Projek mega adalah projek berskala besar di mana ia menelan belanja yang amat tinggi. Biasanya, perancangan sesebuah projek mega itu akan diadakan dengan penuh teliti. Walau bagaimanapun, perlaksanaannya tidak selalunya seperti apa yang dijangkakan.
Pelbagai masalah boleh berlaku dan menyebabkan projek berskala besar seperti ini lambat atau menelan belanja yang jauh lebih besar. Perkara ini boleh dilihat hampir di seluruh dunia termasuklah di negara maju.
BESARKAN TEKS A- A+
Berikut adalah beberapa projek berskala besar yang boleh dianggap sebagai gagal walaupun berjaya disiapkan.
1. Big Dig (Amerika Syarikat)
Big Dig adalah gelaran bagi sebuah projek lebuh raya mega di Boston. Projek yang memakan masa selama 15 tahun untuk disiapkan ini turut merupakan projek lebuh raya paling bermasalah dan paling mahal di Amerika Syarikat.
Projek mega ini mengubah hala lebuh raya Interstate 93 ke pusat bandar Boston melalui terowong sejauh 3.5 batu, beberapa terowong tambahan dan sebuah jambatan.
Pembinaan Big Dig selama 15 tahun ini sering menimbulkan masalah kepada penduduk Boston. Projek mega ini penuh dengan pelbagai masalah seperti lebihan kos, penangguhan, masalah rekaan, hasil kerja yang cuai dan banyak lagi. Akhirnya, projek Big Dig menelan belanja sehingga RM 96.7 bilion.
2. Terowong Rel Hallandsås (Sweden)
Pembinaan Terowong Rel Hallandsås (juga dikenali sebagai Scanlink) sepanjang 5.4 batu di barat daya Sweden ini bermula pada tahun 1992 dan dijangka siap sepenuhnya pada 1995.
Sejak awal pembinaan lagi, air bawah tanah mula meresap ke dalam terowong dan menimbulkan masalah besar kepada jurutera. Lebih memburukkan keadaan, gerudi gergasi rosak hanya selepas 18 meter menggali akibat batu terlalu lembut dan tidak dapat menarik mesin ke hadapan.
Apabila kontraktor utama muflis, projek mega itu diambil alih oleh syarikat gergasi Skansa. Projek itu dihentikan apabila Skansa menggunakan bahan toksik "Rhoca-Gil" untuk menampal rekahan pada batu. Bahan kimia itu telah menyebabkan haiwan ternakan berhampiran mati dan ramai pekerja sakit.
Setelah dihentikan selama 8 tahun, projek itu disambung semula pada 2005 dan siap pada tahun 2015 iaitu 23 tahun melebihi jangkaan asal. Projek mega ini menelan belanja tambahan sebanyak RM 5.7 bilion.
3. Teleskop Angkasa James Webb (Amerika Syarikat)
Pembinaan teleskop angkasa ini dijangka akan lebih hebat berbanding Teleskop Angkasa Hubble yang menjadi kebanggaan NASA. Projek yang dirancang pada tahun 1996 ini dijangka akan menelan belanja sebanyak RM 4.4 bilion dan siap pada tahun 2007.
Walau bagaimanapun, pelbagai masalah timbul dari setiap sudut ketika pembinaan Teleskop Angkasa James Webb ini. Teleskop angkasa ini akhirnya siap dan dilancarkan pada 25 Disember 2021 dengan kos sebanyak hampir 10 kali ganda iaitu RM 42.6 bilion.
4. Program Nasional NHS untuk IT (United Kingdom)
Projek IT terbesar dan termahal yang gagal setakat ini adalah Program Nasional NHS untuk IT (NPfIT) oleh Jabatan Kesihatan UK. NPfIT adalah percubaan untuk menyatukan semua rekod pesakit awam dalam satu sistem mesra pengguna yang dihubungkan kepada 30,000 doktor di 300 hospital.
Kerja awal projek ini dimulakan pada tahun 2002 dengan pembinaan sebuah pangkalan data berpusat yang dianggarkan bernilai RM 12.6 bilion dan dijangka siap pada 2005.
Realitinya, projek mega itu diuruskan dengan teruk dan dibelenggu oleh isu teknikal, perubahan spesifikasi, kontroversi privasi dan banyak lagi. Pada 2011, projek IT yang masih belum siap itu sudahpun menelan belanja sebanyak RM 64.6 bilion sehingga memaksa pihak kerajaan menghentikannya.
5. The World (Dubai)
Projek The World yang diumumkan pada Mei 2003 adalah projek pembinaan 300 pulau buatan manusia di Dubai yang menyerupai peta dunia. Ia dijangka akan menjadi pusat peranginan mewah terhebat.
Namun, projek itu terhenti pada 2008 akibat krisis kewangan dunia yang menyebabkan kejatuhan pasaran hartanah Dubai. Sehingga kini, dianggarkan sebanyak RM 65 bilion telah dibelanjakan tetapi hanya satu pulau sahaja yang dibangunkan sepenuhnya.
Terdapat laporan bahawa beberapa pulau yang ditambak mula tenggelam ke dalam laut. Sebahagian besar pulau-pulau ini masih belum diusahakan dan tidak dapat dipastikan bilakah projek mega ini akan selesai.
6. Lapangan Terbang Berlin Brandenburg (Jerman)
Rancangan pembinaan lapangan terbang baru di Berlin ini bermula pada 1989 tetapi hanya diluluskan pada tahun 2006. Projek mega ini dianggarkan siap sepenuhnya pada Oktober 2011 dengan kos sebanyak RM 11 bilion.
Namun, tarikh pembukaan lapangan terbang ini telah dilewatkan pada Jun 2012. Dengan pelbagai kesilapan memalukan, projek ini ditunda lebih lama dan telah memakan belanja melebihi RM 32.9 bilion.
Lapangan terbang ini akhirnya dibuka pada 31 Oktober 2020 iaitu 14 tahun selepas pembinaannya dan 29 tahun selepas rancangan asal dibuat. Permintaan perjalanan udara yang merosot berikutan pandemik coronavirus menyebabkan Terminal 2 hanya dibuka pada Mac 2022 baru-baru ini sahaja.
7. Unit 3 Loji Kuasa Nuklear Flamanville (Perancis)
Projek mega pembinaan loji kuasa nuklear ini bermula di utara Perancis pada tahun 2007. Syarikat tenaga gergasi Perancis iaitu Electricite de France (EDF) menganggarkan projek itu akan menelan belanja sebanyak RM 15.5 bilion dan dengan bangganya mengumumkan ia akan siap dalam tempoh empat setengah tahun.
Namun, berlaku pelbagai masalah ketika pembinaannya sehingga beberapa kali terpaksa ditangguhkan. Kini, projek itu telah menelan belanja sehingga RM 58 bilion dan dijangka akan siap paling awal pada 2024 iaitu sedekad selepas jangkaan asal.
8. Hotel Ryugyong (Korea Utara)
Hotel yang diberi gelaran "Hotel of Doom" ini dibina untuk menjadi simbol kemakmuran bagi Korea Utara. Hotel berbentuk piramid yang terletak di ibu kota Pyongyang ini masih belum siap dan tidak berpenghuni. Kos untuk menyiapkan hotel ini dianggarkan bernilai hampir RM 9 bilion iaitu bersamaan 5% GDP negara itu.
Projek mega bangunan setinggi 105 tingkat ini bermula sejak 1987 tetapi terpaksa dihentikan pada 1992 apabila krisis ekonomi menyusul akibat kehancuran Kesatuan Soviet. Kerja pembinaan disambung pada tahun 2008 tetapi hanyalah pemasangan kaca di bahagian luar sahaja.
Projek mega ini sekali lagi dihentikan, dipercayai akibat Korea Utara kekurangan bahan mentah dan kepakaran untuk menyiapkannya. Walau bagaimanapun, jalan masuk ke Hotel Ryugyong telah dibina pada 2017 dan paparan LED telah ditambah pada bangunan itu baru-baru ini supaya ia kelihatan "hidup".