Oleh pada 28 Jun 2020 kategori

Sebut atlit, kita mesti akan membayangkan seseorang yang tubuhnya berada dalam tahap paling optimum dari segi kekuatan ototnya dan juga kesihatannya.

Hanya dengan mempunyai tubuh badan yang kerap dikatakan sebagai 'peak physical condition' barulah seseorang atlit dapat bersaing 100% meningkatkan peluangnya untuk menang.

Walau bagaimanapun, ada juga kumpulan kecil atlit yang sebenarnya terpaksa bertanding dalam keadaan di mana mereka mempunyai masalah kesihatan. Apa yang menarik, kekangan itu tidak menghalang mereka daripada menggapai puncak kejayaan.

BESARKAN TEKS     A-  A+

1. Venus Williams

venus williams sjorgaen

Bekas pemain nombor 1 dunia, Venus Williams sangat terkenal sebagai salah seorang pemain tenis terbaik di dunia bersama-sama adiknya, Serena Williams. Williams menjadi wanita kulit hitam pertama merangkul gelaran nombor 1 dunia pada tahun 2002, sejak format pertandingan tenis antabangsa diubah pada tahun 1968.

Pada tahun 2011, semasa menyertai pertandingan US Open, Williams didapati mengidap sejenis penyakit auto-imuninasi yang dilabelkan sebagai sindrom Sjogren. Sindrom bersifat jangka masa panjang itu merencatkan kemampuan tubuh manusia untuk menghasilkan kelembapan dalam kulit, sehingga menyebabkan masalah pada pergerakan otot.

Sindrom tersebut belum dapat dikenali punca sebenarnya, tetapi menyebabkan mata dan bibir Williams sentiasa kering menyukarkan dia bertanding, selain masalah pernafasan yang kronik. Williams menjalani rawatan, mengubah tabiat diet dan berjaya kembali bertanding.

Berdepan sindrom tersebut, Williams melakukan kemunculan semula dengan bantuan ubat-ubatan, kembali menduduki kedudukan lima teratas dunia pada tahun 2017 dan masih aktif hingga kini.

2. Oscar Figueroa

oscar figueroa hernia

Kisah atlit angkat berat dari Colombia ini merupakan salah satu kisah inspirasi paling membanggakan, apabila kita bercerita tentang atlit Olimpik.

Berikutan prestasinya yang baik, Figueroa berjaya mewakili negaranya dalam temasya Olimpik tahun 2004 namun pulang tanpa pingat selepas hanya berjaya menduduki tempat kelima.

Penyertaan kedua beliau dalam temasya tersebut pada tahun 2008 berakhir dengan kekecewaan selepas dia gagal melakukan angkatan. Pemeriksaan dijalankan mendapati dia mengalami masalah hernia tulang belakang, yang mengakibatkan tangan kanannya gagal berfungsi pada tahap kekuatan sebenar.

Dia kembali dalam Olimpik tahun 2012, berjaya menyamai rekod Olimpik ketika itu namun hanya melayakkan dia memenangi pingat perak.

Figueroa sekali lagi menjalani pembedahan pada awal tahun 2016 pada tulang belakang, kembali ke Olimpik 2016 dan memenangi pingat emas pertamanya yang juga pingat emas pertama untuk negara Colombia. Lejen.

3. Lou Gehrig

lou gehrig disease besbol

Nama Lou Gehrig akan terus dikenang sebagai nama yang dikaitkan dengan penyakit yang dihidapinya sendiri, sindrom Lou Gehrig.

Seorang pemain besbol berbakat, kejayaan Gehrig di atas padang sebagai seorang pemukul digeruni semua pihak dan rekodnya dalam sukan tersebut di Amerika Syarikat, masih gagal dipecahkan pemain-pemain sehingga kini.

Pada tahun 1938 semasa musim liga sedang berjalan, Gehrig mula kerap mengadu masalah pada badannya walaupun prestasi masih dikatakan stabil, sebelum prestasinya mula merudum bermula pada tahun 1939 dan dia sendiri memilih untuk tidak diturunkan, hanya duduk di tepi padang memainkan tugasnya sebagai kapten pasukan.

Selepas diagnosis dijalankan, Gehrig didapati mengidap penyakit misteri yang menyebabkan dia hilang kekuatan otot, paralisis dan dijangka mampu hidup hanya selama 3 tahun lagi. Gehrig meninggal dunia pada bulan Jun 1941.

Penyakit misteri yang dihadapinya terus dikenali sebagai 'sindrom Lou Gehrig', sejenis kecacatan bersifat progresif yang menyerang tubuh hingga mengakibatkan sistem saraf seseorang rosak.

4. Lionel Messi

lionel messi gdm

Salah seorang daripada pemain bola sepak paling terkenal dunia, Lionel Messi berdepan dengan masalah tumbesaran tubuh sejak muda lagi pada usia 11 tahun, yang dikenali dengan nama 'Masalah Kekurangan Hormon Tumbesaran' atau 'Growth Hormone Deficiency' (GHD).

Pada usia 11 tahun, tinggi Messi kekal pada tahap 4 kaki 2 inci semasa dia didiagnosis menghidap GHD oleh pakar perubatan. Bagi membantu anak mereka membesar, keluarga Messi terpaksa membelanjakan sekitar RM3800 sebulan untuk mendapatkan suntikan hormon yang akan membantu beliau meninggi.

Disebabkan itulah dua kelab gergasi Argentina memilih untuk tidak mengambil risiko menandatangani beliau, sebelum kelab Sepanyol FC Barcelona bersetuju untuk menanggung kos perubatan tersebut, membolehkan Messi bukan saja membesar malahan membantu merangsang perkembangan bahagian otak, penglihatan dan imuniti.

Kini, Lionel Messi mempunyai ketinggian 5 kaki 7 inci, bergelar sebagai pemain terbaik dunia serta telahpun merangkul banyak kejuaraan liga domestik dan Eropah.

5. Usain Bolt

usain bolt scoliosis

Pasti ramai tidak menyedari pemegang rekod dunia larian pecut 100 meter dari Jamaica, Usain Bolt sebenarnya bergelut dengan masalah tulang belakang abnormal sepanjang kariernya.

Penyakit scoliosis yang dihadapinya sejak muda lagi menyebabkan Bolt mempunyai tulang belakang yang melengkung, telah mengakibatkan Bolt mengalami banyak kecederaan akibat daripada beban yang perlu ditanggung tubuhnya kerana tidak menyedari dia mengalami masalah tersebut.

Tulang belakangnya mempunyai bentuk 'S', condong melebihi 40 darjah memerlukan Bolt melakukan latihan khas bagi memperkuatkan bahagian pinggangnya agar dapat menampung pergerakan dengan lebih baik.

usainbolt scoliosis

Disebabkan oleh masalah ini, cara Bolt berlari juga berbeza. Dia dilaporkan menghentam bumi dengan kaki kanan lebih kuat berbanding kaki kiri dan kaki kirinya didapati berpijak lebih lama, disebabkan oleh tubuhnya cuba menyeimbangkan postur badannya semasa berlari.

Bolt mengumumkan persaraan daripada dunia sukan pada tahun 2017 dan kita semua tahu, rekod dunia yang dibuat pada tahun 2009 masih bertahan hingga kini.




Hakcipta iluminasi.com (2017)