Mengikut kajian, peluang untuk anda terkorban dalam nahas pesawat adalah jauh lebih kecil berbanding kemalangan kereta. Tambahan pula, kebanyakan nahas maut pengangkutan udara datangnya dari pesawat peribadi.

Namun, kemungkinan untuk anda selamat dalam nahas pesawat adalah sangat tipis. Walau bagaimanapun, ada individu yang bernasib baik apabila terselamat dalam nahas ngeri pesawat udara. Malah, mereka adalah satu-satunya survivor.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Berikut adalah 6 nahas pesawat di mana hanya seorang sahaja mangsa yang terselamat.

1. Cubana de Aviación Flight 972 - Mailen Diaz Almaguer

mailen diaz almaguer 512

Pada 18 Mei 2018, pesawat Boeing 737 yang berusia 39 tahun ini berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Jose Marti di Havana, Cuba. Sejurus selepas berlepas, pesawat itu terhempas kira-kira 19 km dari bandar Havana.

Pada mulanya, empat penumpang ditemui masih hidup tetapi tiga daripadanya meninggal dunia di hospital. Nahas itu mengorbankan seramai 112 orang dan Mailen Diaz Almaguer adalah satu-satunya yang terselamat.

Walaupun mengalami kecederaan teruk dan terpaksa dirawat di hospital selama berbulan-bulan lamanya, Mailen menjadi popular dan menerima banyak kunjungan selebriti terkenal.

2. YAK-Service Flight 9633 - Alexander Sizov

alexander sizov 240

Pada 7 September 2011, sebuah pesawat syarikat pengangkutan udara YAK-Service yang membawa jurulatih dan pasukan hoki ais profesional Lokomotiv Yaroslavl telah terhempas sejurus sahaja berlepas.

Pesawat itu dilaporkan terlajak ketika melakukan pelepasan di Tunoshna Airport. Akibat kesilapan itu, pesawat itu merempuh sebatang antena dan terbakar sebelum terhempas di tebing Sungai Volga.

44 orang penumpang termasuk keseluruhan pasukan utama Lokomotiv Yadoslavl terkorban dalam nahas itu kecuali seorang sahaja iaitu mekanik pesawat bernama Alexander Sizov. Punca kemalangan adalah disebabkan juruterbang yang tidak berpengalaman mengendalikan pesawat itu.

3. Afriqiyah Airways Flight 771 - Ruben van Assouw 

ruben van assouw

Pesawat Afriqiyah Airways Flight 771 yang berlepas dari Johannesburg, Afrika Selatan, dijangka akan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Tripoli, Libya, pada awal pagi 12 Mei 2010. 

Namun, pesawat itu mengalami masalah ketika cuba melakukan pendaratan dan kapten kapal cuba untuk mengawalnya secara manual. Dia bagaimanapun tidak melaporkan masalah itu kepada menara kawalan.

Pada jam 6.01 pagi, pesawat itu terhempas 1,200 meter sebelum tiba ke landasan pendaratan. Nahas itu mengorbankan sebanyak 103 penumpang dan anak kapal. Seorang kanak-kanak Belanda berusia 9 tahun bernama Ruben van Assouw merupakan satu-satunya mangsa yang terselamat.

4. Yemenia Flight 626 - Bahia Bakari

bahia bakari

Yemenia Flight 626 adalah sebuah pesawat Airbus A310-324 yang dioperasikan oleh syarikat penerbangan Yaman. Pada 30 Jun 2009, pesawat itu berlepas dari Yemen menuju ke Comoros di Timur Afrika. 

Kira-kira jam 1.50 pagi waktu tempatan, pesawat yang hampir tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Said Ibrahim itu terhempas di laut dan mengorbankan semua 152 penumpang kecuali seorang.

Survivor tunggal itu adalah seorang gadis Perancis berusia 14 tahun bernama Bahia Bakari. Dia ditemui berpaut pada serpihan pesawat setelah terapung di lautan selama 13 jam.

5. Sudan Airways Flight 139 - Mohammed el-Fateh Osman

mohammed el fateh osman

Mohammed el-Fateh Osman menunaikan Haji pada 2018

Pesawat Sudan Airways Flight 139 melakukan penerbangan domestik biasa dari Port Sudan - Khartoum pada 8 Julai 2003. Kira-kira 15 minit selepas berlepas, salah satu enjin pesawat itu mengalami masalah kehilangan kuasa.

Ini memaksa juruterbang berpatah balik ke lapangan terbang di Port Sudan untuk melakukan pendaratan kecemasan. Malangnya, juruterbang itu tersasar landasan pendaratan menyebabkan pesawat itu terhempas.

Nahas itu mengorbankan 117 orang penumpang dan kru kapal. Satu-satunya penumpang yang terselamat ialah seorang bayi berusia 3 tahun bernama Mohammed el-Fateh Osman.

6. Air Algérie Flight 6289 - Youcef Djillali

air alg rie flight 6289

Air Algérie Flight 6290 adalah pesawat penerbangan domestik di Algeria. Pada 6 Mac 2003, pesawat itu telah terhempas di Lapangan Terbang Hadj Bey Akhamok ketika baru sahaja berlepas.

Saksi mendakwa salah satu enjin pesawat itu meletup beberapa saat selepas melakukan penerbangan. Laporan akhir mengatakan punca kemalangan itu adalah disebabkan kegagalan enjin.

Dalam kemalangan itu, seramai 103 penumpang dan anak kapal terkorban kecuali seorang tentera berusia 28 tahun bernama Youcef Djillali. Youcef yang duduk di bahagian paling belakang tercampak keluar ketika pesawat itu terhempas.




Hakcipta iluminasi.com (2017)