Jambatan laut terpanjang di dunia yang menghubungkan Hong Kong dan Macau ke Tanah Besar China baru sahaja dilancarkan dalam satu upacara di Zhuhai yang dihadiri Presiden China, Xi Jinping dan pemimpin Hong Kong, Carrie Lam.
Dengan panjang jambatan menjangkau 55km, jambatan paling panjang yang merentasi lautan ini menelan belanja sehingga $20bilion untuk dibina. Selain menjadi salah satu laluan paling ganjil di dunia, Jambatan Hong Kong-Zhuhai-Macau (HZMB) ini dilengkapi dengan kamera canggih yang boleh mengesan aktiviti menguap para pemandu.
BESARKAN TEKS A- A+
Kami kongsikan lima fakta menarik mengenai Jambatan HZMB yang bakal mengejutkan anda:
Struktur kejuruteraan mega
Dengan jarak 55km, jambatan HZMB ini adalah 20 kali lebih panjang berbanding Jambatan Golden Gate yang terkenal di San Francisco.
Sebanyak 420,000 tan besi telah telah digunakan untuk menyiapkan jambatan ini. Jumlah besi sebanyak itu adalah cukup untuk membina 60 buah Menara Eiffel.
Untuk membenarkan kapal melaluinya, satu seksyen jambatan telah ditenggelamkan sebagai terowong dalam laut dan berada di antara dua buah pulau buatan yang dibina. Jambatan ini juga dilaporkan boleh menahan impak gempa bumi sehingga 8.0 magnitud serta taufan gergasi.
Kamera menguap
Majoriti pelawat yang ingin merentasi jambatan HZMB ini boleh menggunakan perkhidmatan bas ulang-alik yang disediakan. Bas-bas ini dipasang dengan kamera menguap supaya aktiviti dan tahap keletihan pemandu boleh dipantau di sepanjang perjalanan yang 'lurus dan boleh membosankan'. Jika pemandu bas menguap lebih daripada tiga kali dalam masa 20 saat, kamera menguap ini akan menghantar isyarat kepada pusat kawalan jambatan.
Permit khas
Walaupun jambatan ini dibina kononnya untuk merapatkan jurang di antara wilayah Hong Kong dan Macau dengan Tanah Besar China, ia hanya boleh diakses kepada golongan istimewa sahaja.
Mereka yang datang dari Hong Kong memerlukan sejenis pas laluan khas untuk memandu merentasi jambatan ini. Orang kebiasaan yang ingin melawat perlu meletakkan kenderaan di ruang parkir yang agak terhad dan hanya boleh menaiki bas ulang-alik yang disediakan oleh syarikat persendirian. Tiada pengangkutan awam disediakan di jambatan ini dan teksi juga tidak dibenarkan melaluinya. Malah, tandas dan stesen minyak juga tidak terdapat di sepanjang perjalanan.
Menurut beberapa laporan lain, permit jangka panjang untuk menuju ke Zhuhai dari Hong Kong pula hanya akan diberikan kepada golongan istimewa yang memenuhi kriteria ketat seperti membayar jumlah cukai yang besar di China, telah menderma dalam jumlah yang besar kepada badan-badan kebajikan di wilayah Selatan Guangdong ataupun merupakan anggota kepada mana-mana organisasi politik di sana.
Pemandu berlainan arah
Untuk pengetahuan anda, pemandu kenderaan di Hong Kong dan Macau memandu di sebelah kiri jalan seperti kita di Malaysia, manakala di China pula, pemandu memandu di sebelah kanan jalan.
Disebabkan jambatan ini dianggap sebagai wilayah Tanah Besar China, para pemandu perlu memandu di sebelah kanan lorong di sepanjang jambatan. Selain itu, menurut Jabatan Pengangkutan Bandar China, pemandu Hong Kong juga perlu mematuhi segala peraturan dan undang-undang China semasa berada di atas jambatan.
Walaupun terdapat beberapa jalan penyelesaian kreatif telah diusulkan untuk menangani perubahan bahagian pemanduan, termasuklah saranan pembinaan sebuah "jambatan terbalik" yang dipanggil Pearl River Necklace oleh sekumpulan arkitek dari Belanda, akhirnya kaedah yang lebih konvensional diguna pakai iaitu dengan memberhentikan kenderaan dan mengubah laluan jalan di suatu titik pertemuan yang dibina khas sebelum perjalanan disambung menaiki jambatan menuju ke Hong Kong.
Kontroversi dan politik
Sejak dari mula lagi pembinaan jambatan HZMB ini sekitar 2003, ia tidak putus-putus dilanda kontroversi. Dilaporkan pembinaannya yang menelan belanja tinggi itu hanyalah suatu pembaziran dan merupakan gimik politik semata-mata. Menurut seorang pengamal undang-undang persendirian, Claudia Mo, kerajaan China hanya mahu memaksa proses asimilasi antara Tanah Besar dan Hong Kong serta memulakan penguasaan mengawal kerajaan kecil itu.
Projek pembinaan berskala mega itu dikatakan tidak mempunyai apa-apa makna kerana kedua-dua buah negara sudahpun sedia ada mempunyai laluan melalui udara, air dan darat. Selain itu, dikhuatiri kemasukan 'mudah' pelawat dari Tanah Besar hanya akan menambahburukkan keadaan Hong Kong yang sudahpun sarat dengan penduduk dan kedatangan pelancong asing. Pada masa yang sama, satu lagi jambatan berhampiran Shenzhen dan Zhongshan juga sedang dibina, bermakna jambatan HZMB ini hanya akan menjadi projek gajah putih tidak lama lagi.
Para aktivis alam sekitar seperti WWF dan Persatuan Pemuliharaan Alam Sekitar Hong Kong juga menyatakan kerisauan mereka terhadap pembinaan jambatan gergasi yang boleh menyebabkan lebih banyak pencemaran serta mengganggu habitat hidupan laut seperti spesies terancam ikan lumba-lumba yang hanya terdapat di kawasan itu.
Akhir sekali, dalam keghairahan pihak kerajaan untuk membina struktur yang gah ini, dilaporkan sekurang-kurangnya 18 nyawa pekerja telah terkorban dan lebih 600 lain tercedera sepanjang proses menyiapkannya.
Sumber:
1. CNN