Kredit foto: beritaharian.sg
Penyanyi, Shahir Zawawi mengaku sudah mula memikirkan soal perkahwinan termasuk kesediaan menjalankan tanggungjawab sebagai 'bapa segera'.
Ia secara tidak langsung mengiyakan dakwaan hubungan cintanya dengan bintang Sembilu, Erra Fazira.
"Alhamdulillah, hubungan saya dengan Engku Aleesya pun okay. Malah, dalam kalangan keluarga saya juga, mereka sentiasa mendoakan yang baik-baik agar segala dirancang berjalan lancar dan tidak ada halangan,” katanya kepada Harian Metro.
Namun, Shahir yang juga bekas juara rancangan realiti Akademi Fantasia musim kelapan (AF8) berkata, buat masa ini dia masih belum menetapkan sebarang tarikh, justeru meminta agar netizen dapat mendoakan yang terbaik.
Kredit foto: BH Online
“Kalau bercakap mengenai persiapan hantaran dan sebagainya, memang belum ada. Cuma, buat masa sekarang persediaan diri sendiri saja iaitu sudah bersedia menggalas tanggungjawab baru sebagai suami dan ‘bapa segera," katanya.
Dalam pada itu, akui Shahir, pernikahan barangkali akan dilangsungkan tanpa melalui fasa pertunangan.
Sebagai petunjuk, penyanyi berusia 30 tahun ini memberi bayangan majlis hari bahagianya itu bakal diadakan pada tahun ini juga.
“Sekarang ini memang sudah ada perancangan ke arah itu (kahwin). Cuma belum ada tarikh ditetapkan. Sampai masa nanti saya akan umumkan juga.
“Insya-Allah, tahun ini. Terpulang kepada rezeki. Kalau boleh, nak terus nikah saja dan tidak mahu bertunang,” katanya.
Mengenai spekulasi kehadiran beliau sekeluarga melawat aktres itu pada Syawal lalu kononnya atas hajat meminang, penyanyi lagu Aku Yang Berdosa ini pantas menafikan.
“Mana ada, ia hanya kunjungan biasa dan berziarah sempena hari raya. Lagi pula, Erra pun sudah menjawab perkara ini,” katanya.