Salah satu keputusan paling sukar bagi sebuah kugiran adalah memilih nama kumpulan yang sesuai. Nama yang sesuai amat penting kerana ia akan menjadi bualan peminat, dicetak pada baju, album, majalah dan diingati sepanjang zaman.
Nama yang sesuai perlulah sedap didengari, mudah diingati dan mempunyai maksud yang tersendiri. Namun, banyak kugiran yang memilih nama yang tidak sesuai termasuklah beberapa band terkenal dalam dunia muzik. Mujurlah, mereka menyedarinya dan menukar nama kumpulan kepada yang lebih sesuai.
BESARKAN TEKS A- A+
Berikut adalah 8 kumpulan muzik terkenal dengan nama asal yang lucu.
1. Pearl Jam - Mookie Blaylock
Pada 1990, sebuah band baru dari Seattle membuat persembahan pertama mereka menggunakan nama Mookie Blaylock. Sebenarnya, Mookie Blaylock adalah nama seorang pemain bola keranjang pasukan New Jersey Nets ketika itu.
Apabila semakin dikenali dan bersedia untuk merakamkan album sulung, mereka tahu tidak boleh menggunakan nama yang sama dengan pemain bola keranjang terkenal. Mereka mungkin tidak boleh mendapatkan hak cipta atau menjual cenderahati menggunakan nama itu.
Mereka akhirnya memilih nama Pearl Jam. Ramai peminat percayakan mitos bahawa nama itu dipilih sempena nama nenek Eddie Vedder (penyanyi) iaitu Pearl yang pandai menghasilkan jem(jam) halusinasi.
2. Radiohead - On a Friday
Lima ahli kumpulan ini bertemu ketika di sekolah menengah di Oxfordshire. Mereka sering membuat latihan setiap minggu pada malam Jumaat. Ini memberi inspirasi untuk menamakan kumpulan mereka sebagai On a Friday.
Pada tahun 1990-an, mereka semakin dikenali sehingga mendapat perhatian EMI Records. Setelah menandatangani kontrak bersama EMI, syarikat rakaman itu mengesyorkan mereka menukar nama.
Kelima-lima pemuzik itu sangat meminati kumpulan Talking Heads. Maka, mereka memilih salah satu lagu Talking Heads berjudul Radio Head yang diterbitkan pada 1986 sebagai nama kumpulan.
3. Queen - Smile
Sebelum menjadi terkenal, gitaris Brian May dan pemain drum Roger Taylor telah menubuhkan sebuah band yang dinamakan Smile. Ketika itu, penyanyi dan pemain bass adalah Tim Staffell.
Smile merupakan kugiran projek kolej mereka dan Freddie Mercury adalah salah seorang peminat kumpulan itu. Malah, Freddie pernah mencadangkan agar Smile bereksperimen dengan teknik pentas dan rakaman yang lebih terperinci
Apabila Staffell meninggalkan kumpulan itu, Fredie Mercury tampil sebagai penyanyi baru dan mengubah nama band itu kepada Queen. Mereka mahukan nama yang lebih glamor dan kedengaran agung berbanding Smile.
4. Def Leppard - Atomic Mass
Atomic Mass adalah jisim atom dan idea yang sangat buruk bagi sebuah nama kugiran. Namun, nama itu tetap digunakan oleh sekumpulan rocker dari Sheffied, England.
Menurut penyanyinya, Joe Elliott, nama itu begitu 'malang' sehingga mereka tidak pernah mendapat jemputan untuk membuat persembahan di mana-mana konsert.
Elliott kemudian telah mencipta satu poster kugiran yang dinamakan sebagai "Deaf Leopard" dan menyarankan kepada rakan-rakannya. Mereka kemudian mengubahnya kepada Def Leppard, sama seperti Lead Zeppelin mengubah nama mereka kepada Led Zeppelin.
5. Led Zeppelin - New Yardbirds
Led Zeppelin adalah sebuah kugiran yang sangat terkenal pada era 70-an terutamanya dengan lagu "Stairway To Heaven". Band itu ditubuhkan pada 1968 oleh Jimmy Page yang merupakan pemain gitar utama kumpulan itu.
Page sebelum itu merupakan pemain gitar bagi sebuah kumpulan blues legenda British yang dinamakan Yardbirds. Apabila dia menubuhkan kumpulan baru, dia menamakannya sebagai New Yardbirds.
Malah, kugiran itu pernah melakukan tour di negara Skandinavia menggunakan nama New Yardbirds. Page akhirnya menukar nama mereka kepada Lead Zeppelin yang kemudian menjadi Led Zeppelin.
6. Maroon 5 - Kara's Flowers
Adam Levine dan ahli kumpulannya bermula dengan sebuah band alternative rock pada tahun 90-an bernama Kara's Flowers. Nama itu diambil sempena seorang gadis yang begitu meminati mereka.
Di bawah nama Kara's Flowers, mereka menghasilkan dua buah album tetapi tidak begitu membuahkan hasil. Mereka akhirnya menukar nama kumpulan kepada Maroon 5 dan menerbitkan album Songs About Jane pada 2002.
Menurut pemain gitar Jesse Carmichael dalam satu temubual pada 2004, Kara's Flower menampilkan muzik seperti campuran Fugazi dan System of a Down tetapi mempunyai lirik seperti Sesame Street. Ia begitu mengarut, sama seperti nama kumpulan mereka.
7. Green Day - Sweet Children
Ketika Green Day membuat persembahan di Cleveland pada tahun 2015, ramai peminat tertanya-tanya mengenai nama Sweet Children yang ditonjolkan pada set drum kumpulan itu. Bagi peminat setia, mereka tahu bahawa Sweet Children adalah nama asal kumpulan itu sebelum ditukar kepada Green Day.
Dalam konsert itu, Green Day mendedikasikan selama satu jam untuk memainkan semula lagu-lagu lama yang dicipta ketika mereka dikenali sebagai Sweet Children. Billie Joe Armstrong dan Mike Dirnt mula menubuhkan Sweet Children pada tahun 1986 ketika mereka berusia 14 tahun.
Apabila mereka bernaung di bawah Lookout! Records, mereka menukarkan nama itu kepada Green Day bagi mengelakkan kekeliruan dengan kumpulan rock tempatan bernama Sweet Baby.
8. Black Sabbath - The Polka Tulk Blues Band
Black Sabbath merupakan nama yang sangat sesuai untuk sebuah kumpulan heavy-metal terkenal. Malah, mereka dianggap antara band heavy-metal terawal selain Led Zeppelin dan Deep Purple.
Namun, nama Black Sabbath bukanlah pilihan pertama Ozzy Osbourne, Tony Iommi, Geezer Butler dan Bill Ward ketika menubuhkan kugiran blues rock pada 1968. Mereka menamakan kugiran mereka sebagai Polka Tulk Blues Band.
Apa yang lebih melucukan, nama Polka Tulk itu diambil sempena jenama bedak yang digunakan oleh ibu kepada Ozzy Osbourne. Memang patut mereka menukarnya kepada Black Sabbath.