Kartun sememangnya disukai oleh kanak-kanak dan juga orang dewasa di seluruh dunia. Walaupun kebanyakan kartun sesuai menjadi tontonan umum, ada kalanya ia boleh melampaui batas.

Ada rancangan kartun di mana beberapa episod atau keseluruhan musimnya diharamkan atau ditapis di negara tertentu atas alasan tertentu. Kartun yang kami maksudkan bukanlah kartun dewasa seperti South Park, American Dad atau Family Guy tetapi kartun yang diminati kanak-kanak.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Berikut adalah senarai kartun popular yang dilarang dan ditapis di beberapa negara.

1. SpongeBob SquarePants

spongebobs squarepants

SpongeBob SquarePants merupakan salah satu kartun paling popular dan telah ditayangkan lebih daripada 20 tahun. Kartun ini menceritakan pengembaraan SpongeBob dan rakan-rakannya yang tinggal di bandar dasar laut bernama Bikini Bottom.

Kartun ini merupakan rancangan paling diminati di siaran Nickleodeon dan telah menjana keuntungan berbilion-bilion dolar Amerika. Namun, terdapat beberapa episod SpongeBob SquarePants yang telah melampaui batas dan diharamkan.

Salah satu episod dalam musim ketiga berjudul "Mid-Life Crustacean" telah diharamkan. Dalam episod itu, SpongeBob, Patrick dan majikannya Mr. Krabs telah memecah masuk rumah seorang wanita dan mencuri seluar dalamnya. Rupa-rupanya, Mr. Krabs memecah masuk rumah ibunya sendiri. Adegan itu dilihat tidak senonoh untuk tontonan kanak-kanak.

Begitu juga dengan episod "Kwarantined Krab" musim ke-12 yang telah ditarik balik kerana menyentuh sensitiviti dunia sebenar yang dilanda pandemik COVID-19.

2. Tiny Toon Adventures

tiny toon

Tiny Toon Adventures memaparkan watak klasik kartun Looney Tunes ketika mereka masih kecil seperti Bugs Bunny, Daffy Duck dan Porky Pig. Watak-watak ini telah menghadiri Acme Looniversity di mana mereka belajar untuk menjadi bintang kartun.

Dalam salah satu episodnya berjudul "One Beer", watak Plucky, Hampton dan Buster telah mengambil minuman alkohol. Mereka kemudian memandu sebelum terjatuh daripada gaung dan dihantar ke "Toon Heaven".

Pihak penerbit tidak mahu kanak-kanak melihat watak kesayangan mereka mati disebabkan tindakan tidak bertanggungjawab. Episod itu ditarik balik dan tidak ditayangkan di TV tetapi ia boleh ditonton melalui set DVD kartun itu.

3. Steven Universe

steven univers

Rancangan ini memaparkan watak Steven yang tinggal bersama sekumpulan wanita magik yang dikenali sebagai Crystal Gems. Kebanyakan episod kartun ini memaparkan kisah Steven dan Crystal Gems menyelamatkan dunia.

Namun, kartun ini juga mengundang kontroversi kerana sering mengenengahkan elemen LGBTQ. Kartun ini diharamkan sama sekali di Kenya. Manakala di UK pula, babak yang memaparkan tema LGBTQ telah disunting dan ditapis.

Walaupun mengundang kontroversi, kartun ini telah memenangi beberapa anugerah dan dicalonkan sebanyak lima kali dalam Emmy Awards.

4. Shin Chan

shin chan

Kartun yang juga dikenali sebagai Crayon Shin-chan ini merupakan adaptasi daripada siri manga Jepun yang mengisahkan kehidupan Shinnosuke Nohara bersama keluarga dan rakan-rakannya.

Selain terkenal di Malaysia, kartun Shin Chan ini juga popular di seluruh dunia. Rancangan ini ditayangkan di lebih 40 buah negara dan diterjemahkan kepada 30 bahasa berbeza.

Siri animasi ini begitu seronok buat kanak-kanak tetapi ia dipenuhi dengan jenaka dewasa yang kurang sesuai sebenarnya. Animasi Shin Chan ini telah diharamkan di India kerana khuatir akan memberikan pengaruh buruk terhadap kanak-kanak.

Beberapa tahun kemudian, Lembaga Penapisan India menapis banyak perkataan dan beberapa babak sebelum ditayangkan semula di televisyen.

5. Peppa Pig

peppa pig

Peppa Pig adalah siri animasi untuk kanak-kanak yang lebih muda berbanding kartun lain dalam senarai ini. Kartun ini memaparkan seekor khinzir bernama Peppa dan keluarganya menempuh kehidupan seharian. Rancangan ini membantu kanak-kanak memahami pengalaman baru yang mereka hadapi di dunia nyata.

Namun, kartun ini telah diharamkan di China kerana sering dikaitkan dengan "masyarakat tertentu" terutamanya samseng dan golongan berpendidikan rendah. Watak Peppa Pig muncul dalam video rap dan dijadikan tatu di seluruh China sebagai satu bentuk pemberontakan.

Di Australia pula, episod "Mister Skinnylegs" telah diharamkan kerana ayah Peppa mengajarkan bahawa labah-labah tidak mencederakan. Seperti yang kita tahu, Australia dipenuhi dengan spesies labah-labah berbisa dan ia adalah informasi yang salah kepada kanak-kanak di sana.

6. Winnie the Pooh

winnie the pooh

Anda mungkin hairan bagaimana Winnie the Pooh boleh berada dalam senarai ini. Siri animasi ini hanya mengisahkan tentang kehidupan teddy bear comel yang sukakan madu. Walau bagaimanapun, negara China melihatnya dari sudut berbeza.

Pada 2017, seorang blogger telah menyamakan watak Winnie the Pooh dengan Presiden China iaitu Xi Jinping dan ia menjadi tular di internet. Kerajaan China mengharamkan apa-apa bentuk penghinaan kepada pemimpin mereka.

Di Poland pula, logo Winnie the Pooh telah diharamkan di taman permainan kerana watak animasi itu dikatakan kurang sopan. Watak Winnie the Pooh hanya memakai baju tanpa seluar dan mengelirukan kanak-kanak kerana tidak mempunyai jantina.




Hakcipta iluminasi.com (2017)