Vesna Vulovic adalah satu-satunya mangsa yang terselamat dalam kejadian letupan kapal terbang JAT Yugoslav Airlines, Flight 367 pada 6 Januari 1972. Letupan di ruangan udara Czechoslovakia itu telah menyebabkan kapal terbang terbabit hancur berpecah menjadi 2 bahagian.
Vulovic sebenarnya tidak bertugas pada hari tersebut, namun disebabkan berlakunya kekeliruan jadual dengan seorang lagi pramugari yang mempunyai nama yang sama dengannya, Vulovic akur bahawa dia harus bekerja pada hari malang itu. Selepas sejam berada di udara, dalam perjalanan dari Stockholm ke Belgrade, kapal terbang tersebut telah meletup.
BESARKAN TEKS A- A+
Seramai 27 orang daripada 28 penumpang dan kru penerbangan meninggal dunia. Punca kematian kesemua mereka adalah disebabkan sama ada oleh letupan awal bom, disedut keluar daripada kapal terbang ketika sedang terhempas atau disebabkan oleh impak ketika terhempas ke dalam salji.
Bangkai pesawat dan mayat mangsa-mangsa telah ditemui bergelimpangan di sempadan Czechoslovakia dan Jerman, di kampung Srbská Kamenice. Vulovic telah ditemui oleh salah seorang penduduk kampung yang mendengar jeritan kesakitan wanita itu yang meminta pertolongan.
Bruno Hanke adalah individu yang menemuinya selepas ternampak kaki wanita itu dalam bangkai pesawat yang terhempas. Ketika ditemui, Vulovic berada dalam keadaan nyawa-nyawa ikan kerana telah kehilangan banyak darah. Namun dia bernasib baik kerana pasukan penyelamat sampai ke tempat kejadian dengan pantas, sebelum membawanya ke hospital untuk dirawat.
Perkongsian Vesna Vulovic Tentang Dirinya
Dalam sebuah temubual pada tahun 2002 (3 dekad selepas kejadian) bersama dengan Green Light Limited, sebuah syarikat latihan keselamatan yang berpangkalan di London, Vulovic meluahkan bahawa perkara pertama yang diingatinya adalah melihat kedua ibu bapa melawatnya di hospital. Dia berasa bingung mengapa dia berada di hospital pada waktu itu, seolah-olah tidak mengetahui kejadian sebenar.
Melihat keratan surat khabar hari berikutnya, dia berasa sangat terkejut dengan apa yang terjadi, tidak percaya bahawa dia satu-satunya individu yang terselamat. Siasatan mendapati kejadian tersebut berpunca daripada letupan bom yang diletakkan di ruangan kargo. Letupan tersebut telah memisahkan bahagian kokpit daripada seluruh bahagian lain.
Vulovic berada dalam keadaan koma selama beberapa minggu selepas insiden tersebut namun nasib menyebelahinya, kerana salji yang tebal dan terhempasnya kapal terbang di kawasan berpokok di lereng bukit berjaya mengurangkan impak pelanggaran yang menyelamatkan nyawanya.
Walaupun pada awalnya Vulovic lumpuh daripada bahagian pinggang dan ke bawah, dia berjaya sembuh sepenuhnya selepas beberapa bulan, dan meneruskan hidup secara normal untuk 40 tahun berikutnya.
Katanya kepada New York Times, "Fizikal saya telah rosak, dan doktor berjaya merawat saya kembali. Tiada siapa yang menyangka bahawa saya akan hidup sehingga kini.
Selepas sembuh, wanita itu meminta kepada majikannya untuk menyambung kerjanya semula sebagai seorang pramugari. Namun begitu, JAT Yugoslav Airlines menolak permintaan tersebut kerana khuatir penumpang akan mengenalinya. Menurut Vulovic, majikannya itu bertindak sedemikian kerana tidak mahukan perhatian berkaitan insiden tersebut diberikan kepada syarikat penerbangan itu.
Sebaliknya, mereka menawarkan jawatan di pejabat, dan dia menerimanya. Vesna Vulovic terus menggunakan khidmat penerbangan untuk melancong, dan sama sekali tidak pernah dilihat sebagai 'ancaman' kepada penumpang-penumpang lain. Katanya, "Penumpang lain sebenarnya lebih suka untuk duduk di sebelah saya."
Apapun, dia digelar sebagai hero di negaranya, dan terkenal sebagai 'wanita yang menipu kematian' di seluruh tenggara Eropah. Mungkin para penumpang lain melihatnya sebagai 'tuah' dalam setiap penerbangan yang disertainya.
Di Sebalik Letupan Dalam Pesawat JAT Yugoslav Airlines
Sehingga hari ini, masih tidak jelas perincian bagaimana bom berjaya melepasi keselamatan ketat di lapangan terbang. Satu teori mengatakan bahawa bomb tersebut dipasang di bahagian simpanan beg di bawah kokpit ketika perhentian di Copenhagen.
Teori lain mengatakan bahawa kapal terbang tersebut mempunyai masalah teknikal dan sedang mencari lokasi pendaratan yang selamat di Czechoslovakia. Namun disebabkan ianya terbang terlalu rendah, laju dan menghampiri sebuah fasiliti penyimpanan senjata nuklear, kapal terbang tersebut akhirnya ditembak oleh jet pejuang.
Walaubagaimanapun, tiada sebarang kotak hitam yang ditemui, tiada penangkapan yang dibuat, dan tiada apapun yang berjaya dibuktikan benar. Apapun kebenarannya, yang pasti insiden tersebut secara tidak sengaja telah meletakkan nama Vulovic di dalam Guinness World Records pada tahun 1985, sebagai satu-satunya individu yang masih hidup selepas melalui 'free fall' yang tertinggi tanpa payung terjun.
Selepas kemalangan tersebut, Vulovic menggunakan popularitinya untuk menentang ketidakadilan kerajaan diktator di negara asalnya yang pada ketika itu di bawah pemerintahan Presiden Slobodan Milosevich. Pada 23 Disember 2016, wanita itu akhirnya meninggal dunia di apartmentnya di Belgrade pada usia 66 tahun.
Sumber & Bacaan Tambahan: