Kejadian di mana Bumi menelan manusia telah lama berlaku ketika mana kaum Nabi Luth ditelan akibat maksiat yang dilakukan. Secara semulajadinya, kejadian seperti ini sebenarnya boleh berlaku disebabkan beberapa faktor.

Antaranya adalah gempa bumi, tanah terlalu lembap disebabkan hujan tidak berhenti dan juga pembangunan yang tidak mengikut piawaian yang betul.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Sepanjang sejarah moden, pelbagai kemalangan berlaku melibatkan manusia ditelan Bumi.

iluminasi.com kongsikan 6 kejadian di mana manusia ditelan Bumi pada zaman moden.

6. Sebuah keluarga terbunuh ditelan kawah gunung berapi

keluarga jatuh ke dalam kawah gunung berapi

Letusan gunung berapi boleh membunuh orang dengan lava, abu, aliran piroklastik, dan asap tebal, tetapi ada satu cara lagi yang boleh membunuh iaitu kawah.

Pada September 2017, sebuah keluarga yang terdiri daripada pasangan dan 2 orang anak lelaki mereka mengunjungi gunung berapi Solfatara, berhampiran Naples, Itali.

Menurut para pegawai, salah seroang anak lelaki yang berusia 11 tahun telah memasuki kawasan kawah yang dilarang, maka ibu bapanya mengejar budak itu untuk membawanya kembali.

Tiba-tiba, tanah sekitar runtuh disebabkan oleh tekanan dan berat daripada 3 daripada mereka, menyebabkan kawah 3 meter terbuka di bawahnya.

Ketiga-tiga mereka jatuh ke dalam kawah dan mungkin mati akibat sesak nafas disebabkan oleh gas toksik.

Seorang lagi daripada anak mereka yang berusia 7 tahun selamat kerana kekal di kawasan bukan larangan, lalu bergegas meminta bantuan.

Tanah di kawasan itu tidak kuat dan sebagai tambahan kepada gas toksik, gunung berapi ini juga mengeluarkan wap air pada suhu 160 darjah Celsius.

Jadi jatuh ke dalam salah satu kawahnya bermakna kematian yang muktamad.

5. Halaman rumah yang berongga

halaman belakang yang runtuh

Seorang budak lelaki berumur 7 tahun bermain bersama abangnya di halaman sebuah kompleks apartmen di North Brunswick, New Jersey, pada bulan April 1993.

Ketikga Kwami Sharif meletakkan kakinya ke dalam lubang kecil di halaman tersebut, tiba-tiba tanah tersebut runtuh. Kwami jatuh ke dalam lubang sedalam 2.4 meter yang penuh dengan serpihan pokok dan takungan air di bawahnya.

Kwami yang masih dalam keadaan sedar sepenuhnya meminta bantuan untuk keluar dari lubang itu. Bapanya, jiran-jiran dan polis semuanya cuba untuk mengeluarkan Kwami dari lubang tersebut, tetapi tanah di sekitar runtuh sekali lagi.

Tanah yang berlumpur kemudian menimpa Kwami dengan tidak henti-henti sehinggakan lubang tersebut tertutup. Selepas 7 jam menggali, tubuh budak tersebut dikeluarkan dan dibawa ke hospital di mana dia disahkan meninggal dunia.

Kwami tercekik tanah liat yang menutupi dirinya dalam lubang tersebut. 

Selepas siasatan, telah disahkan bahawa akar-akar dan dahan-dahan pokok yang ditanam di bawah tanah menyebabkan halaman tersebut berongga lantas terdedah untuk runtuh.

Walaupun dipercayai bahawa akar dan ranting tersebut ditanam dengan sengaja oleh seseorang, namun tiada siapa yang dipersalahkan dalam kemalangan ini.

4. Lelaki ditelan Bumi ketika rehat di ruang tamu rumah

lelaki ditelan bumi ketika tidur di rumah

Pada suatu malam Februari 2006, seorang guru sekolah bernama Jason Chellew yang sedang berehat di ruang tamu rumahnya dengan tenang, tiba-tiba kedengaran bunyi yang aneh melalui lantai.

Jason kemudiannya bangun untuk mencari sumber bunyi tersebut dan dengan tak semena-mena tanah di bawahnya tenggelam dan menelannya serta-merta.

Isteri Jason, yang hamil pada masa itu, tidak tercedera kerana berada di bilik tidur. Selepas dua hari kerja keras, penyelamat berjaya mengeluarkan mayat Jason dari lubang itu.

Kemudian, satu lagi lubang dengan ciri-ciri yang sama terhasil 15 meter dari lokasi yang pertama. Satu pasukan dari 100 pakar pergi ke rumah Chellew untuk menentukan punca kemalangan maut berkenaan.

Menurut siasatan, tanah di bawah bandar Alta California mempunyai rangkaian terowong besar milik lombong emas abad ke-19.

Atas sebab ini, adalah dianggap bahawa hujan di kawasan tersebut telah meruntuhkan sebahagian daripada lombong di bawah rumah Chellew, mengakibatkan pembentukan lubang.

3. Gempa Bumi yang menelan manusia

gempa bumi menelan manusia

Terdapat pelbagai filem yang menggambarkan tentang seseorang mati ditelan oleh Bumi ketika berlakunya gempa Bumi. Malang sekali ia bukan hanya di dalam filem sahaja tetapi juga benar-benar berlaku.

Walaupun gempa Bumi tidak memecahkan tanah seperti yang dilihat dalam filem, namun jika tanah yang terlibat memenuhi kriteria yang diperlukan, Bumi boleh "terbuka".

Pada tahun 1948, gempa kuat berskala 7 melanda bandar Fukui, Jepun. Menurut kisah pertama yang diberitahu oleh penduduk tempatan, seorang wanita yang berada di sawah padi telah terjatuh ke dalam retakan yang terhasil semasa gempa bumi.

Lubang tersebut sebesar 1.2 meter dan selepas wanita tersebut jatuh ke dalamnya, lubang tersebut tertutup dengan sendiri lalu menghancurkan wanita tersebut.

Suami dan anak perempuan itu menemui tubuhnya tersangkut di dalam retakan, dengan sebelah tangan masih menggenggam padi seolah-olah cuba menyelamatkan dirinya.

Kerosakan yang disebabkan oleh gempa bumi sangat besar sehingga Badan Meteorologi Jepun terpaksa meningkatkan skala intensiti seismik mereka kepada satu tahap lebih tinggi.

Hampir 4,000 kematian dan puluhan ribu orang kehilangan tempat tinggal dalam kejadian tersebut.

2. Guatemala City ditelan Bumi

lubang besar di guatemala city

Kita telah melihat bagaimana Bumi telah menelan orang di dalam rumah mereka.

Lebih dahsyat, pernah berlaku kejadian di mana beberapa buah rumah dengan penghuninya di dalam, ditelan Bumi secara serentak.

Pada Februari 2007, penduduk Guatemala City terkejut apabila mendengar bunyi yang serupa dengan letupan bom, manakala sesetengah orang mula berteriak, "Tiang elektrik jatuh!".

Sebabnya? Tanah di bawah kejiranan bandar ini mula tenggelam dan lebih daripada 10 buah rumah jatuh ke dalam lubang sedalam 100 meter itu.

Tiga mayat ditemui di dalam lubang dan di sungai kumbahan bersebelahan, sepadan dengan keluarga yang tinggal di salah satu rumah yang musnah.

Pihak berkuasa terpaksa mengeluarkan 1,000 orang dari tapak tersebut, memandangkan kemungkinan tanah itu akan terus runtuh.

Adalah dipercayai bahawa penyebab terhasilnya lubang itu adalah gabungan hujan ke atas bandar raya ini dan paip pembetung di bawah kejiranan yang pecah.

Pada tahun 2010, satu lagi lubang terhasil kira-kira 5 kilometer dari lokasi pertama di mana ia telah menelan bangunan 3 tingkat, sebuah rumah dan seorang mangsa. 

1. Lubang menelan lot parkir hotel

parkir ditelan bumi

Pada tahun 1993, sebuah tempat letak kereta di bawah sebuah hotel di Atlanta runtuh dan menyeret 3 buah kereta ke lubang yang terhasil.

2 orang yang berada di tempat letak kereta pada masa itu juga ditelan ke dalam lubang tersebut dan mati serta-merta.

Salah satu daripada mayat itu berjaya dikeluarkan daripada lubang dan satu lagi mayat ditemui dalam paip pembetung berdelatam, selepas diseret oleh air.

Seperti yang terjadi dengan lubang di Guatemala, hujan lebat menyebabkan paip saliran lama di bawah tempat letak kereta tersebut penuh dan pecah.

Akibatnya, lantai tersebut menjadi lemah, menghasilkan lubang berdiameter 60 meter yang menelan tempat letak kereta.

Walau bagaimanapun, pihak berkuasa sebenarnya tahu ada risiko bahawa kejadian ini akan berlaku. Namun, tiada apa yang dilakukan untuk mengelakkan kejadian tersebut daripada berlaku.




Hakcipta iluminasi.com (2017)