Bagi sesetengah masyarakat yang terkenal dengan resipi masakan, nama makanan saja sudah mampu dijadikan simbol yang sinonim dengan identiti mereka.

Sebut orang Itali, kita membayangkan pizza. Sushi? Kita bayangkan masyarakat Jepun. Masakan kari? Wanita India leka memasak di dapur terus bermain dalam kepala. Begitulah sinonimnya sesetengah jenis masakan dengan identiti masyarakat.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Walau bagaimanapun bukan semua tanggapan kita tepat. Ada beberapa makanan tradisi yang selama ini kita salah anggap asal-usulnya. Ini lima yang masih mengelirukan kita.

1. Kentang goreng 'French fries'

french fries perancis belgium

Kentang goreng atau 'french fries' sudah jadi hidangan sampingan utama di majoriti restoran masakan segera. Selain itu kedai-kedai makanan 'western' persendirian tempatan juga gemar menjadikan french fries sebagai hidangan tepi wajib.

Dirujuk sebagai 'French fries' atau 'kentang goreng Perancis', pasti tidak ramai yang tahu bahawa kentang goreng ini sebenarnya bukanlah dari Perancis. Belgium sebenarnya.

Ada satu masyarakat yang tinggal di Lembah Meuse, Belgium bertutur dalam bahasa Perancis sebagai bahasa pertuturan mereka. Setiap kali tiba musim sejuk, ekoran kesukaran mendapatkan bahan mentah - mereka akan menjadikan kentang sebagai diet utama mereka.

Dinamakan sebagai 'frites' menggunakan istilah Perancis 'goreng', menu berasaskan kentang itu menjadi antara makanan popular ketika bekalan sukar diperoleh.

Frites mula popular di kalangan tentera Amerika yang berkhidmat di Belgium dalam perang dunia pertama. Bila dah popular, tentera Amerika terus merujuk masakan itu sebagai 'french fries', mungkin disebabkan bahasa masyarakat di sana.

Lama-kelamaan istilah 'french fries' itupun mula digunakan bagi merujuk kentang goreng, walaupun kredit sebenar harus diberikan kepada orang Belgium yang bertutur bahasa Perancis.

2. Sushi

narezushi sushi jepun china

Sebut sushi, ingat Jepun kan? Bagaimana kalau kami katakan sushi sebenarnya berasal dari China?

Sekitar abad ke 5 sehingga ke 3 SM/BC, masyarakat di China yang digelarkan sebagai etnik Baiyue (satu istilah moden) menjalankan kegiatan menanam padi sebagai punca utama pendapatan mereka.

Ekoran waktu kerja yang panjang serta rumah yang jauh dari sawah, mereka mencipta teknik yang memelihara bekalan makanan ketika bekerja setiap hari. Masyarakat Baiyue menapaikan ikan yang akan dimakan, menggunakan campuran nasi dan garam.

Nasi bercampur garam tadi bertindak sebagai pengawet yang melindungi kualiti ikan itu. Apabila tiba waktu makan, ikan tadi akan dimakan, nasi bercampur garam yang dijadikan pengawet akan dibuang.

Hidangan itu dikenali sebagai 'narezushi' di kalangan mereka yang tahu menghasilkannya.

Daripada asas teknik inilah beberapa penambahbaikan diperkenalkan. Orang Jepun mula mengetahui teknik pengawetan ini, memperbaiki teknik ini menggunakan cuka sebagai pengawet menggantikan garam.

Penggunaan cuka membolehkan nasi yang biasanya dibuang turut dimakan bersama ikan yang diawet ekoran rasanya yang lebih enak dan kurang masin, menjadi satu santapan yang lebih lengkap - kerana budaya memakan nasi merupakan satu kebiasaan orang Jepun.

Walaupun berasal dari China, 'sushi' yang diperbaiki kini cukup sinonim dengan masyarakat Jepun - sehinggakan istilah 'sushi' juga datang dari bahasa Jepun, merujuk kepada 'nasi yang diawetkan cuka.'

3. Vindaloo

chicken vindaloo masakan india

Nama masakan vindaloo masyarakat India mungkin kurang popular di kalangan majoriti masyarakat Malaysia berbanding beberapa masakan lain, tetapi bagi komuniti masyarakat India - vindaloo merupakan antara resipi yang cukup layak dianggap tradisi.

Namanya pun dah berbunyi 'India' bukan? Asal masakan yang cukup dekat dengan masyarakat India ini sebenarnya diperkenalkan penjajah Portugis yang hadir ke Goa, India sekitar abad ke 15, popular di kalangan penganut Kristian di sana.

Vindaloo asalnya adalah hidangan berasaskan tomato, agak berbeza dengan masakan kari yang biasa kita kenali sekarang.

carne vinha d alhos portugis madeira

Carne vinha d'alhos Portugis

Nama sebenarnya carne vinha d'alhos, sejenis hidangan popular masyarakat Portugis yang kemudiannya diadaptasi oleh masyarakat India mengikut selera tempatan.

Carne vinha d'alhos menggunakan gabungan daging dan tomato yang diadun dengan pelbagai rempah dan wain, dicipta oleh masyarakat Madeira di Portugal asalnya menggunakan daging khinzir; memberikan nama resipi itu carne vinha d'alhos atau 'daging yang diperap halia'

Hidangan ini diubah masyarakat India; wain mula digantikan dengan kuah lain biasanya berasaskan santan. Rempah ratusnya juga ditukar agar kena dengan selera masyarakat setempat.

Nama masakan itu juga disesuaikan dengan lidah tempatan, dipermudahkan sebutannya kepada 'vindalho' sebelum diubah kepada 'vindaloo'.

4. Roti croissant

croissant asal perancis

Salah satu perkara paling lucu anda boleh lihat, adalah melihat orang Malaysia menyebut 'croissant'. Cubalah tanya, pasti banyak variasi sebutan keluar.

Terkenal sebagai salah satu hidangan Perancis, roti croissant dinamakan sedemikian rupa kerana istilah croissant merujuk kepada bulan sabit atau crescent dalam bahasa Inggeris.

'Nenek moyang' kepada roti croissant yang dicipta di Perancis, sebenarnya berasal dari sejenis roti bernama kipferl ciptaan masyarakat Austria.

Kipferl pada asalnya tidaklah dibentuk seperti bulan sabit, sebaliknya dibuat dalam bermacam bentuk berbeza.

Bagaimanapun selepas kemenangan orang Austria semasa pencerobohan tentera Turki ke Vienna dalam tahun 1683, bentuk bulan sabit yang mewakili Turki mula popular dikalangan pembuat roti Vienna.

kiperfl austria

Kipferl, bukan croissant

Roti itu mula digelarkan sebagai kipferl yang juga membawa makna bulan sabit.

Sekitar abad ke 19, seorang peniaga bernama August Zang yang berasal dari Vienna membuka sebuah kedai roti di Paris, Perancis - dinamakan Boulangerie Viennoise.

Zang menggunakan idea untuk menjual kipferl yang resipinya diubah lebih lembut dan 'berangin' berbanding resipi asalnya yang lebih padat.

Mengekalkan bentuk bulan sabit yang kini sudah sinonim dengan kipferl asal, roti itu mula popular di kalangan masyarakat Paris, yang menamakan semula roti itu sebagai croissant disebabkan bentuknya.

5. Biskut nasib/Fortune cookies

fortune cookies biskut nasib asal jepun

Kami juga tidak tahu adakah biskut nasib atau fortune cookies popular di kalangan masyarakat Cina di Malaysia.

Berdasarkan adegan-adegan yang dipaparkan dalam filem barat, fortune cookies memang cukup popular dipaparkan sebagai salah satu budaya popular masyarakat Cina yang menetap di Amerika Syarikat dan Eropah.

Fortune cookies sangat sinonim dengan orang Cina, dihidangkan sebagai snek dalam restoran makanan Cina di negara seperti Britain, Mexico, Itali, Perancis dan Amerika Syarikat. Walaupun demikian, fortune cookies tidak dikenali di China!

Ini kerana fortune cookies merupakan sejenis makanan tradisi yang berasal dari Jepun, dibuat berasakan kepercayaan masyarakat Shinto. Mereka percaya dengan meletakkan cebisan kertas dalam makanan yang ditulis oleh sami di tokong, seseorang yang menemuinya akan menerima nasib yang baik.

Pada zaman dahulu di Jepun, kertas menulis nasib baik bukan saja dimasukkan ke dalam biskut tetapi juga dalam manisan. Sehinggalah ada pihak menyedari risiko seseorang tertelan kertas dalam manisan agak tinggi.

Jadi biskut khas direka bentuk sedemikian rupa dicipta, bagi memudahkan kertas dimasukkan serta mampu membantu seseorang menemui kertas yang tersimpan di dalamnya.

Diasaskan daripada sejenis makanan lama Jepun bernama tsujiura senbei yang banyak dijual di kawasan-kawasan ramai hadirin berdekatan tokong Shinto, sejarah bagaimana biskut dari Jepun itu boleh popular di negara barat kurang jelas sebabnya.

Terlalu ramai pihak bukan saja mendakwa mereka adalah individu yang memperkenalkan makanan itu di Amerika Syarikat, bahkan ada juga yang mendakwa mereka adalah pencipta asalnya.

Kebanyakan individu ini biasanya adalah migran berbangsa Cina yang membuka perniagaan makanan di negara itu.

Atas faktor itulah walaupun fortune cookies berasal dari Jepun, akhirnya menjadi salah satu hidangan yang sinonim dengan restoran makanan Cina dikendalikan kumpulan migran yang keluar dari China ke serata dunia.




Hakcipta iluminasi.com (2017)