Bagi sesetengah individu, jadual kerja tidak menentu menyebabkan mereka perlu menjalankan hidup dengan aturan berbeza. 

Kebanyakan orang menyelesaikan urusan hidup tatkala siang hari, tetapi untuk mereka yang hanya ada kelapangan waktu malam - hendak tak hendak mereka perlu melakukannya ketika matahari jatuh dan bulan mengambang.

Bagaimanapun bukan semua aktiviti biasa kelihatan biasa, sekiranya dilakukan dalam gelap hari. Berikut adalah 8 aktiviti yang mencurigakan sekiranya terpaksa dilakukan ketika malam. 

BESARKAN TEKS     A-  A+

1. Duduk di taman

duduk di taman sendirian

Berkunjung ke taman merupakan aktiviti riadah yang gemar dilakukan individu dan mereka yang sudah berkeluarga. Tetapi tak ramai orang ke taman pada waktu malam.

Sekiranya rumah kita berhadapan dengan taman permainan di kawasan perumahan pun, kalau kita nampak ada individu duduk di bangku taman pada waktu malam - mulalah bermacam perkara akan terdetik difikiran kita.

Walhal, mana tahu dia memang perlu masa bersendirian.

2. Membasuh kereta

parkir kereta tempat gelap

Sekiranya anda membasuh kereta dalam garaj rumah anda sendiri pada waktu malam, perbuatan sebegitu taklah kelihatan pelik sangat.

Tetapi sekiranya waktu sudah 1 pagi dan anda betul-betul basuh kereta anda, pasti ada yang akan memandang pelik perbuatan anda.

Situasi itu akan diburukkan lagi kalau anda jenis pemilik kereta yang basuh kereta mesti nak kena guna water-jet juga.

3. Parkir kereta secara sendirian di lot kosong

parkir kereta sunyi

Pernahkah anda terpaksa berhenti di salah satu hentian rehat dan rawat yang agak sunyi, kerana terlalu mengantuk untuk terus memandu?

Anda mungkin takut jadi anda pastikan semua tingkap dan pintu terkunci selamat, sebelum mula melelapkan mata. 

Walau bagaimanapun, rasanya orang lain yang melihat kereta anda lebih takut - kerana tanggapan kita hanya orang yang berani atau ada niat tidak baik, memakirkan kereta di tempat sunyi dalam gelap pada waktu malam.

Kami yakin jika anda pernah melakukan perbuatan ini, pasti ramai juga yang telah membatalkan hasrat mereka untuk berhenti hanya kerana anda ada di situ.

4. Menelefon anak anda untuk bertanya khabar

telefon anak waktu pagi

Jika anda sudah berusia dan ada anak yang sudah dewasa, janganlah sama sekali menelefon anak-anak anda pada waktu pagi buta walau sekuat manapun anda merindui mereka. 

Ini kerana pada peringkat sedemikian, sebarang panggilan telefon yang diterima pagi-pagi buta daripada pihak ibu atau bapa ditakuti membawa berita kematian. 

Mak ayah, jangan telefon anak-anak anda pagi buta. Takut nanti anak anda kena serangan jantung hanya disebabkan anda rindu anak anda.

5. Masuk kedai 24 jam

masuk kedai serbanek 24 jam

Kita tahu memang ada kedai yang mengamalkan jadual kerja 24 jam.

Tetapi kita yang nak masuk kedai sebegitu pada awal pagi pun rasa aneh, lagilah aneh bila jam dah menunjukkan pukul lebih 3 pagi.

Lagi memburukkan situasi, pekerja kedai tu pun macam takut-takut saja kalau ada pelanggan hadir ke kedai pada waktu sedemikian.

Nak meniaga ke apa ni? Orang nak beli air pun tak senang.

6. Berpindah rumah

pindah rumah lewat malam

Anda pernah perlu berpindah keluar rumah pada waktu malam?

Penulis pernah. Nak buat macam mana. Lori hanya ada waktu tersebut dan tuan rumah dah pesan penyewa baru nak masuk esok juga. Memang ramai yang melihat aneh kami kawan-kawan sama-sama mengangkut barang masing-masing pada jam 11 malam. Mesti ada yang kata kami tak bayar sewa dan nak lari tinggalkan rumah macam tu saja.

Penulis akui, pindah rumah waktu malam memang aneh pada mata orang tetapi ada masanya kita kena hadap juga.

7. Berkebun

berkebun waktu malam

Ramai orang minat berkebun.

Semua yang minat berkebun tahu banyak waktu perlu kita luangkan untuk meneliti satu per satu pokok yang kita jaga.

Bagi orang yang berkesempatan, waktu pagi atau petang adalah waktu biasa aktiviti berkebun.

Untuk orang yang hanya bebas jadual pada waktu malam, terpaksalah dia berkebun dengan bantuan cahaya lampu.

Orang yang tak tahu tengok, ingatkan kita kurang siuman.

8. Mengorek lubang di tanah

korek tanah waktu malam

Di antara semua aktiviti biasa yang kelihatan aneh jika dibuat malam hari, inilah aktiviti paling mencurigakan.

Mari penulis ceritakan satu kisah. 

Sekitar tahun 2012, penulis selepas bekerja lebih masa pulang ke rumah sekitar jam 12.30 tengah malam. Dah parkir motorsikal, terus terbau sesuatu yang sangat menusuk.

Ada kucing mati di laman. Tubuh kucing tu dah agak keras. Takkan nak tinggal saja macam tu, esok baru nak korek? Pukul 9 pagi dah kena masuk pejabat semula.

Penulis pun koreklah lubang sendirian kerana waktu tu penulis tinggal seorang diri, mengakibatkan beberapa tingkap rumah jiran menyala lampunya.

Nampak kepala menjenguk ke arah penulis yang sedang memegang cangkul. Harap mereka tak fikir bukan-bukanlah. 




Hakcipta iluminasi.com (2017)