Oleh pada 25 Nov 2022 kategori

Salah satu acara sukan paling dikehendaki warganegara kita agar Malaysia dapat menjadi tuan rumah, adalah temasya bola sepak Piala Dunia. Peluang melihat semua pemain bertaraf dunia beraksi di depan mata, adalah peluang yang jarang dapat dinikmati semua.

Dalam tahun 1997, kita pernah menganjurkan Piala Dunia Belia, menyaksikan bintang-bintang muda ketika itu seperti Michael Owen, Thierry Henry, Juan Riquelme serta pasukan belia kita beraksi di negara kita. Walaupun mempunyai lagu tema kejohanan yang klasik, Piala Dunia Belia tak sama dengan Piala Dunia sebenar.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Itu kisah 26 tahun lepas. Kini dunia telah banyak berubah. Penganjuran kejohanan Piala Dunia sudah dilihat dalam konteks yang jauh berbeza, disebabkan perubahan mentaliti masyarakat yang mengakibatkan banyak isu akan timbul.

Berikut adalah 6 isu yang bakal timbul jika Malaysia terpilih menganjurkan temasya sukan Piala Dunia.

1. Isu pekerja asing 

sektor binaan buruh kasar

Negara kita adalah antara negara yang sering dikritik NGO-NGO hak kemanusiaan manusia, disebabkan kelonggaran undang-undang kita dalam memantau hak pekerja asing yang masuk, baik yang sah mahupun tanpa izin.

Kritikan banyak berlegar kepada isu mudahnya hak pekerja asing yang hadir ke sini dinafikan dan dimanipulasi menjadi antara isu yang sering kedengaran.

Situasi ini diburukkan lagi dengan pendedahan bahawa Malaysia menjadi pintu utama sindiket menyeludup pekerja asing.

Apa yang kita tahu, keperluan untuk membina dan menaik taraf fasiliti bola sepak sedia ada, pasti akan memerlukan kemasukan lebih ramai pekerja hadir ke dalam negara kita.

Situasi ini kami yakin mampu menimbulkan kontroversi bukan saja dikalangan kerajaan dengan kritikan masyarakat luar, bahkan di antara kita dengan kerajaan ekoran keengganan kita menerima lambakan kumpulan besar pekerja asing ke sini.

2. Kita masih belum mengiktiraf hak pelarian

pelarian lari perang

Bagi melindungi kepentingan negara kita, kerajaan Malaysia sehingga ke hari ini masih tidak mengiktiraf Konvensyen Pelarian 1951 kelolaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Keengganan ini mengakibatkan kita sering ditekan dan diasak dalam memastikan kita seiring dengan majoriti negara lain yang mahu memberikan kerjasama.

JIka dilihat daripada perspektif kepentingan kita, keengganan ini memberikan negara kita lebih pilihan dan opsyen dalam menentukan kaedah mengurus kehadiran kumpulan pelarian. Kita juga tidak perlu akur dengan kehendak masyarakat luar dalam tindakan menerima atau menolak pelarian yang hadir.

Bagaimanapun pengkritik tetap tidak boleh menafikan negara kita sudah banyak membantu kumpulan pelarian, khususnya yang hadir dari Bosnia, Syria dan Myanmar.

Walaupun tidak sempurna, tetapi tolak ansur itu tetap kita ada. Seandainya Malaysia menawarkan diri menjadi tuan rumah, isu ini pasti menjadi salah satu modal utama masyarakat luar untuk dijadikan serangan.

3. Isu fasiliti dan pengangkutan awam

stadium piala dunia

Sekiranya sebuah perlawanan bola sepak liga tempatan mampu menyaksikan pertambahan jumlah penumpang pengangkutan awam yang tinggi, sukar untuk dibayangkan bagaimana sistem pengangkutan kita mampu menampung kehadiran pengunjung dari luar untuk temasya Piala Dunia.

Secara purata, lebih 1 juta pelancong luar akan hadir ke negara tuan rumah setiap kali berlangsungnya kejohanan tersebut. Kejohanan di Russia menyaksikan 2.1 juta orang luar hadir sementara temasya di Qatar dijangkakan bakal menerima kunjungan sekitar 1.2 juta orang.

Harus diingatkan, angka ini jauh lebih tinggi berbanding temasya sekitar kita.

Temasya Sukan Asia 2018 yang berlangsung di Indonesia 'hanya' menerima anggaran 80,000 orang pelancong hadir untuk temasya itu. Sukan Asia Tenggara yang berlangsung di Vietnam awal tahun 2022 pula menerima sekitar 31,500 orang pelancong dari luar.

Jelas berbeza kan kuasa tarikan Piala Dunia? Apakah penambah baikan yang perlu negara kita lakukan dalam mempersiapkan kemudahan kita, untuk menerima pertambahan anggaran 1 juta ke 1.5 juta pelancong?

Berapa negeri di Malaysia yang bersedia untuk menjadi hos kepada perlawanan dalam skala sebegini rupa?

4. Isu arak

jualan arak

Penamaan Qatar sebagai tuan rumah kepada kejohanan Piala Dunia edisi 2022, membawa kepada pelbagai kontroversi yang tak sepatutnya timbul.

Antara kontroversi yang hangat diperkatakan adalah keenganan kerajaan Qatar membenarkan jualan arak oleh rakan penaja kejohanan secara terbuka.

Dalam satu aspek sebagai seorang umat Islam, langkah ini penulis puji. Namun dalam satu aspek lain, pihak penganjur kejohanan juga mempunyai hak untuk mempersoalkan keengganan Qatar, kerana Qatar sudah bersetuju sejak mula untuk menjadi tuan rumah.

Polemik sebegini pasti akan berulang di negara kita, kerana kita juga mengamalkan dasar yang mirip Qatar dalam isu penjualan dan pengiklanan arak.

Keenganan masyarakat luar menghormati pilihan sebuah negara Islam seperti Qatar dalam melarang jualan arak serta tidak mengenengahkan penganjur disebabkan faktor produk alkohol bukanlah sesuatu yang mengejutkan. 

Persoalannya, jika Malaysia terpilih sebagai tuan rumah, adakah anda selesa arak dijual secara terbuka dalam stadium negara kita, seandainya kerajaan kita tunduk kepada desakan orang luar?

5. Isu LGBTQ

armband pelangi

Penulis sukar untuk percaya dalam kehangatan menjelang Piala Dunia, isu yang menjadi topik terhangat berkait dengan gerakan gak LGBT.

Media-media barat sudah beberapa tahun lamanya memainkan isu ini cuba mendesak agar Qatar melonggarkan undang-undang, agar sekurang-kurangnya mengiktiraf kehadiran golongan songsang ini bagi meraikan temasya sukan bola sepak itu dengan kebenaran kebebasan penuh.

Apa yang menghairankan, di mana hilangnya logik dan tatasusila masyarakat barat untuk sekurang-kurangnya menghormati permintaan tuan rumah? Kenapa isu seksualiti songsang sebegini perlu diperbesarkan sedangkan fokusnya haruslah lebih kepada isu kesukanan?

Kita di Malaysia pasti berdepan masalah sama sekiranya kita mahu jadi tuan rumah. Ini kerana secara dasarnya kita mengkategorikan hubungan luar tabii sebagai satu jenayah.

Berbaloikah untuk kita berkompromi dalam aspek undang-undang kita, hanya untuk menganjurkan Piala Dunia?

6. Isu boikot

boikot qatar piala dunia 2022

Penganjuran Qatar meletakkan negara itu sebagai negara Islam pertama dunia diberikan penghormatan menganjurkan Piala Dunia.

Tetapi ugutan boikot banyak pihak baik persatuan sukan, kelab, pemain, pengurusan, penganjur, selebriti dan ramai lagi lebih menguasai tajuk utama media. Qatar dikritik tegas mahu terus mengangkat nilai masyarakat Islam yang dikritik tidak selari dengan 'pandangan majoriti' masyarakat dunia.

Daripada aspek pekerja asing, hak LGBTQ, hak minum arak, hak untuk menunjukkan rasa kasih sayang ditempat awam, semuanya sudah diutarakan oleh banyak pihak khasnya mereka yang datang dari barat, dijadikan peluru untuk memboikot penganjuran Qatar.

Cuba kita letakkan diri kita di tempat mereka, kerana realitinya kita di Malaysia sama saja seperti Qatar.

Uniknya, Qatar dan Malaysia mempunyai populasi yang sama majmuk, dengan Muslim sebagai kumpulan majoriti yang merangkumi kira-kira 65% jumlah penduduk. Kita sama terbuka menerima perbezaan agama tetapi sama tegas dalam isu keterbukaan melampau hak norma asasi manusia.

Prospek untuk Malaysia menjadi tuan rumah temasya ini dikatakan cerah bagi slot edisi kejohanan 2034, kerana ura-ura awal ada idea kuat mahu benua Asia Tenggara diberikan hak penganjuran edisi tersebut.

Persoalan yang ingin kami tinggalkan kepada anda, berbaloikah kita mengorbankan pegangan masyarakat kita dalam isu-isu yang sudah kami utarakan di atas hanya untuk melihat temasya ini berlangsung di bumi Malaysia? 




Hakcipta iluminasi.com (2017)