Bagi penduduk Palestin yang baru saja selesai melalui siri-siri pertempuran kecil di antara pejuang Hamas dengan tentera rejim Zionis, mereka kembali bergelut dengan masalah sama yang sedang dihadapi seluruh dunia ketika ini - pandemik Covid-19.

Kita di Malaysia semakin giat menjalankan program suntikan vaksinasi Covid-19 bagi membantu mencapai sasaran peratusan individu divaksin, yang diharap dapat membentuk imunisasi berkelompok di kalangan masyarakat.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Bagaimana pula dengan Palestin? Di mana mereka tatkala negara-negara dunia lain berlumba-lumba menjalankan vaksinasi individu di seluruh negara?

Kes Covid-19 di Palestin secara ringkas

protes pro palestin

Dua kes terawal Covid-19 dikesan di Semenanjung Gaza pada 22 Mac 2020,  menimbulkan kebimbangan di kalangan pemimpin Palestin ekoran kebersediaan mereka untuk menangani pandemik yang ketika itu masih dalam peringkat baru bertatih.

Kes tersebut yang melibatkan dua orang warga Palestin baru pulang dari Pakistan itu bagaimanapun berjaya dikuarantin dengan baik di pusat perubatan yang terletak di Rafah, sempadan Gaza dengan Mesir.

Ekoran kebimbangan virus akan merebak dengan cepat dalam situasi populasi yang sukar melakukan penjarakan, warga Palestin di Semenanjung Gaza diarahkan untuk menjalani kuarantin selama 2 minggu bagi mengelakkan penularan,bagi mengelakkan apa yang yang telah berlaku di Tebing Barat berulang.

Kebimbangan berkenaan kesukaran mendapatkan peralatan hospital, ubat-ubatan dan kelancaran pergerakan petugas barisan hadapan ekoran sekatan dikenakan rejim Zionis, menambah lagi kerisauan.

Namun penularan jangkitan tetap gagal disekat di Palestin.

Pada 5 Julai 2020, kes di Palestin meningkat kepada 72 kes dengan hanya satu kematian daripada 17 kes pada bulan April.

Sehingga bulan Jun 2021, sebanyak 338,000 kes positif ditemui dengan lebih 3,700 kematian berlaku di Palestin. Bulan April tahun 2021 mencatatkan angka positif dan kematian paling teruk di negara itu setakat ini. 

Angka ini menurun mendadak semasa krisis memuncak selepas tentera Zionis bertindak mengebom satu-satunya makmal analisis ujian Covid-19 di Palestin pada 18 Mei 2021 - mengakibatkan proses pengecaman individu positif terhenti.

Pada tempoh waktu tersebut, kadar ujian di Palestin menunjukkan kadar positif yang cukup tinggi. 28 daripada 100 ujian yang dijalankan didapati positif jangkitan virus SARS-CoV-2.

Usaha menjalankan program vaksinasi dalam kekangan

wanita palestin protes israel

Sehingga awal bulan Jun tahun 2021, Palestin hanya berjaya mengesahkan bekalan vaksin mencukupi untuk 5.8% daripada keseluruhan populasi, sekiranya kadar dua dos vaksin diambil kira.

Setakat artikel ini ditulis, sudah 4.8% warga Palestin selamat menjalani vaksinasi. Jika bekalan sedia ada diambil kira, amat jelas masih ramai yang akan perlu melangsungkan hidup tanpa vaksin.

Berbanding dengan 'jiran' terdekat mereka Israel, angka yang dicatatkan di Palestin jauh ketinggalan; Israel mendahului kesemua negara dunia dalam program vaksinasi, mencatat rekod terpantas lebih 59% telah divaksinasi sekurang-kurangnya satu dos dan 54% telah selesai mendapat dua dos suntikan.

Bekalan vaksin untuk warga Palestin bergantung sepenuhnya dengan penyertaan mereka dalam program COVAX anjuran Badan Kesihatan Sedunia serta sumbangan negara-negara dunia lain...

...Termasuklah Israel yang perlu menyumbang atas kepentingan negara mereka. Kita bincang isu ini sekejap lagi.

Israel terus berani melanggar perjanjian antarabangsa

benjamin netanyahu gagal tubuh kerajaan

Apa yang membimbangkan dalam isu vaksinasi serta kaitan antara konflik Israel-Palestin ini, Israel dilihat enggan mematuhi persetujuan yang termaktub dalam Konvensyen Geneva.

Mereka sepatutnya tidak boleh mengabaikan keperluan vaksinasi warga Palestin di kawasan-kawasan yang dikuasai Zionis seperti di Tebing Barat.

Konvensyen Geneva Keempat telah menetapkan bahawa mana-mana pihak yang telah menguasai sesuatu kawasan tertentu semasa berlakunya konflik atau peperangan, perlu memikul tanggungjawab melindungi warga/orang biasa yang menetap di situ.(pautan PDF)

Israel berkeras menyifatkan tindakan mereka seiring dengan apa yang telah dipersetujui. Mereka telah menjalankan suntikan vaksin kepada lebih 100,000 orang pekerja dari Palestin yang perlu hadir ke Israel setiap hari.

Antara negara yang membantu Palestin dalam program vaksinasi selain dari Israel adalah China yang menyumbang 100,000 dos vaksin Sinopharm, Russia penyumbang vaksin Sputnik serta Emiriyah Arab Bersatu.

Apa yang menarik, berlakunya perbezaan ketara pandangan di antara masyarakat Israel sendiri ketika ini dalam isu vaksinasi warga Palestin.

Pihak profesional dan perubatan menyifatkan keengganan Israel membantu Palestin hanya akan menyebabkan masalah berlanjutan dalam jangka masa panjang, ekoran kedudukan kedua-dua negara yang berkait sempadannya satu sama lain. 

Jadi bagi kumpulan seperti ini, mereka melihat kerajaan Israel perlu memikul beban peruntukan serta gerak kerja untuk memastikan pandemik dapat dihentikan dengan baik di seluruh rantau mereka - walaupun terpaksa membantu Palestin sekalipun.

Namun bukan semua yang berpandangan sedemikian rupa. Ada pihak merasakan tiada keperluan untuk membantu Palestin kerana tindakan itu tidak akan mendatangkan apa-apa; walaupun negara mereka perlu menanggung kerugian besar.

Vaksin milik Israel akan dilupuskan begitu saja?

vaksin astra zeneca israel tolak

Kejayaan Israel dalam menjalankan program vaksinasi mendapat pujian ramai.

Tetapi dalam masa yang sama cemuhan tetap kedengaran daripada pengkritik yang merasakan Israel sengaja mengabaikan nasib warga Palestin khasnya apabila isu perubatan mula dikaitkan dengan isu politik.

Pada penghujung bulan April tahun 2021, laporan media menyebut Israel tidak lagi mengiktiraf penggunaan vaksin Astra Zeneca untuk kegunaan warga mereka; hanya mengiktiraf vaksin Pfizer dan Moderna.

Wujud bekalan lebih 10 juta dos sedang dalam proses penghantaran ke Israel untuk kegunaan namun disebabkan kebimbangan kerajaan mereka terhadap tahap keselamatan vaksin tersebut yang dilaporkan mampu menyebabkan risiko berlakunya gumpalan darah; Israel memilih untuk tidak lagi menggunakan Astra Zeneca.

Sekitar bulan Mei tahun 2021, beberapa pemimpin kerajaan Israel menyuarakan cadangan agar 10 juta dos yang bakal mereka terima adalah lebih baik dilupuskan, walaupun banyak pihak menyarankan agar dos-dos yang tidak lagi digunakan itu lebih baik didermakan kepada Palestin yang memerlukan.

Pendapat ini ditentang beberapa wakil kerajaan Israel, yang menyarankan agar vaksin tersebut sekiranya tidak dilupus haruslah dijual semula kepada negara yang memerlukan berbanding diberi kepada Palestin.

Pendapat ini bertentangan dengan permintaan pakar-pakar perubatan di sana yang berharap imuniti dapat dibentuk di kalangan warga Palestin, seiring dengan pencapaian vaksinasi di Israel.

Apa hala tuju kerajaan baru Israel dalam isu Palestin?

yair lapid persetujuan kerajaan campuran

Banyak pihak merasakan tarik tali berkaitan bekalanvaksin Astra Zeneca kerajaan Israel, hanya wayang untuk memastikan ada negara terdesak sanggup membeli kesemua dos yang bakal mereka terima.

Setakat ini belum ada negara menyatakan persetujuan untuk membeli bekalan yang sudah pasti ada itu.

Kerajaan Israel juga ketika ini sedang dalam proses pembentukan semula parlimennya, berkemungkinan besar berlaku pertukaran kerajaan menandakan berakhirnya rejim Benjamin Netanyahu dan parti Likud yang telah menguasai pemerintahan Israel lebih 12 tahun sebagai kerajaan pusat.

Namun sehingga ke saat ini, Netanyahu masih belum menyerahkan kuasa secara aman dan nampak akan terus berusaha memegang tampuk kuasa dengan apa cara sekalipun - menyifatkan keputusan pilihanraya bulan April 2021 sebagai penipuan terancang.

Rata-rata penduduk Palestin menyuarakan kegembiraan mereka dengan perubahan ini walaupun masih belum rasmi terjadi, ekoran penyertaan wakil Arab Muslim ke dalam kerajaan Israel. Sama ada akan memberi kesan positif atau sebaliknya kepada nasib penduduk Palestin, kita belum tahu lagi.

Latar belakang Perdana Menteri Israel iaitu Naftali Bennett yang bakal menjawat jawatan tersebut sehingga tahun 2023 sangat berkait rapat dengan karier politik Benjamin Netanyahu. Beliau pernah berkhidmat sebagai ketua pegawai Netanyahu dari tahun 2008 hingga 2011.

Yair Lapid yang dijadualkan akan mengambil alih jawatan Perdana Menteri untuk tempoh 2 tahun selepas tamat perkhidmatan Bennett pula terkenal sebagai Menteri Kewangan yang melawan Netanyahu, sehingga mengakibatkan kejatuhan kerajaan Israel pada tahun 2015.

Visi yang dibawakannya setakat ini, tampak boleh membawa perubahan besar kepada sengketa yang telah berlaku sekian lama akibat percaturan Zionis di tanah suci itu.

Walaupun demikian - kami mengambil pendekatan berhati-hati, meramalkan tidak ada perubahan besar dalam suasana hidup penduduk Palestin di bawah pentadbiran baru Israel, sekiranya dua-dua individu berjaya mengambil alih kuasa disebabkan oleh ketidakstabilan kerajaan mereka itu sendiri.

Namun kami doakan sekurang-kurangnya kerajaan baru Israel sekiranya terbentuk, dapatlah berhenti menyerang makmal analisis Covid-19 milik warga Palestin bagi membolehkan pandemik dapat dikawal dan diselia dengan lebih sempurna.




Hakcipta iluminasi.com (2017)