Seperti yang diketahui umum, vaksin virus Covid-19 baru sahaja tiba di Malaysia. Kerajaan telah menggesa semua rakyat untuk mengambil perlindungan yang disediakan secara percuma ini. Namun, masih ada segelintir yang masih meragui program vaksinasi ini.
Walaupun anda memahami proses saintifik, mempercayai pakar perubatan dan mengetahui betapa pentingnya vaksin untuk memerangi penyakit berjangkit, anda mungkin mempunyai beberapa pertanyaan atau kebimbangan mengenai vaksin Covid-19 ini. Tambahan pula, banyak khabar angin mengenai vaksin ini tersebar luas di internet.
BESARKAN TEKS A- A+
Berikut adalah beberapa mitos mengenai vaksin Covid-19 dan kebenaran di sebaliknya.
1. Vaksin ini diragui kerana pembuatannya yang tergesa-gesa
Vaksin pertama Covid-19 memang melibatkan teknologi baru dan dikembangkan dalam masa singkat tetapi ia tidak bermakna mereka menggunakan jalan pintas untuk proses menghasilkan vaksin ini.
Teknologi baru vaksin Pfizer dan Moderna yang dikenali sebagai messenger RNA atau mRNA ini adalah pertama kali digunakan secara meluas dalam vaksin untuk orang ramai. Namun, para penyelidik sebenarnya telah membangunkan strategi vaksin seumpama ini lebih daripada tiga dekad.
Menurut Dr. Thaddeus Stappenbeck, Ketua Jabatan Keradangan dan Imuniti di Institut Penyelidikan Klinik Lerner, Cleveland, teknologi ini telah berkembang pesat sejak beberapa tahun kebelakangan ini melalui puluhan ribu ujian.
Apabila Covid-19 melanda dunia, teknologi ini dilihat amat sesuai digunakan untuk penghasilan vaksin. Memandangkan Covid-19 mempunyai banyak persamaan dengan virus berjangkit lain, syarikat pengeluar vaksin hanya memerlukan beberapa bulan sahaja untuk melakukan ujian klinikal dan mengumpul data yang cukup.
Kini, banyak badan bebas mengakui vaksin Pfizer dan Moderna berkesan dan selamat untuk digunakan.
2. Kita tidak tahu apa yang ada dalam vaksin ini
Kedua-dua vaksin Pfizer dan Moderna telah menerbitkan senarai ramuan mereka kepada umum. Selain ramuan penting iaitu mRNA Covid-19 untuk duri protein, kedua-dua vaksin ini mengandungi lipid (lemak) yang membantu menyampaikan mRNA ke dalam sel anda.
Terdapat juga beberapa bahan lain untuk menyelaras kandungan pH dan kestabilan vaksin. Walaupun terdapat pelbagai teori yang tersebar di media sosial, vaksin ini tidak mengandungi cip mikro atau sebarang bentuk alat penjejak lain.
3. Vaksin Covid-19 akan mengubah DNA
Vaksin menggunakan mRNA untuk memberi arahan kepada sel kita supaya membina satu contoh duri protein yang merupakan bahagian penting virus Covid-19 bagi tujuan tindak balas sistem imuniti. Setelah mRNA melakukan tugasnya, sel-sel kita akan memecahkan dan menyingkirkannya.
Menurut Dr. Stappenbeck lagi, mRNA adalah sesuatu yang dihasilkan dari DNA tetapi ia tidak direka untuk bersatu dengan DNA kita. Ia juga tidak boleh mengubah genom kita secara kekal dengan apa cara sekali pun.
4. Saya pernah dijangkiti Covid-19 jadi vaksin tidak memberi kesan
Setakat ini, belum dapat dipastikan berapa lamakah imuniti semula jadi terhadap Covid-19 mampu bertahan tambahan pula terdapat banyak varian baru yang lebih bahaya.
Walaupun kemungkinan besar mereka yang sembuh tidak akan dijangkiti, ia tidak mustahil kerana banyak lagi yang belum diketahui. Walaupun anda pernah dijangkiti, pakar menyarankan adalah lebih baik mengambil vaksin untuk memastikan anda lebih dilindungi.
5. Tidak perlu vaksin kerana tahap kesembuhan tinggi
Memang benar bahawa kebanyakan orang yang dijangkiti Covid-19 dapat pulih semula. Namun, terdapat juga sebilangan kecil mengalami komplikasi teruk. Setakat ini, seramai 2.4 juta orang telah kehilangan nyawa akibat virus ini di seluruh dunia.
Malah, ada juga mereka yang sembuh tetapi perlu mendapatkan rawatan lanjut kerana virus ini telah mengakibatkan kerosakan paru-paru, jantung, otak dan beberapa masalah lain.
Antara sebab lain mengapa anda perlu mengambil vaksin adalah untuk melindungi orang di sekeliling anda. Anda mungkin dapat sembuh dengan mudah tetapi tidak semua orang di sekeliling anda juga mampu. Vaksinasi secara meluas dapat melindungi populasi termasuk orang yang berisiko tinggi dan mereka yang tidak dapat divaksinasi akibat masalah tertentu.
6. Tidak perlu penjarakan sosial atau memakai pelitup muka setelah vaksin
Walaupun telah mendapat vaksin, anda harus terus memakai pelitup muka, mencuci tangan dan mempraktikkan penjarakan fizikal. Ini kerana kedua-dua jenis vaksin ini memerlukan dua dos suntikan yang diberikan secara tiga hingga empat minggu berselang untuk mencapai kekebalan yang terbaik.
Menurut Dr. Stappenbeck lagi, seseorang yang disuntik vaksin itu memerlukan sekurang-kurangnya seminggu atau 10 hari untuk tubuh mula membentuk antibodi dan meningkatkannya beberapa minggu ke depan.
Selain itu, vaksin ini dibangunkan dan diuji kemampuannya untuk mencegah penyakit teruk dan kematian akibat Covid-19. Masih tidak jelas sama ada ia mampu melindungi anda 100% daripada jangkitan atau penyebaran tanpa gejala.
7. Dengan kewujudan vaksin, virus Covid-19 akan hilang
Walaupun vaksin sudah dihasilkan, ia akan mengambil masa yang lama untuk memastikan semua orang telah divaksin. Untuk mencapai kekebalan berskala besar di mana penyakit ini sukar berebak, kira-kira 70% populasi perlu diberi vaksin.
Syarikat pengeluar vaksin juga memerlukan masa untuk menghasilkan vaksin yang secukupnya buat semua orang. Jadi, vaksin ini akan diedarkan secara berperingkat dan keutamaan akan diberikan kepada mereka yang sangat memerlukannya.
Buat masa ini, kira harus terus berusaha untuk memperlahankan penyebaran virus termasuk memakai pelitup muka, mencuci tangan dan menjaga penjarakan fizikal.
8. Vaksin Covid-19 akan menyebabkan kemandulan atau keguguran
Vaksin Covid-19 tidak mengandungi virus hidup tetapi hanyalah mRNA. Oleh itu, vaksin ini tidak akan menyebabkan peningkatan risiko kemandulan, keguguran atau kecacatan janin.
Selain itu, setakat ini tiada bukti yang menunjukkan vaksin ini juga berisiko terhadap bayi yang masih menyusu badan.