Kredit foto: Instagram Alif Muhaimin & Instagram Alif Muhaimin Official Fanclub

Hero Remaja 2017, Alif Muhaimin mendedahkan pengalamannya bekerja sebagai pencuci kereta suatu ketika dahulu telah mengajar tentang erti kehidupan sebenar.

Jejaka berusia 23 tahun itu mengerah keringat demi menampung perbelanjaan keluarga dan persekolahan adik-adiknya.

"Sebenarnya saya pernah hidup susah sejak daripada kecil lagi dan pernah bekerja sebagai pencuci kereta untuk mendapatkan pendapatan sampingan.

"Saya juga banyak belajar tentang kehidupan sebenar apabila bergaul dengan orang-orang sekeliling ketika bekerja melalui pengalaman hidup yang dikongsikan oleh mereka.

"Jujur saya katakan saya akan melakukan apa sahaja kerja yang boleh mendapatkan wang untuk membantu keluarga," katanya memetik laporan portal Astro Gempak.

Alif membuat kenyataan tersebut di sesi rakaman akhir program Hero Remaja yang berlangsung di The Glass House, Seputeh, baru-baru ini.

juara hero remaja 2017 alif muhaimin pernah jadi tukang cuci kereta 2

Kredit foto: Instagram Alif Muhaimin

Dalam pada itu, pemuda itu berkata, dia akan menggunakan kedudukannya kini sebagai medium untuk membantu golongan yang tidak benasib baik.

"Alhamdulillah saya bersyukur kerana berjaya bergelar Hero Remaja 2017, dan akan menjadikan platform ini untuk membantu golongan yang memerlukan," ujarnya.

Pada episod akhir program berkenaan turut menyaksikan Farhan Asri menduduki tempat kedua, diikuti Harris Annuar di tangga ketiga.

Nabil Aqil pula mengungguli kategori Hero Favourite dengan undian atas talian paling tinggi iaitu sebanyak 16,410 undian.

Tidak ketinggalan, Adam Yusuf meraih anugerah khas Hero Inspirasi daripada Juri.

Bagaimanapun, tuah tidak menyebelahi Ikmal Amry dan Safwan Nazri yang tersingkir atas keputusan juri untuk menempatkan hanya lima peserta.

Sumber berita: Astro Gempak




Hakcipta iluminasi.com (2017)