Kerajaan Malaysia ketika ini tampak berdepan sedikit kesukaran dalam meyakinkan orang ramai yang masih gusar tentang status vaksinasi jangkitan Covid-19.

Beberapa orang pemimpin kerajaan ini telah pun perlu mengeluarkan kenyataan yang berusaha memperjelaskan tentang dakwaan terdapatnya mikrocip yang akan disuntik ke dalam tubuh kita, akan digunakan untuk tujuan pemantauan pp lokasi kita.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Teori-teori ini terus merebak, dikongsikan melalui media sosial dan sistem aplikasi komunikasi popular. Persoalannya - kenapa mudah sangat disebarkan? Jadi hari ini, mari kita perjelaskan tentang kebenaran dakwaan ini berdasarkan fakta.

Siapa yang mempopularkan teori konspirasi ini?

roger stone popularkan teori microchipping bill gates

Desas-desus berkenaan usaha 'memasukkan' mikrocip ke dalam tubuh orang ramai melalui suntikan vaksin, bermula sekitar bulan Mac tahun 2020 dan berkait rapat dengan ahli perniagaan terkenal Bill Gates.

Dalam satu temuramah , Gates menyatakan dia dan badan seliaannya The Gates and Melinda Foundation sedang cuba membangunkan teknologi bagi memudahkan proses pemeriksaan status seseorang - sama ada dia sudah divaksinkan atau belum melalui penggunaan sijil atau pasport berbentuk digital.

Isi temuramah itu diputar belit pihak tertentu dan disebarkan dengan suntingan yang menampakkan mesej berbeza, seterusnya mendapat reaksi salah seorang ahli politik parti Republik dan penyokong kuat Donald Trump (ketika itu masih presiden Amerika Syarikat) bernama Roger Stone (gambar atas).

Dalam satu temuramah radio, Stone menyifatkan Gates sebagai seorang globalis yang sedang cuba menguasai dunia melalui program suntikan vaksin mandatori - didakwa dirancang untuk membolehkan mikrocip disuntik ke dalam tubuh orang ramai. Selain itu, Stone turut mendakwa Gates terlibat dengan penciptaan virus penyebab Covid-19.

Kenyataan itu yang dikeluarkan seorang berprofil tinggi malangnya hampir serentak dengan pengumuman pelaksanaan 5G - mula menimbulkan rasa bimbang orang ramai yang 'kreatif' dalam mengaitkan satu isu ke satu isu lain. Antena pemancar 5G dikaitkan mampu bertindak sebagai sensor kepada mikrocip tersebut yang dipasang untuk memantau kita semua.

Kesan pendedahan teori ini memang memberikan kesan besar pada pemahaman masyarakat Amerika Syarikat. Dalam satu kaji selidik pada bulan Mei tahun 2020, didapati 26% daripada penyokong kuat parti Republik di Amerika Syarikat percaya dengan teori tersebut dan kaitan Bill Gates dengannya.

Kempen anti vaksin dan kumpulan anti Bill Gates mula digerakkan di seluruh Amerika Syarikat khasnya oleh penyokong kuat Donald Trump, yang akhirnya turut sama diadoptasi oleh masyarakat luar termasuklah bagi sesetengah golongan di Malaysia.

Bill Gates menyifatkan teori konspirasi tersebut bodoh. Kami ulangi - bodoh.

Logikkah mikrocip disuntik ke dalam badan?

jarum suntikan vaksin saiz

Untuk memahami mampu atau tidak cip bersaiz mikro, nano atau pikocip disuntik ke dalam badan kita, kita perlulah memahami mampu atau tidak sebuah cip melalui jarum suntikan yang digunakan oleh doktor atau petugas perubatan terlebih dahulu.

Menurut seorang saintis dari Universiti of Maryland Center for Vaccine Development and Global Health bernama Dr. Wilbur Chen, mustahil untuk sebuah mikrocip mampu disuntik melalui corong yang terkandung dalam jarum hipodermik.

Ini kerana teknologi mikrocip sedia ada yang mengandungi pengesan RFID atau 'sistem pengesan frekuensi radio' ketika ini, belum mampu menghasilkan mikrocip sekecil itu.

Cip-cip RFID yang sudah digunakan untuk tujuan pengesanan lokasi biasanya dipasang pada haiwan peliharaan mampu dilihat dengan mata kasar kerana saiznya mirip sebutir beras.

Jarum suntikan vaksin tidak mampu menyuntik sesuatu sebesar itu.

Apakah teknologi mikrocip terkecil yang ada sekarang?

mikrocip hitachi terkecil dunia

Sehingga kini, rekod teknologi cip RFID terkecil dunia untuk tujuan komersial masih lagi dipegang oleh syarikat Hitachi dari Jepun (gambar cip itu di atas), diperkenalkan pada tahun 2006.

Mikrocip yang dibangunkan Hitachi itu bersaiz 0.05 x 0.05 milimeter dengan ketebalan 7.5 mikrometer, mempunyai keupayaan untuk menyimpan 38 siri angka dalam format 128 bit yang boleh digunakan dalam pelbagai kaedah. Antaranya adalah untuk dipasangkan ke dalam setiap helaian matawang kertas bagi mengelakkan masalah pemalsuan.

Hitachi juga pernah memperkenalkan teknologi serupa menggunakan cip versi lama yang bersaiz lebih besar dipasangkan pada tiket acara Expo 2005 di Nagoya, Jepun bagi mengelakkan masalah tiket palsu.

Namun cip yang dibangunkan Hitachi bukan untuk kegunaan dalam tubuh kita!

Wujudkah cip yang mampu disuntik ke dalam tubuh?

penyelidik stanford brian feldman

Sekiranya kita mahu membicarakan berkenaan cip RFID yang mampu disuntik ke dalam tubuh, penyelidik dari Stanford pada tahun 2018 telah membentangkan kejayaan mereka melepasi beberapa fasa penting pembangunan sebuah cip RFID bersifat pasif yang mampu disuntik ke dalam sel kita, bersaiz 0.0009 inci atau 1/5 saiz sehelai rambut.

Cip tersebut dikatakan tidak mampu dilihat dengan mata kasar berbanding cip keluaran Hitachi yang dinyatakan di atas, diharapkan dapat digunakan untuk dipasang pada lokasi tertentu dalam tubuh, melibatkan kes-kes pemantauan dan kajian pesakit kanser dan tumor.

Namun cip tersebut masih dalam peringkat kajian dan fungsinya juga sangat terhad ketika ini.

Walaupun memang ada cadangan dari sesetengah pihak untuk membangunkan cip RFID yang mampu digunakan dalam mengawal pergerakan seseorang, teknologi RFID yang ada ketika ini belum cukup matang untuk pelaksanaan tujuan tersebut.

Sistem pengesanan RFID sedia ada masih memerlukan seseorang berada betul-betul dekat dengan pembacanya bagi membolehkan isyarat dikesan. Kami yakin anda pernah berhadapan dengan masalah kad Touch n GO atau Smart Tag yang tidak boleh dibaca bukan?

Semua itu berlaku disebabkan oleh kegagalan pemancar untuk membaca isyarat dari kereta atau kad anda. Berdasarkan kepada kekangan yang ada, fungsi RFID yang ada sekarang ini masih terhad fungsinya, hanya diguna dalam situasi tertentu yang bersifat kurang kritikal keperluannya.

Mungkin 10 ke 20 tahun akan datang, situasi ini akan berubah dengan pengenalan cip yang lebih berkemampuan serta sesuai untuk tubuh. Kami sebut mungkin di situ.

Teknologi sedia ada belum sampai ke tahap imaginasi anda

mikrocip rfid untuk kulit

Buat masa sekarang, teknologi yang menjadi igauan ngeri pengikut setia teori konspirasi masih belum memadai untuk membolehkan 'pengawasan' orang ramai dalam skala sebesar yang didakwa.

Asasnya sudah ada, tetapi belum cukup kecil cipnya untuk kegunaan skala sebesar itu. Mengesan seekor anjing atau kucing? Boleh. Tetapi cipnya juga agak besar dan anda pasti akan sedar jika cip itu cuba dipasang pada anda.

China yang merupakan negara paling handal dalam bab pengawasan rakyat pun masih bergantung kepada jalinan jutaan CCTV dan aplikasi pengimbas wajah, untuk menyelia pergerakan orang ramai.

Kita pula masih lagi berhadapan masalah tersangkut di plaza tol akibat kegagalan pengimbas membaca cip RFID kenderaan kita. Ada masanya kereta kita sendiri gagal mengimbas kunci kereta RFID kita, mengakibatkan kenderaan gagal dimulakan.

Pernahkah anda tengok berapa besar saiz cip RFID yang dipasangkan pada kunci kereta kita? Jika cip RFID sebesar itu pun berdepan masalah untuk dikesan dan dibaca;

Bagaimana pula agaknya dengan mikrocip yang jauh lebih kecil, mampu diletakkan dalam vaksin seterusnya boleh disuntik ke dalam tubuh anda melalui jarum suntikan yang didakwa berfungsi untuk mengawal pergerakan orang ramai?Siapa yang ada teknologi seperti yang didakwa sebenarnya?




Hakcipta iluminasi.com (2017)