katanya kepada BH Online.
Mengenai perkembangan lain, Alina yang juga bekas juara Sinaran Pasport Kegemilangan 1996 dan peserta Kilauan Emas mendedahkan dirinya masih belum mempunyai tempat tinggal.
Beliau kini terpaksa menumpang teduh di kediaman rakan buat sementara waktu.
"Buat masa ini, saya menumpang di rumah sahabat. Ditambah dengan keadaan sekarang, agak sukar untuk saya menguruskan diri. Hendak berjalan pun perlahan-lahan... Lagilah saya tertekan," katanya.
Bercakap tentang permohonan rumahnya yang belum berhasil, Alina kekal positif meraih pertolongan daripada pihak atasan.
"Ada saranan saya minta tolong Presiden Yayasan Artis 1Malaysia, Datuk DJ Dave... Insya-Allah, saya akan cuba," katanya.