Lagu mampu memukau emosi kita.
Lagu yang bersemangat mampu mengubah perasaan kita daripada kurang bermaya menjadi bersemangat waja. Lagu sedih mampu menampung beban duka yang menimpa diri kita. Bagaimana pula lagu yang sesuai untuk menaikkan perasaan patriotisme dan semangat dalam diri kita sebelum menonton perlawanan bola sepak melibatkan Malaysia?
BESARKAN TEKS A- A+
Berikut adalah 5 lagu yang cukup sesuai untuk dimainkan oleh anda dalam perjalanan ke stadium atau setengah jam sebelum sepak mula permainan malam ini dilakukan, bagi menaikkan semangat kita menyokong di tepi padang mahupun dari rumah.
1. "The Name of the Game" oleh OAG
Lagu rasmi bagi temasya Piala Dunia Remaja tahun 1997 ini masih relevan sehingga sekarang. Ciptaan Radhi OAG dan diterbitkan oleh Paul Moss, bagi generasi Malaysia yang dapat menyaksikan pertandingan tersebut mampu melihat sendiri bekas-bekas pemain bolasepak dunia beraksi sebelum mereka menjadi terkenal seperti Thierry Henry, David Trezequet, Michael Owen, Juan Roman Riquelme dan Pablo Aimar yang pernah menyarung jersi pasukan JDT.
2. "Standing in the Eyes of The World" oleh Ella
Lagu nyanyian Ella ini sehingga sekarang masih lagi dimainkan ketika berlangsungnya acara sukan melibatkan negara kita. Lagu ini ciptaan komposer negara Wah Idris dan David Gates. Dua buah versi dirakamkan, dalam versi Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris namun versi Bahasa Melayu adalah versi yang lebih dekat dengan kita.
3. "Setia" oleh Pelbagai
Lagu 'Setia' ini dihasilkan oleh Dato' Ahmad Dasilah sementara liriknya ditulis oleh bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Mohamed Bin Rahmat. Rasanya lagu ini cukup sinonim dengan masyarakat kita kerana liriknya yang mampu membuatkan kita meremang dengan rasa patriotik.
4. "Jalur Gemilang" oleh Jaclyn Victor
Pemenang pertandingan Malaysian Idol pertama negara kita, Jaclyn Victor merupakan seorang yang memukau kita semua dengan kemampuan vokalnya yang setanding dengan nama-nama besar lain seperti Ning Baizura atau Sheild Majid. Apabila dipadankan suaranya dengan lagu "Jalur Gemilang" ini seolah-olah berlaku satu gabungan yang cukup mantap dalam menaikkan semangat kita dalam mengharungi apa saja dugaan atau cabaran yang melanda.
5. "Keranamu Malaysia" oleh Pelbagai
Dengan lagu ciptaan komposer terkenal Pak Ngah serta lirik ditulis oleh Siso Kopratasa, lagu ini kerap dimainkan di majlis-majlis acara yang dilangsungkan. Mempunyai rentak lagu yang seakan-akan sedang berkawad serta vokal yang didatangkan dalam bentuk koir, Keranamu Malaysia menjadi salah satu lagu wajib dalam membentuk identiti budaya Malaysia.
6. "Fikirkan Boleh" oleh Metropolitan
Siapa tak tahu lagu ini? Lagu inilah antara lagu paling lama bertahan dari generasi ke generasi, membantu membentuk pemikiran positif dan bersabar dalam menghadapi apa saja yang mampu membuatkan kita rasa tewas. Tidak ramai yang tahu siapa penyanyi sebenar lagu ini, jadi pada hari ini kami persembahkan pada anda kumpulan Metropolitan dengan lagu legenda mereka,"FIkirkan Boleh."