Kredit foto: Instagram Siti Sarah

Kerana faktor usia, protege Siti Sarah iaitu Alina nekad tidak meneruskan kerjayanya sebagai penyanyi.

Sebaliknya, Alina atau Alina Hassan, 50, berkata, dia lebih tertarik untuk menjayakan bisnes perkhidmatan pembersihan dengan bermodalkan wang kemenangan yang diperoleh.

"Saya rancangan nak beli sebuah van dengan hasil daripada wang kemenangan yang saya dapat itu.

"Nak buat bisnes dalam perkhidmatan pembersihan. Saya tak nak teruskan kerjaya sebagai penyanyi. Nak tumpukan pada perniagaan itu sahaja.

"Mungkin disebabkan faktor usia saya dah tidak sesuai untuk berada di dalam industri seni," katanya kepada portal Mstar Online.

Terdahulu, Alina menduduki tangga ketiga ketika berentap di malam akhir Mentor Otai yang berlangsung di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam pada Ahad.

Kemenangan itu melayakkannya meraih wang tunai RM20,000 bersama trofi.

Dalam pada itu, Alina berkata, dia sedia mempertimbangkan sekiranya ada tawaran yang memerlukannya menyanyi di majlis-majlis dengan membawakan lagu penyanyi lain.

alina hassan tak mahu lagi bergelar penyanyi 2

Kredit foto: Instagram Alina Hassan

"Kalau ada tawaran untuk saya membuat persembahan di mana-mana acara atau majlis, mungkin saya akan terima.

"Tapi saya tidak akan mengeluarkan single atau lagu sendiri. Mungkin saya akan menyanyikan lagu penyanyi-penyanyi lain yang sedia ada," tegasnya.

Sementara itu, penyanyi yang pernah menghasilkan dua album studio ini akui berpuas hati dengan prestasi persembahannya sepanjang program realiti itu berlangsung. 

"Saya berpuas hati kalau Siti Sarah pun turut rasa bangga dengan saya. Sebab apa yang saya buat adalah kerana dia.

"Kalau dia rasa okey, saya pun ikut sahaja. Apa-apa saya ingin berterima kasih dengan dia yang banyak membantu sepanjang dalam program ini," katanya.

Pertandingan itu menobatkan protege Misha Omar iaitu Elvira sebagai juara, manakala Azee (protege Zarul Husin) menduduki tangga kedua, selain AJ (protege Tam Spider) di tangga keempat.




Hakcipta iluminasi.com (2017)