Cabaran yang ditempuhi oleh ibu bapa generasi zaman sekarang, agak kompleks untuk dibincangkan dengan terperinci.
Ini kerana jika kita bandingkan 100 tahun terdahulu dengan era sekarang, kemodenan telah mencipta bermacam jenis kemudahan yang memudahkan pasangan mengurus dan membesarkan anak-anak mereka tetapi dalam masa yang sama memperkenalkan banyak cabaran dan halangan yang membuatkan hubungan kekeluargaan itu sering diuji dengan kemudahan teknologi.
BESARKAN TEKS A- A+
Mungkin kerana itulah ada segelintir generasi baru enggan mempunyai anak, kerana takut hendak berhadapan dengan isu sebegini. Tetapi bagi mereka yang berani, menjadi ibu bapa adalah tugasan yang penuh cabaran tetapi dalam masa yang serupa, berdepan 1001 halangan yang menyukarkan.
Ketersediaan teknologi dan waktu tonton skrin
Di era digital ini, teknologi sudah menjadi sebahagian besar daripada kehidupan seharian kita. Kanak-kanak seawal usia 2 tahun (kadang-kadang 2 bulan!) sudah terdedah kepada pelbagai gajet seperti telefon pintar, tablet dan komputer.
Walaupun teknologi adalah alat pendidikan yang baik, penggunaannya yang berlebihan akan membawa kesan negatif dan dolak-dalik inilah yang menyebabkan ibu bapa sering menghadapi dilema dalam mengawal masa skrin anak-anak mereka. Keperluan untuk mereka tahu itu ada, jadi perlu diberi. Tetapi dalam masa yang sama kalau tak bagi langsung, mereka akan ketinggalan pula.
Kajian menunjukkan bahawa pendedahan berlebihan kepada skrin boleh menjejaskan perkembangan kognitif, emosi dan fizikal kanak-kanak. Kata kuncinya di sini 'berlebihan'.
Mengimbangi antara penggunaan teknologi yang bermanfaat dan memastikan anak-anak tidak terlalu bergantung kepada skrin adalah satu cabaran besar yang membebankan semua ibu bapa hari-hari.
Yang mana malas nak fikir, dia akan bagi sajalah anak dia guna sesuka hati anak.
Keseimbangan kerja dan tekanan ekonomi
Zaman makin moden sekalipun, semakin ramai antara kita buat dua tiga kerja untuk bertahan dari aspek kewangan kan? Semuanya disebabkan peningkatan kos sara hidup, memerlukan kedua-dua ibu bapa bekerja dalam pelbagai bidang untuk menampung perbelanjaan.
Tekanan kos ini sudah kita tahu memang menyebabkan tekanan untuk mencapai keseimbangan antara kerja dan kehidupan keluarga, menyebabkan sukar untuk ibu bapa meluangkan masa berkualiti bersama anak-anak.
Belum kita kira faktor stress dan keletihan, yang menjejaskan hubungan dan komunikasi dalam keluarga. Siapa sini ada kerja tetap dan tak perlu buat dua tiga kerja berbeza? Anda memang bertuah dalam zaman moden ni.
Tekanan rakan sebaya dan media sosial
Anak-anak kecil dan muda hari ini sangat terdedah kepada tekanan rakan sebaya dan pengaruh media sosial lebih awal, lebih tinggi berbanding generasi terdahulu.
Golongan pempengaruh atau influencer media sosial sering menjadi idola yang mempengaruhi cara berfikir dan berkelakuan anak-anak, bukan saja daripada segi perwatakan malahan daripada corak gaya hidup. Tekanan untuk anak-anak mengikuti trend dan menjadi popular laksana influencer boleh mengganggu harga diri dan kesejahteraan mental kanak-kanak.
Siapa sini pernah cuba nak nasihat anak, tapi anak lawan nasihat kita dengan mengungkap kata-kata atau cara yang diamalkan influencer, pasti dah rasa akibatnya. Pedih woo! Nak-nak pula anak kita suka ikut influencer yang jenis tayang harta setiap masa.
Perbandingan sosial yang ekstrim
Dan daripada hujah di atas, harus kita terima antara cabaran terbesar yang sedang dihadapi adalah media sosial itu sendiri.
Ini kerana kewujudan media sosial telah mencipta satu budaya perbandingan tidak sihat, bukan saja di kalangan anak-anak, bahkan ibu bapa pun turut sama terikut-ikut.
Ibu bapa zaman moden gemar membandingkan diri mereka dengan keluarga lain yang kelihatan lebih berjaya atau bahagia, sehingga menimbulkan rasa rendah diri dan ketidakpuasan khususnya di dalam perbandingan pencapaian anak-anak.
Perbandingan sebegini juga berlaku di kalangan kanak-kanak seperti kami sebutkan di atas, yang merasa tertekan untuk mencapai standard yang dipamer di media sosial. Anak tak dapat sesuatu? Murung. Stress. Mak ayah tak mampu belikan barangan yang tular? Mulalah anak memendam rasa dan menyendiri.
Tak menghairan ramai anak muda sekarang ada keinginan untuk mencabut nyawa sendiri, hanya kerana disebabkan pengaruh perbandingan yang harus kita kata berada pada tahap ekstrim sebegini.
Lambakan maklumat berkait keibu-bapaan
Di antara semua cabaran terbesar, rasanya pada hemat penulis...inilah yang paling menakutkan kerana cabarannya menghantui setiap masa.
Dengan akses mudah kepada bermacam jenis maklumat melalui internet, ibu bapa terdedah kepada pelbagai kategori nasihat dan panduan keibubapaan yang kadang-kadang bercanggah antara satu sama lain, menyebabkan kita jadi keliru mana satu yang baik.
Dan sepandai mana pun kita dalam mentafsir nasihat yang hadir, kita tetap akan berada dalam dilema bila lambakan maklumat sebegini menyerang kita. Lambakan maklumat tanpa sempadan daripada sumber yang tidak sahih ini, jelas mengelirukan dan menambah kebimbangan.
Ibu bapa perlu bijak dalam menilai sumber maklumat dan memilih pendekatan yang sesuai untuk keluarga mereka. Kebimbangan berlebihan tentang cara mendidik anak-anak akan menjejaskan khubungan mereka dengan anak-anak, mungkin merencatkan pembesaran mereka.
Itu belum ambil kira maklumat negatif seperti insiden kes culik, pemerdagangan kanak-kanak atau sindiket jenayah yang dilaporkan berlaku berdekatan kita. Semua itu memainkan faktor ke atas kita, sehinggakan ada ibu bapa tak bagilah anak main petang hanya kerana kebimbangan yang wujud dalam diri mereka.
Semakin banyak maklumat kita ada dalam dunia maya, semakin takut kita dengan dunia nyata. Siapa berhadapan masalah sebegini?