Semua orang pernah menggunakan pensel terutamanya ketika berada di bangku sekolah. Pensel merupakan salah satu alat tulis utama yang murah dan mudah didapati di mana-mana sahaja.

Sejak pensel dicipta pada tahun 1700-an, kemajuan teknologi membolehkan alat tulis itu dihasilkan dengan banyak dan membolehkan ia dijual pada harga yang sangat murah.

Namun, beberapa pengeluar alat tulis terkenal dunia telah menghasilkan produk pensel unik dengan butiran mewah dan ia dijual pada harga yang amat tinggi. Berikut adalah beberapa pensel yang paling mahal di dunia.

BESARKAN TEKS     A-  A+

7. The Magnum Perfect Pencil (Faber-Castell) - RM 1,500

magnum perfect pencil faber castell

Garf von Faber-Castell begitu mengambil serius dalam pembuatan pensel dan sentiasa menghasilkan alat tulis yang mewah sejak syarikat itu ditubuhkan pada tahun 1761.

Dalam senarai panjang alat tulis unik yang pernah dihasilkan Faber Castell, terdapat satu pensel mewah yang dinamakan sebagai The Magnum Perfect Pencil. Pensel ini dijual pada harga sekitar RM 1,500 sebatang.

Pensel ini mempunyai campuran badan kayu dan logam bersama penutup logam yang berat. Pensel yang dibina mengikut gaya pertukangan Faber Castell ini turut mempunyai pemadam dan pengasah mata pensel yang dibina bersama. Sanggupkah anda berbelanja sebanyak ini untuk sebarang pensel?

6. The Metallic Pencil (Smythson) - RM 2,285

metallic pencil by smythson

Syarikat yang berasal dari England ini mungkin dikenali ramai kerana banyak menghasilkan diari dan buku nota mewah yang menjadi pilihan para korporat dan elit. Namun, ia turut menghasilkan alat tulis yang cantik dan mewah.

Sama seperti namanya, The Metallic Pencil merupakan alat tulis yang dihasilkan menggunakan logam perak dan ia menawarkan kualiti pertukangan tinggi daripada pakar pembuatan alat tulis ini.

Anda mungkin boleh mendapatkan pensel mekanikal pada harga RM 5.00 tetapi jika anda inginkan sesuatu yang ekslusif dan mewah, The Metallic Pencil mungkin pilihan yang tepat.

5. Ottantotto Demonstrator Sketch Pencil (Aurora) - RM 2,580

ottantotto demonstrator aurora

Kebanyakan pelukis mungkin menggunakan apa sahaja pensel yang mudah mereka perolehi manakala segelintir lagi lebih cenderung menggunakan pensel berjenama mewah. Pensel lukisan ini adalah untuk pelukis yang mampu berbelanja besar.

Pensel lukisan unik ini dihasilkan oleh jenama Aurora di Itali. Pensel edisi terhad ini dihasilkan menggunakan plexiglass yang tahan lama. Walau bagaimanapun, ia tidaklah memberi sebarang kelebihan dalam hasil lukisan.

Pensel yang berharga sekitar RM 2,500 ini hanya menawarkan ciri-ciri asas yang sama seperti pensel lukisan biasa. Walau bagaimanapun, pembelian pensel ini disertakan bersama jaminan selama dua tahun daripada Aurora.

4. Amadeus Mozart Mechanical Pencil (Montblanc) - RM 4,180

amadeus mozart mechanical pencil

Berada di tempat keempat ialah pensel mewah daripada Montblanc. Syarikat ini terkenal kerana produk mewahnya seperti pen, jam tangan, minyak wangi dan barangan kulit.

Montblanc juga menghasilkan beberapa produk pensel mewah dan salah satunya dihasilkan sempena penghormatan kepada pemuzik legenda Wolfgang Amadeus Mozart. Walaupun ia dihasilkan dalam pelbagai warna dan dijual pada harga berbeza, pembeli mungkin perlu berbelanja lebih daripada RM 4,000 untuk sebatang pensel ini.

Pensel mekanikal mewah ini disaluti dengan perak dan saduran emas. Pensel ini menggunakan mata pensel berukuran 0.7mm dan panjang keseluruhan pensel ini hanyalah 4.3 inci.

3. Oscar Wilde Mechanical Pencil (Montblanc) - RM 4,200

oscar wilde mechanical pencil

Pensel ini merupakan salah satu lagi alat tulis mewah dari Montblanc. Jenama mewah ini dikenali kerana menukarkan pensel biasa menjadi satu seni tetapi pensel edisi terhad ini benar-benar berada di tahap tersendiri.

Pensel Edisi Terhad Oscar Wilde ini merupakan salah satu pensel Writer's Series yang dihasilkan oleh Montblanc. Pensel ini menampilkan ciptaan unik bersadurkan emas, badan daripada resin mamar dan logo Montblanc yang dicop pada penutupnya.

Jika anda seorang peminat tegar jenama Montblanc, anda mungkin tidak perlu berfikir panjang untuk mendapatkan produk edisi terhad keluaran mereka ini.

2. 14K Gold Pencil (Montblanc) - RM 18,300

montblanc 14k gold pencil

Ini adalah pensel termahal dalam senarai ini dari Montblanc. Jadi tidak hairanlah mengapa penulis novel legenda seperti Ernest Hemingway dan bekas Presiden Amerika Barack Obama menggemari jenama ini.

Dalam sejarah produk alat tulisnya, Montblanc mula menghasilkan pen jenamanya yang paling terkenal iaitu Meisterstück pada tahun 1924. Dua tahun kemudian, mereka menghasilkan salah satu pensel paling berharga iaitu Pensel Emas 14K di Hamburg, Jerman.

Pada tahun 2015, pensel ini telah dilelong dalam lelongan Bonhams dan dijual kepada seorang pembeli kaya pada harga RM 18,000.

1. The Perfect Pencil Limited Edition (Faber Castell) - RM 50,000

limited edition the perfect pencil

Pemenang dalam senarai pensel paling mahal ini jatuh kepada Garf von Faber-Castell. Jenama ini bukan sahaja menghasilkan alat tulis berkualiti tinggi dan mewah tetapi juga terkenal sebagai pengeluar pensel tertua di dunia.

Sejak ditubuhkan pada tahun 1761, Faber Castell menghasilkan pelbagai jenis alat tulis dan menjadi peneraju dalam bidang itu. Salah satu produk pensel yang dibanggakan Faber Castell ialah The Perfect Pencil. Walaupun The Perfect Pencil dijual pada harga sekitar RM 1,000-RM 1,500 tetapi ia berbeza dengan edisi terhadnya.

Hanya beberapa sahaja Edisi Terhad The Perfect Pencil dihasilkan dan ia adalah sangat sukar ditemui. Edisi terhad ini dihasilkan menggunakan bahan-bahan mahal seperti kayu zaitun berusia 240 tahun, emas asli dan berlian.




Hakcipta iluminasi.com (2017)