Berapakah harga barangan yang paling mahal anda pernah beli melalui online? RM100? RM1,000? RM10,000? Belian atas talian kini bukan lagi sesuatu yang pelik malah terdapat banyak laman sesawang tumbuh bak cendawan lepas hujan yang menawarkan khidmat ini.

Ia memberikan peluang kepada penjual menjual barangannya tanpa perlu menyewa kedai, dan pembeli dapat membeli-belah tanpa perlu keluar dari rumah. Namun masih ramai ragu-ragu untuk membeli melalui cara ini kerana terdapat segelintir yang mengambil kesempatan dengan menipu, apatah lagi jika harganya mahal.

iluminasi.com ingin berkongsi 10 item paling mahal pernah dibeli melalui online.

BESARKAN TEKS     A-  A+

10. Ferrari Enzo - RM4.2 juta

Ferrari Enzo adalah antara kereta sport paling rare di dunia yang mana hanya 399 unit sahaja yang dihasilkan. Dan disebabkan ini harga dan nilainya sangat lah mahal. Apabila sebuah Ferrari Enzo diiklankan di eBay untuk dilelong, peminat kereta sport dan mereka yang berada berlumba-lumba membida harga. 

Setelah tempoh lelongan tamat, kereta ini telah dijual kepada pembida tertinggi dari Switzerland dengan harga RM4.2 juta, hanya RM233 lebih tinggi daripada pembida kedua tertinggi. 

9.  Kad besbol Honus Wagner - RM4.62 juta

kad besbol honus wagner

Sukan besbol tidaklah begitu popular di negara kita. Namun di Amerika Syarikat, ia merupakan antara sukan paling popular selepas American Football dan bola keranjang. Dan kad besbol pula menjadi antara barang koleksi yang mempuyai nilai yang tinggi. Antara kad besbol yang bernilai tinggi adalah kad besbol Honus Wagner.

Kad tersebut dikeluarkan oleh American Tobacco Company, dan disebabkan Honus menentang tabiat merokok, beliau meminta supaya pengeluaran kad itu dihentikan, menjadikan hanya 200 unit sahaja kad tersebut dihasilkan.

Pada tahun 2000, kad tersebut telah diiklankan di eBay dan peminat fanatik besbol, Brian Seigl tak menunggu lama dengan membayar wang RM4.62 juta bagi mendapatkan kad tersebut. Siapa sangka sekeping kad bernilai begitu tinggi?

8. Bandar Bridgeville - RM7.43 juta

bandar bridgeville

Antara kategori jualan paling popular di eBay adalah hartanah dan tidak mengejutkan jika jualan tertinggi di eBay datang dari hartanah. Namun, apa yang terjual ini bukanlah semata-mata rumah atau bangunan, tetapi seluruh bandar.

Dengan keluasan 83 ekar dan mempuyai 8 buah rumah, sebuah pejabat pos dan sebuah cafe dengan 30 orang penduduk, bandar persendirian Bridgevill yang terletak di California telah ditawarkan untuk dijual di eBay. Bandar ini dimiliki oleh keluarga Lapple sejak tahun 1973 dan membuat keputusan untuk menjualnya pada tahun 2002.

Ia telah dibeli dengan harga RM7.43 juta. Selepas pemilik baru memiliki bandar ini untuk beberapa tahun, beliau juga membuat keputusan untuk menjualnya. Berhantukah?

7. Rumah kalis perang – RM8.82 juta

rumah kalis perang

Selepas berlakunya tragedi 9/11, 2 orang agen hartanah Gregory Gibbons dan Bruce Francisco mengambil inisiatif untuk menyediakan rumah yang lebih selamat. Mereka membeli hartanah di Pergunungan Adirondack yang merupakan bekas tapak silo peluru berpandu. 

Tanah itu kemudiannya dibangunkan sebuah rumah mewah dengan akses ke kubu bawah tanah yang direka kalis perang. Projek tersebut bernilai kira-kira RM75.6 juta, namun mereka menjualnya dengan harga RM8.82 juta selepas mengiklankannya di eBay.

6. Bandar Albert, Texas - RM10.5 juta

bandar albert

Nampaknya penjualan bandar melalui eBay bukanlah satu perkara luar biasa. Sebuah lagi bandar kecil, Albert di Texas telah dijual di eBay. Bandar ini dibeli oleh broker insurans, Bobby Cave dengan harga RM907,200. Bandar yang didiami oleh 5 penduduk itu kemudiannya diubahsuai bagi mengekalkan sejarahnya.

Dan pada tahun 2003, Bobby Cave telah menjual bandar Albert melalui eBay dengan harga RM10.5 juta, iaitu hampir 12 kali ganda harga asal yang dibeli.

5. Makan tengahari bersama Warren Buffet - RM10.9 juta

makan tengahari bersama warren buffet

Berapakah yang anda sanggup bayar untuk makan tengahari dengan idola anda? Sebagai antara manusia terkaya di dunia, sudah tentunya masa adalah perkara yang termahal bagi Warren Buffet. Namun, Warren Buffet menjadikan aktiviti ini aktiviti tahunan dengan "menjual" masanya kepada sesiapa yang berminat untuk makan tengahari dengannya. 

Wang tersebut didermakan kepada geraja di San Francisco yang digunakan untuk memberikan makanan percuma kepada gelandangan di bandar itu. Dan pada tahun 2010, seorang pembida telah membida tawaran itu di eBay dengan bayaran setinggi RM10.9 juta hanya untuk meluangkan masa makan tengahari dengan billionaire tersebut.

Sebanyak 2,180,000 hidangan makanan bernilai RM5 boleh diterima dengan wang sebanyak itu. Mungkin beliau terdesak untuk mendapatkan nasihat perniagaan dari Warren Buffet. Dalam masa 17 tahun, Warren Buffet telah menjana wang hampir RM100 juta bagi tujuan ini. 

Berbaloi tak anda rasa? Atau lebih baik beli bandar di atas?

4. Pasu Dinasti Shang - RM13.86 juta

pasu dinasti shang

Pasu yang berasal dari zaman Dinasti Shang, telah dijual oleh syarikat lelongan Christie's Auctions & Private Sales secara atas talian pada tahun 2010. Ia merupakan sebuah pasu wain berwarna gangsa yang sangat jarang ditemui. Dianggarkan ia berusia di antara 500 hingga 1000 tahun.

Pasu ini telah dibeli oleh dengan harga RM13.86 juta.

3. Pesawat Gulfstream II - RM20.58 juta

pesawat gulfstream ii

Tidak mustahil bagi sebuah pesawat untuk berada dalam senara ini kerana kita semua tahu pesawat adalah sesuatu yang tersangat mahal. Namun agak jarang dan janggal apabila ia dijual melalui eBay. Sebuah pesawat, Gulfstream II, yang mampu memuatkan 12 penumpang dan direka khas untuk keselesaan dan kemewahan, telah dijual oleh Tyler Jets pada tahun 2001, dengan harga RM20.58 juta.

Ia telah dibeli oleh syarikat penerbangan sewa khas berpangkalan di Africa. Pembelian itu bukan sahaja menjadikannya sebagai pembelian termahal dunia ketika itu, malah pembelian paling besar dalam sejarah belian atas talian.

2. Lukisan "October on Cape Cod" - RM40.32 juta

october on cape cod

Lukisan bukanlah sesuatu yang asing dijual dengan harga yang sangat mahal. Lebih-lebih lagi jika ia dihasilkan oleh pelukis terkenal, dan berusia beratus-ratus tahun. Sebuah lukisan yang juga dilelong oleh syarikat Christie's Auctions & Private Sales secara online telah dibeli dengan harga RM40.32 juta.

Karya seni yang diberi nama "October on Cape Cod" merupakan lukisan minyak dihasilkan di atas kertas kanvas yang dihasilkan pada tahun 1946. Ia menunjukkan sebuah rumah kecil bersama sebuah bangsal, yang terletak di Cape Cod, Massachusetts, Amerika syarikat.

Nampak macam lukisan tak berharga kan?

1. Kapal Gigayacht - RM705.6 juta

kapal gigayacht

Kapal adalah sesuatu yang hanya mampu dibeli oleh golongan jutawan dan billionaire sahaja. Mungkin tidak biasa di Malaysia kerana ia bukanlah budaya kita untuk memiliki bot, namun di barat ia menjadi satu perkara biasa. 

Sebuah kapal mewah yang diberi nama Gigayacht yang direka oleh Frank Mulder mempuyai beberapa tingkat ini memuatkan 10 bilik suite, 8 kabin tetamu, salun, bilik wayang, gym, dan pejabat dan beberapa tingkat. Ia telah diiklankan di eBay pada tahun 2005.

Dan ketika melihata iklan ini, a membuatkan billionaire Rusia, Roman Abramovich tak senang duduk lalu menekan butang "Beli" yang menjadikan pembelian ini pembelian termahal di eBay dengan harga RM705.6 juta. Ia juga merupakan item termahal di laman sesawang itu.

Senang-senang je habiskan hampir RM1 billion beli barang online.


Bagi anda, yang mana satu belian yang paling berbaloi?

Rujukan:

1. Richest

2. CNet

3. Finances Online




Hakcipta iluminasi.com (2017)